suria

Jangan lupa jadi pontianak, 'lepak' dengan hantu lain jika ke P.Pinang

Antara patung hantu yang dipamerkan dalam Cool Ghost Muzium Pulau Pinang.

SEBUT sahaja pasal hantu, boleh dikatakan semua orang ada cerita masing-masing. Kalau tak alami sendiri pun, pasti pernah dengar pelbagai kisah seram orang lain kan?

Tak semua orang 'bertuah' untuk melihat sendiri entiti tu depan mata, tapi kalau teringin sangat bolehlah berkunjung ke Cool Ghost Museum yang terletak di George Town, Pulau Pinang.

Menempatkan lebih 30 jenis patung hantu, pengunjung bukan sahaja dapat mengenali rupa dan nama hantu, malah boleh mempelajari mitos dan sejarah mengenainya.

Menurut staf muzium itu, Ellis Elisa, 18, ia merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

"Selain kenal jenis-jenis hantu, di dinding juga ada maklumat mengenai mitos dan sejarah hantu tersebut. Jadi pengunjung boleh menambah pengetahuan mereka.

"Di sini kita ada pamerkan patung hantu pontianak, pocong, toyol, drakula, orang minyak dan macam-macam lagi," katanya kepada mStar Online.

Pengunjung juga boleh mencuba kostum yang disediakan bagi merakam foto kenangan.

Selain melihat pameran hantu, pengunjung juga boleh mencuba kostum hantu yang disediakan.

Penulis sewaktu kunjungan ke muzium itu baru-baru ini berpeluang memakai pakaian pontianak yang disertakan dengan rambut palsunya.

Memang seronok bagi mereka yang mahu merakam gambar sebagai 'hantu'.

Penjelajahan muzium itu bermula dengan seksyen pertama yang menempatkan hantu Melayu.

Bagi menambah 'feel' seram, pihak muzium membina rumah, perigi dan tandas yang kelihatan sama seperti babak filem.

Meja makan yang menempatkan hantu-hantu 'mat saleh' antara kawasan pilihan pengunjung untuk bergambar.

Seterusnya, pengunjung akan melewati seksyen hantu 'mat saleh' yang menempatkan drakula dan beberapa karakter seram lain.

Ia merupakan antara kawasan yang paling seronok untuk bergambar.

Dengan sebuah meja makan lengkap dengan pelbagai juadah di atasnya, anda boleh merakam gambar menjamu selera bersama hantu-hantu yang ada di situ.

Malah, terdapat juga keranda di dalam bilik itu bagi menambah elemen seram.

Beralih ke tingkat paling atas, ia menempatkan ruangan hospital berhantu. Di situ, terdapat patung hantu jururawat dan pesakit yang menyeramkan.

Malah, terdapat juga hantu bungkus yang ditempatkan di atas rak seperti peti dalam bilik mayat.

Tak cukup dengan itu, penulis meneruskan penerokaan ke bahagian seterusnya yang mempamerkan hantu Jepun.

Sampai sahaja ke ruangan itu, terdapat dua hantu Jepun lengkap berpakaian kimono di atas kerusi dan atas tangga.

Malah, pengunjung juga boleh memakai kimono yang disediakan untuk bergambar di situ.

Yang penting, kimono yang disediakan untuk pengunjung 'matching' dengan kimono hantu di situ. Alaaa...sedondon macam baju raya tu.

Salah satu patung hantu yang terdapat di sini.

Ruangan terakhir pula bertemakan haloween. Di sini anda boleh memakai topi buah labu yang sinonim dengan sambutan halloween.

Apa yang menarik, kawasan halloween ini 'glow in the dark'.  Topi labu dan pakaian anda akan kelihatan menyala dalam ruangan itu.

Setelah berakhirnya penjelajahan ke semua bahagian, anda akan dibawa terus ke kedai cenderamata.

Di sini anda boleh mendapatkan pelbagai barangan bertemakan hantu dengan harga berpatutan.

Penerangan dilekatkan di dinding bagi memberi maklumat mengenai mitos dan jenis-jenis hantu.

Apa yang istimewa mengenai muzium ini ialah, anda boleh memilih untuk melakukan jelajah secara sendiri ataupun ditemani staf.

Jika anda punyai banyak soalan dan kemusykilan yang ingin diutarakan, anda boleh meminta staff muzium itu temankan.

Untuk masuk ke muzium ini, tiket kanak-kanak dijual pada harga RM8, dewasa RM18 dan pelajar RM10.


Artikel Lain