suria

Syok Satay...Bukan Sekadar Sate

JIKA dah berkunjung ke Tanjung Karang, tidak sah kalau lepaskan peluang mencuba hidangan makanan laut yang segar di sepanjang jalan arah ke Kuala Selangor.

Untuk segmen Dhia Datang kali ini, Cik Dhia berpeluang singgah sebentar untuk makan malam di salah sebuah restoran yang popular di Tanjung Karang.

Mana lagi kalau bukan di Syok Satay. Pada mulanya, Cik Dhia berasa hairan juga kerana terkejut melihat restoran satay yang baru dibuka itu sangat meriah pada sebelah malam sehingga berderet kereta memenuhi bahagian kiri dan kanan bahu jalan.

Bunyi cengkerik, tali air, malam yang hening dan sekejap-sekejap disorot cahaya lampu kereta memberikan ‘feel’ kampung yang mengubat kerinduan Cik Dhia pada suasana di desa tercinta.

Sebaik sahaja enjin kereta Cik Dhia dimatikan, langkah diatur pantas meniti jambatan yang menuju ke pintu masuk restoran Syok Satay.

Rasa seperti datang beraya pula bila Cik Dhia lihat susun atur restoran ini persis rumah terbuka Aidilfitri.

Basikal tua, bot nelayan, pondok kayu, telaga air dan atap nipah yang menghiasi landskap restoran tersebut betul-betul menghidupkan suasana kampung pada waktu malam di Syok Satay.

Haaa… jangan tak tahu sebenarnya Syok Satay ini bukan hanya ada menu satay tetapi sebenarnya menjadi tumpuan pelanggan kerana menu makanan lautnya yang lain daripada yang lain.

Orang kata, kalau dah sampai Syok Satay harus cuba tomyam ‘gergasi’ yang bukan sahaja sedap, tapi boleh membuatkan pelanggan mengigau!

Terkedu sebentar Cik Dhia tengok tomyam ‘gergasi’ ini kerana dah nampak macam akuarium.

Semua hidupan laut ada dalam semangkuk tomyam, pendek kata memang tidak kedekut langsung pemilik Syok Satay ini yang pandai memikat hati pelanggan.

Hirupan pertama kuah tomyam terus membuatkan Cik Dhia jatuh cinta. Rasa udang gertak yang meresap pada kuahnya mengecurkan deria rasa, perisa masam-masam manis dan pedas memang digaul dengan secukup rasa.

Tomyam Seafood ini berharga RM25 semangkuk dan boleh dihidang untuk dua atau tiga orang.


Udang gertak (lipan) berlada ini bernilai RM10 sepinggan dan menjadi menu yang wajib dicuba apabila anda ke Syok Satay.


Air soda herbs dan ribena longan ini pula sangat menyegarkan dan dijual pada harga RM5 segelas.

Rasa ketam karang, kepah, sotong dan udang gertak yang ‘juicy’ dan segar mampu membangkitkan selera rasa Cik Dhia sebelum beralih ke menu lain pula.

Pemilik Syok Satay, Mohamad Razif Mohamad Sharip berkata, semua menu berasaskan makanan laut yang dihidangkan kepada pelanggan adalah segar kerana dibeli dari jeti berdekatan pada setiap hari.

“Kedudukan Syok Satay yang berhampiran dengan kawasan pantai Sungai Kajang memudahkan kami mendapatkan bekalan makanan laut yang segar.

“Keutamaan kami kepuasan hati pelanggan ketika menikmati setiap hidangan yang dipesan, selain memastikan dapat mengekalkan rasa hidangan setiap kali pelanggan berkunjung ke sini,” ujarnya yang baru membuka restoran itu pada September tahun lalu.

Sudah pastinya Syok Satay menawarkan sate dan antara sate yang ditawarkan adalah daging, kambing, rusa dan ayam.


Mohamad Razif menjadikan kawasan lapang di hadapan rumahnya sebagai tapak restoran Syok Satay.

Bagi pemuda berusia 23 tahun itu, pendapat pelanggan turut diambil kira bagi mempelbagaikan lagi seleksi sajian yang sesuai untuk semua peringkat umur dan pelbagai kaum.

Selain tomyam yang ‘wajib cuba’ itu, Syok Satay tentunya menawarkan pelbagai jenis sate iaitu jenis daging, rusa, ayam dan kambing.

Menu lain pula seperti nasi goreng seafood, nasi goreng ketam, udang gertak atau udang lipan berlada dan ketam paprik.

Alamat:
Syok Satay 
No 08 Jalan Sri Tiram Jaya
45500 Tanjung Karang 
Selangor
Waze/Google maps : Syok Satay.
Syok Satay

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain