MAKAN di dalam kawasan bendang memang menjanjikan suasana tersendiri buat pengunjung. Lebih-lebih lagi apabila dapat menikmati hidangan ala kampung yang pasti menggamit nostalgia. Kedai Makan Hentian Bendang di Air Papan misalnya, menyajikan pelbagai menu makan tengah hari dan masakan panas dengan harga berpatutan sejak empat tahun lalu. Hampir 30 menu disediakan untuk makan tengah hari meliputi ikan, ayam dan makanan laut yang boleh didapati dengan harga berpatutan. Manakala bagi menu masakan panas pula, mi udang, mi bandung serta nasi goreng udang sering menjadi pilihan pelanggan setianya dengan udang yang banyak dan dalam porsi yang agak besar. “Sehari kami guna sehingga 10 kilogram udang untuk memenuhi permintaan pelanggan. “Kadang-kadang udang besar tapi ada kalanya kami terpaksa menggunakan udang bersaiz kecil sahaja mengikut stok yang ada,” katanya. Sementara Samsinah berkata menu seperti mi udang dan mi bandung itu hasil rekaannya sendiri selepas beberapa kali percubaan. Mengimbau detik ketika mula untuk menambak tanah bagi membina bangunan kedai di situ, pemiliknya, Mohamed Esa Yunus, 62, akui ada yang pelik dengan keputusan mereka sekeluarga. “Apabila kami mula nak buka kedai di dalam bendang ini, orang kata nak buat apa buka kedai di sini, siapa nak datang dan macam-macam lagilah. “Maklumlah ini kawasan bendang dan tidak ramai sangat orang di kawasan ini tapi Alhamdulillah sambutan ok,” katanya yang turut menerima tempahan dari pelancong dalam kumpulan besar. Menurut Esa, perniagaan keluarganya itu sebenarnya sudah bermula sejak lebih 30 tahun lalu namun berpindah tempat. “Mula-mula berniaga di tepi pantai Air Papan selama 13 tahun kemudian kami pindah ke Taman Wawasan selama 14 tahun dan akhirnya kami pindah ke sini. “Kami buka kedai di sini sejak jalan nak ke Penyabong mula dibuka jadi tahun 2013 kami mula menambak tanah di sini,” katanya kepada Sinar Harian. Beroperasi setiap hari kecuali Rabu bermula pukul 11 pagi bagi makan tengah hari dan pukul 5 petang hingga 10 malam bagi masakan panas. “Kami tak cukup tenaga nak buka untuk sarapan pagi juga, jadi kami buka cuma dua waktu itu saja. “Tukang masak pun dua orang saja termasuk isteri saya, Samsinah Sulong, 59, dibantu empat lagi ahli keluarga,” katanya.