suria

Kreativiti Pogba Amat Dirindui

MANCHESTER United mungkin bergelut untuk mengekalkan pretasi menyengat mereka pada awal musim saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sekiranya pemain tengah Paul Pogba terpaksa berehat panjang, kata Henrikh Mkhitaryan.

Pogba mengalami kecederaan hamsting ketika United menang 3-0 ke atas FC Basel pada aksi Liga Juara-Juara minggu lalu.

Dia akan menjalani pemeriksaan imbasan kali kedua untuk mengetahui tahap kecederaannya itu.

Pogba yang mengetuai United ketika berdepan juara Switzerland itu meninggalkan padang dalam keadaan terhincut-hincut.

Timbul desas-desus mengatakan dia akan diketepikan selama 12 minggu akibat koyakan di bahagian ototnya.

Namun Pengurus Jose Mourinho berkata tahap kecederaan Pogba hanya akan diketahui selepas keputusan imbasan dikeluarkan.

United menundukkan Everton 4-0 dengan Marouane Fellaine menggantikan Pogba tetapi Mkhitaryan berkata pasukan itu amat merindui kreativiti Pogba yang banyak mencetuskan skrip kemenangan Red Devils musim ini.

"Ia sukar kerana dia pemain hebat untuk kami. Namun pengurus tahu bagaimana untuk menangani perkara itu dan kami akan membantunya supaya kembali lebih kuat," kata Mkhitaryan.

Anak buah Mourinho berkongsi tempat pertama dengan Manchester City berbekalkan 13 mata daripada lima perlawanan.

Kedua-dua pasukan itu menjaringkan 16 gol setakat ini.

United akan melayan kunjungan Burton Albion pada pusingan ketiga Piala Liga pada Rabu sebelum berlepas ke Southampton dalam aksi EPL, Sabtu ini.

Paul Pogba

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain