KIMCHI! KIMCHI! KIMCHI! Macamlah Korea tiada hidangan lain yang boleh menambat hati penggemar makanan selain jeruk kobis pedas itu. Sebenarnya, Cik Dhia secara jujurnya kurang meminati kimchi, sebab itulah Cik Dhia agak keberatan apabila diajak berkunjung ke restoran Korea. Tapi, dengarnya ada sebuah restoran Korea yang baru dibuka di Desapark City yang mampu ubah pandangan Cik Dhia terhadap makanan Korea. Walaupun baru dibuka dan terletak di kawasan kediaman elit yang sedikit ‘tersembunyi’, restoran Outdark yang berasal dari Busan ini mempunyai tarikan tersendiri yang menghidangkan menu signatur berbeza dari restoran lain. Memandangkan ia merupakan kali pertama Cik Dhia menjejakkan kaki di Outdark, Cik Dhia tertarik melihat 'setting' restoran ini yang bercahaya malap dan agak romantik. Ia memberikan suasana intim dan privasi buat mereka yang mahu lari seketika dari kesibukan di tempat kerja. Dinding kaca yang dilukis dengan pen 'marker' berwarna-warni di bahagian pintu masuk dan jaring mangga yang dikhaskan untuk pelanggan Outdark terutamanya bagi pasangan yang bercinta adalah antara sudut bergambar yang tidak harus dilepaskan. Jangan lupa coretkan ucapan anda di sini jika berkunjung ke Outdark! Melangkah setapak lagi, Cik Dhia ternampak peti pos berwarna merah yang digunakan untuk mengepos poskad kepada diri sendiri, tapi untuk masa depan. Mengelirukan bukan? Begini, Cik Dhia diberikan sekeping poskad yang bertemakan pelbagai destinasi pelancongan di Korea untuk dituliskan ucapan kepada diri sendiri, tetapi ia akan diposkan kepada Cik Dhia pada 1 Januari tahun berikutnya oleh pemilik restoran. Kakitangan Outdark menunjukkan poskad 'masa depan' yang diberikan kepada setiap pengunjung restoran ini. Selesai mengirim poskad kepada diri sendiri, Cik Dhia pun tidak sabar nak menjamu selera. Khabarnya, kalau datang ke Outdark kenalah cuba makan ‘cheese kingdom’ yang dihidangkan panas-panas bersama nasi rumpai laut, kentang lenyek, nanas, ayam tanpa tulang serta limpahan keju mozarella dan cheddar. Lebih istimewa, pelayan Outdark akan membuat demonstrasi cara untuk makan hidangan ini dengan betul, terutamanya bagi ‘newbie’ macam Cik Dhia. Inilah cara yang betul untuk makan cheese kingdom! ‘Cheese kingdom’ ini disalut dengan tepung yang diimport dari Korea dan dimasak terlebih dahulu di dalam ketuhar selama lima minit sebelum diletakkan keju. Kemudian, ia dipanaskan pula menggunakan dapur mudah alih sehingga keju tadi cair. Isi ayam yang empuk dan ‘ddeok-boki’ (kek beras) bersalut sos istimewa Outdark itu dibalut menggunakan keju mozarella dan cheddar menjadikan hidangan ini lebih daripada sekadar ayam keju yang pernah dinikmati sebelum ini. Hidangan ini boleh dimakan untuk dua hingga tiga orang kerana terdapat nasi rumpai laut yang dihidangkan bersama, sesuai bagi mereka yang tidak sah makan tanpa nasi! Sebelum Cik Dhia lupa, satu lagi menu yang menjadi pilihan utama pelanggan ke Outdark adalah ‘originate Outdark chicken’ yang dihidangkan bersama kentang goreng pelbagai bentuk. Daging ayam yang digunakan adalah jenis tidak bertulang yang digaulkan bersama tepung dan mentega, diterbangkan khas dari Korea. Ia menggunakan barangan import agar rasanya tidak berubah daripada ‘originate Outdark chicken’ yang diilhamkan dari Busan ini. Originate Outdark chicken digoreng menggunakan tepung dan mentega yang diimport khas dari Busan. Ayam goreng ini juga digoreng menggunakan minyak masak premium, jadi tak hairanlah rasanya juga premium! Antara menu lain yang terdapat di Outdark adalah ‘dongrae seafood jijim’ yang kelihatan seperti lempeng; ‘Chef Choi’s hot pot’ yang hanya ditawarkan di cawangan Outdark di Malaysia dan sup ‘oppa fish cake’ yang biasa dijual sebagai makanan jalanan di Korea pada musim sejuk. Dongrae seafood jijim ini sesuai dinikmati bersama secawan teh panas. Alamat: Outdark, B-G-10 Bellamy, Plaza Arkadia, No. 3 Intisari Perdana, Desa Parkcity, 52200 Kuala Lumpur. Waktu operasi: Setiap Isnin hingga Khamis dari pukul 5 petang hingga 10 malam, manakala setiap Jumaat hingga Ahad dan cuti umum pula dari pukul 12 tengah hari hingga 11 malam.