LAMA mata Cik Dhia menatap gambar rakan yang bercuti dengan anak-anaknya dengan latar belakang air terjun. Tambah mengusik memori bila tengok mereka berkelah di atas batuan sungai sambil menikmati makanan tengah hari dengan beralaskan tikar mengkuang. Terus terimbau kenangan zaman kanak-kanak Cik Dhia di kampung halaman. Bila dah dewasa ni, susah betul nak cari lauk-pauk yang dinikmati ketika kecil dulu. Dengar cerita ada restoran baharu di Shah Alam yang bukan sahaja menghidangkan sajian Melayu asli, malah menawarkan pelbagai jenis ulam-ulaman. Tak boleh jadi ni! Nampaknya Dhia Datang kena cuba rasa dan bolehlah kongsikan dengan pembaca setia mStar Online. Tu diaaa... ramainya orang yang datang makan di sini. Masuk-masuk je Restoran Ulam Gunong terus rambang mata tengok banyaknya lauk yang ada. Lauk kegemaran Cik Dhia masa zaman kanak-kanak dulu pun ada! Lama Cik Dhia termenung tengok lauk ayam yang disalut kuah putih. Tiba-tiba ada suara yang menyapa Cik Dhia: "Kalau nak tahu, inilah ayam percik putih Kelantan. Sedap, cubalah rasa." Kalau ada pelanggan setia yang cadangkan sendiri, pasti rasanya istimewa. Inilah rupanya ayam percik putih Kelantan. Memang rugilah kalau datang sini tapi tak cuba ulam yang ada. Baru gigitan pertama, rasa ayam percik putih Kelantan tu rasa 'jijok' bak kata orang negeri Cik Siti Wan Kembang. Rasa kuahnya sangat lemak dan tidak terlalu pedas. Tapi kalau nak lebih 'umph', kena cicah dengan sambal belacan atau budu. Cik Dhia cuba pula kerabu jantung pisang yang menjadi lauk kegemaran pelanggan bila datang ke restoran ini. Tekstur jantung pisang ini memang lembut dan rasa pedas-pedas manja sebab digaul dengan lada hitam yang membuka lagi selera. Pelbagai seleksi makanan tradisional Melayu dihidangkan istimewa untuk para pelanggan. Tanpa segan silu, Cik Dhia pun beranikan diri untuk bertanya kepada pemilik restoran ini tentang keistimewaan menu yang ada. Pemilik, Siti Nor Afzan Kasiman, 34, berkata, terdapat kira-kira 30 jenis masakan Melayu asli dan 10 pilihan ulam-ulaman disediakan untuk memenuhi citarasa pelanggan. "Ramai pelanggan yang datang ke sini beritahu kami bahawa lauk-pauk yang disajikan mengingatkan mereka kepada zaman kanak-kanak. "Rata-rata mereka suka datang ke sini kerana susah nak cari menu kesukaan di tempat lain," katanya yang berasal dari Johor. Afzan mengalu-alukan pelanggannya untuk mencadangkan menu sajian Melayu asli yang diingini mereka. Tambah Siti Nor Afzan, harga yang ditawarkan pula rendah kerana kedudukan premisnya yang terletak berhampiran kawasan perindustrian dan kolej vokasional. "Kami tak mahu caj mahal-mahal kepada pelanggan kerana kebanyakan mereka bekerja di kawasan berdekatan dan ada juga yang masih belajar. "Kalau nak lebih jimat, boleh ambil 'drink of the day' yang hanya dicaj pada harga 50 sen secawan," ujarnya. Harga bagi sepinggan nasi yang dipenuhi dengan 4 jenis ulam, kerabu jantung pisang, sayur tumis kacang panjang dan ayam percik putih Kelantan ini cuma RM8. Antara menu yang ada adalah tempoyak ikan patin, sayur turi masak lemak labu, ikan bakar, ayam kerutuk, sambal udang petai, gulai ikan tongkol, ikan singgang dan kari jenahak. Manakala ulam yang dihidangkan pula seperti pucuk gajus, bunga kunyit, bunga betik, tenggek burung, jering, terung putih, daun selom, gelang tikus dan pucuk kedondong. Alamat: Restoran Ulam Gunong, No.7 & 9G, Jalan Kemuning Prima A33/A, Kemuning Utama, 40460 Shah Alam. Waktu operasi: Setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 5 petang kecuali ditutup setiap Ahad.