suria

Kombinasi 'Berjaya' Nasi Oyen, Ayam Sambal Serai!

Kepak ayam panggang membangkit selera.

MALAYSIA memang 'kaya' dengan nasi. Ada nasi putih, nasi lemak, nasi kerabu, nasi hujan panas dan pelbagai jenis nasi lagilah!

Tapi, anda pernah dengar tentang nasi oyen?

Menurut peniaga trak makanan Dani's Recipe, Saidatul Roshida, 29, nasi oyen merupakan nasi yang dimasak menggunakan lobak merah dan mentega.

Saidatul Roshida

Perkataan 'oyen' itu bermaksud oren, yang juga warna lobak yang menjadi bahan utama untuk memasak hidangan ini.

Lebih menarik lagi, nasi oyen dihidangkan dengan dua pilihan lauk sampingan iaitu ayam sambal serai dan ayam panggang.

Beroperasi secara tetap di Presint 2, Putrajaya, Dani's Recipe turut menawarkan hidangan lain seperti kepak ayam panggang, spaghetti hotstuff ayam panggang, cheezy macaroni, hot cheeze chicken chop dan banyak lagi.

Namun, nasi oyen tentunya paling menarik perhatian kerana namanya yang unik dan tidak terdapat di kedai-kedai lain.

Penulis, sewaktu berkunjung ke trak makanan ini berpeluang merasai keenakan nasi oyen yang menjadi sebutan ramai di Instagram.

Ternyata, gabungan mentega dan lobak yang diadun bersama nasi mencetuskan satu rasa yang memikat selera.

Pada mulanya penulis agak skeptikal dengan rasanya, namun setelah mencuba, keraguan itu hilang begitu sahaja.

Dimakan pula dengan ayam sambal serai, ia ternyata satu kombinasi yang berjaya!

Ayam sambal serai sebenarnya tidak jauh berbeza dengan sambal nasi lemak biasa, namun aroma dan rasa serai dalam sambal tersebut yang menjadikannya lain dari yang lain.

Untuk pengetahuan semua, difahamkan nasi oyen merupakan satu hidangan sihat yang rendah kandungan kolestrol.

Ini kerana ia dimasak tanpa menggunakan minyak.

Jadi, mereka yang sedang menjalani diet tidak perlu risau untuk mencuba kesedapan nasi oyen.

Walaupun saiz hidangan nasi oyen agak besar ditambah pula dengan lauk ayam, ia dijual pada harga RM7 sahaja.

Bagi mereka yang malas untuk keluar dari rumah, Dani's Recipe turut menjalankan khidmat penghantaran di sekitar kawasan Putrajaya.

Alamat: Putrajaya Food Truck Hotspot, Presint 2, Putrajaya.


Artikel Lain