KALI pertama mendengar nama bandar Kotor, penulis tergelak kerana tidak terfikir ada nama bandar seumpama itu di dunia ini. Namun, selepas menjejakkan kaki di Kotor, satu bandar pelancongan di negara Montenegro, terlalu jauh maksud nama itu dalam erti kata 'kotor dalam bahasa kita. Bersih, cantik dan menakjubkan! Itulah kata-kata yang boleh digambarkan sebaik masuk ke kota yang terletak di Teluk Kotor, menghadap Laut Adriatik. Kota yang dikelilingi tembok tinggi ini kaya dengan seni bina di zaman Venetian. Kota kucing Syurga peminat kucing di Kotor. Sinomin dengan gelaran kota kucing, memang tidak disangkal kerana sebaik memasuki kota yang turut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Unesco ini, penulis disambut oleh beberapa ekor kucing comel dan berbulu tebal. Walaupun hanya kucing jalanan, tetapi kucing-kucing di Kotor seolah-olah dijaga dengan baik dan bersih. Difahamkan, penduduk tempatan dan juga pelancong asing turut membantu memastikan kucing-kucing jalanan ini tidak terbiar dan comot. Muzim Kucing. Bukan itu saja, di kota ini pengunjung juga berpeluang melawat Muzium Kucing yang terletak di tengah-tengah kota yang tidak boleh dilalui oleh kenderaan termasuk kereta dan van. Hanya 1 Euro (RM4.85), anda boleh masuk ke muzium yang dimiliki pasangan suami isteri warga tempatan yang mencintai kucing. Selain pameran, pasangan ini turut menempatkan beberapa ekor kucing milik mereka yang bebas bermain. Banyaknya kedai cenderamata kucing! Menelusuri lorong-lorong kecil di kota lama ini, memberi peluang kepada pengunjung untuk membeli belah cenderahati di setiap kedai di celah-celah lorong itu. Kebanyakan kedai di kota lama Kotor menjual barangan berkaitan kucing. Lebih menarik hampir kesemua kedai di kota ini menjual cenderamata berkaitan kucing. Dari sekecil-kecil cenderamata seperti magnet peti ais hinggalah ke patung kucing, sebut saja semua ada yang berkaitan kucing. Ini tentunya menambahkan keseronokan kepada peminat kucing untuk menambah koleksi. Bagi peminat koleksi Hard Rock Café, pengunjung boleh singgah ke premis itu yang terletak di sebelah lorong kanan sebaik masuk di pintu utama kota ini. Masjid di perkampungan Tivat yang terletak 10 kilometer dari kota lama Kotor. Walaupun tiada Pusat Islam atau masjid di kota ini, pelawat Muslim boleh menunaikan tanggungjawab sebagai umat Islam di perkampungan kecil, Tivat yang terletak hanya 10 kilometer dari Kotor kerana di situ terdapat sebuah masjid yang lebih dikenali sebagai Mesdzid Tivat. Budva, kota berusia 2,500 tahun Puas meneroka kota Kotor, perjalanan diteruskan ke satu lagi kota lama di Montenegro yang hanya mengambil masa setengah jam perjalanan iaitu Budva. Kota lama yang juga kota tertua di Laut Adriatik ini dikelilingi tembok tinggi berusia lebih 2,500 tahun dikatakan mercu tanda bandar Budva, satu lagi bandar pelancongan di Montenegro. Kota lama Budva menghadap Laut Adriatik. Pernah dilanda gempa bumi besar pada 1667 dan 1979 menyebabkan kerosakan kepada teruk pada struktur kota lama itu. Menjejakkan kaki di kota lama ini, seolah-olah berada di abad pertengahan. Bergambar di lorong kota lama Budva. Namun, berhati-hati ketika memasuki kota lama ini, kerana keasyikan mengagumi keindahan seni bina serta terpukau dengan kedai menjual cendera mata sepanjang lorong-lorong kecil, boleh membuatkan kita sesat untuk mencari jalan keluar. Ini kerana lorong-lorong kecil yang berlantaikan batu cobble atau buntar, yang seakan-akan sama pada setiap lorong, ada kalanya jika tidak perasan boleh sesat. Nah, apa lagi mari kita cari kelainan dalam destinasi kunjungan kita.