suria

Nyaman Laksa Cik Pah Tok!

Laksa Sarawak Cik Pah menggunakan pes Haji Manan yang diterbangkan khas dari Kuching, Sarawak.

KALAU ada sesiapa yang pernah 'pekena' laksa Sarawak yang dimasak berasaskan pes Haji Manan, pasti tidak mahu cuba yang lain.

Tetapi jika berada di Semenanjung, macam susah pula nak terbang ke Sarawak semata-mata nak makan laksa Bumi Kenyalang yang menggunakan pes Haji Manan.

Puas Cik Dhia fikir mana nak cari laksa Sarawak di Selangor ni? Cik Dhia pun mula buat carian di Internet, dengan harapan dapat makan laksa Sarawak yang diidam-idamkan.

Tak sangka usaha Cik Dhia berhasil juga. Rupa-rupanya tak jauh pun, cuma terletak di Kelana Jaya.

Kali ini Dhia Datang mencuba Laksa Sarawak Cik Pah yang selalu disebut-sebut oleh orang di Lembah Klang!

Laksa Sarawak Cik Pah merupakan gerai yang beroperasi di Restoran Jamal Mohamed, Kelana Jaya.

Kalau nak datang ke sini, cuma perlu 'waze' Restoran Jamal Mohamed kerana ia cukup popular sebagai destinasi selera yang menawarkan pelbagai jenis hidangan kegemaran rakyat Malaysia.

Okay, laksa Sarawak yang Cik Dhia pesan pun dah sampai. Hidangan dalam mangkuk putih nampak sangat menyelerakan.

Hmmm...patutlah Laksa Sarawak Cik Pah ni disebut-sebut, rupanya pengusahanya, Wan Muhammad Ikhwan Wan Shamsuddin memang import pes Haji Manan original dari Sarawak!

Terubat rasanya rindu Cik Dhia pada laksa Sarawak yang Cik Dhia pernah nikmati ketika berkunjung ke Bumi Kenyalang tidak lama dulu.

Tambah 'nyaman' apabila sambal belacan yang menjadi pelengkap rasa juga diimport dari Bintulu, Sarawak.

Pengunjung boleh menikmati Laksa Sarawak Cik Pah pada harga RM7 semangkuk.

Keenakan Laksa Sarawak Cik Pah ni begitu padu sampai licin mangkuk Cik Dhia habiskan.

Kata pemiliknya, dia sebelum ini tidak pernah tahu cara memasak, namun sanggup menuntut ilmu selama sebulan dengan ibunya yang merupakan anak jati Sarawak untuk menyediakan kuah laksa yang cukup lemak dan berempah.

"Saya akan mengambil masa selama dua jam setiap hari untuk memasak kuah dan perap semalaman agar aromanya lebih menyengat.

"Apabila tengok pelanggan datang ke sini berulang kali dan makan sampai licin, rasa puas hati kerana dapat buat mereka 'jatuh cinta' dengan Laksa Sarawak Cik Pah," katanya yang memberitahu bahawa nama Cik Pah itu diambil sempena nama ibunya, Latifah Yusuf.

Bagi menjaga kualiti laksa yang dijual, pemuda berusia 25 tahun itu begitu menjaga mutu dan kuantiti yang dihasilkan pada setiap hari.

Laksa Sarawak Cik Pah turut menerima tempahan untuk dihidangkan pada majlis pertunangan dan perkahwinan.

Katanya, dia hanya menyediakan sebanyak 70 hidangan setiap hari dan kebiasaannya laksa Sarawak habis dijual menjelang pukul 3 petang.

Jadi, bagi mereka yang sudah lama mengidam untuk makan laksa Sarawak, kenalah datang awal supaya tidak melepas.

Alamat:
Jalan SS 5A/9, SS 5, Petaling Jaya,  Selangor.

Waktu operasi:
Setiap hari kecuali Jumaat dari pukul 8 pagi hingga 3 petang.

Laksa Sarawak Cik Pah

Artikel Berikut

Makan Mi Udang Di Bendang

Artikel Lain