suria

Makan Angin, Borong Coklat Di Langkawi

LANGKAWI menjadi satu-satunya lokasi percutian di Malaysia yang amat sinonim dengan coklat.

Semuanya gara-gara harganya yang lebih murah berbanding tempat lain disebabkan status bebas cukai pulau ini.

Di pekan Kuah sahaja, terdapat banyak kedai yang boleh anda kunjungi untuk memborong coklat yang menjadi kesukaan ramai ini.

Antara lokasi yang sering menjadi tumpuan adalah Perniagaan Haji Ismail Group (HIG), Idaman Suri, Rams, Wira Langkawi, Langkawi Saga, Coco Valley dan beberapa kedai lain.

Buat pengetahuan anda, dalam banyak-banyak tempat membeli coklat di Langkawi, HIG adalah paling besar dan popular dengan dua buah kedai dan terbaru sebuah kompleks dibina di pekan yang sama untuk memudahkan pelancong yang melawat Langkawi membeli-belah.

Di sini, ia tidak menjual coklat semata-mata, sebaliknya turut menjual barangan bebas cukai lain seperti pinggan mangkuk dan perkakas dapur, bagasi, kain batik dan pelikat, rokok, tidak ketinggalan minyak gamat.

Dapat dikatakan harga coklat antara satu kedai dengan kedai mempunyai perbezaan, tetapi tidak banyak, bagaimanapun harga coklat di ketiga-tiga kedai HIG adalah seragam.

Bersesuaian dengan status bebas cukainya, tidak hairanlah banyak pilihan coklat tersedia dan ramai yang rambang mata serta sanggup menghabiskan masa berjam-jam berada di kedai-kedai coklat yang dikunjungi.

Jangan tak percaya kerana ramai juga yang sanggup berulang-alik ke kedai coklat setiap hari sepanjang percutian mereka ke Langkawi.

Antara coklat yang sering ‘masuk’ ke bakul pembeli adalah coklat jenama Pepero, Hershey’s Kisses, Ferrero Rocher, Ritter Sport, Whittaker’s Bar, Daim, Hanuta Mini, Kinder Bueno, Toblerone, Nutella, Cadbury dan Rafaello.

Selain coklat dari luar negara, di sini juga anda boleh membeli coklat jenama tempatan.

Kebanyakan mereka yang datang ke sini biasanya akan berbelanja purata RM300 untuk membeli coklat, tidak kiralah untuk dimakan sendiri, sebagai ole-ole atau dikirim oleh orang lain.

Bagi yang tidak berkesempatan ke pekan Kuah jangan bimbang kerana coklat-coklat ini juga ada dijual di pekan-pekan kecil lain, cuma pilihannya mungkin tidak banyak.

Tetapi jika anda menyewa penginapan di Pantai Cenang, terdapat tiga buah kedai yang boleh dikunjungi iaitu di The Zon, Coco Valley dan Cenang Mall.

Malah, sebelum pulang pun anda masih boleh membeli coklat, tidak kiralah di lapangan terbang atau di jeti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain