MERANCANG percutian boleh menjadi sesuatu yang boleh memeningkan kepala dan dalam masa yang sama mengujakan. Setiap orang pasti mahukan harga terbaik untuk penerbangan dan penginapan serta merangka jadual perjalanan agar tak ada lokasi menarik yang terlepas untuk dikunjungi. Tetapi, bagaimana pula dengan insurans? Ketika sedang melancong, insurans perjalanan sepatutnya sudah diselesaikan, namun ramai antara kita menganggap ia tak penting lalu insurans diketepikan walaupun hakikatnya banyak perkara terburuk boleh terjadi. Ketua Perniagaan Peribadi Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad Kevin Lim berkata rakyat Malaysia mempunyai tanggapan bahawa polisi perjalanan yang diambil merangkumi segalanya di atas muka bumi, tapi sebenarnya tidak! “Sebuah polisi insurans perjalanan tidak berfungsi dengan cara itu. Tidak wujud sebuah polisi yang bersesuaian untuk melindungi semua pelanggan. “Jadi, letakkanlah usaha yang sama apabila anda ingin membeli insurans perjalanan sama seperti apabila anda merancang percutian,” katanya. Justeru, ketika membeli insurans perjalanan, pertimbangkanlah tiga perkara di bawah: Ketahui perlindungan apa yang anda perolehi Fahami dan bandingkan manfaat-manfaat. Sebuah polisi insurans perjalanan yang biasa akan menawarkan perlindungan untuk kematian dan kecacatan kekal akibat kemalangan, perbelanjaan perubatan, pemindahan kecemasan perubatan dan penghantaran pulang serta kelewatan perjalanan dan kelewatan bagasi. Untuk perjalanan luar negara, pastikan manfaat-manfaat yang diberikan termasuk gangguan perjalanan, bagasi peribadi dan sambungan perjalanan yang terlepas dan lain-lain. Sesuaikan insurans perjalanan mengikut keperluan anda Sama ada anda sedang merancang percutian cuti-cuti Malaysia atau ingin mengembara di New Zealand, sentiasa ingat untuk menyesuaikan insurans perjalanan mengikut keperluan perancangan perjalanan anda. Maknanya, jika anda merancang untuk mengharungi jeram (white water rafting) di New Zealand, pastikan anda dapatkan sebuah rider pilihan yang melindungi sukan air atau sukan lasak. Di samping itu, fikirkan juga tentang bantuan perubatan di kawasan terpencil mungkin susah untuk diperolehi atau terbukti sangat mahal. Baca cetakan halus Ambil tahu tentang apa yang ditawarkan oleh polisi perjalanan dan jangan hanya tumpu kepada jumlah yang diinsuranskan. Anda juga harus sentiasa baca cetakan halus dalam polisi anda. Jika terlalu sibuk untuk membaca tulisan kecil polisi, layari lawan web penanggung insurans anda dan cari polisi tersebut. Gunakan jalan pintas papan kekunci, tekan Ctrl+F dan gunakan kata kunci seperti ‘pampasan’ dan ‘pembayaran semula’ untuk memahami sepenuhnya perlindungan yang ditawarkan oleh polisi anda. Cari dan fahami perkara di bawah aksara juga. “Secara keseluruhannya, kita sangat kurang kesedaran. Kebanyakan orang akan berjimat dalam membeli insurans perjalanan kerana mereka percaya bahawa; ia takkan terjadi kepada saya. “Rasa selamat yang palsu akan membawa padah kerana kesihatan dan kesejahteraan anda mungkin dianggap sebagai tiada kos, tetapi ia datang dengan sebuah harga,” kata Kevin. “Insurans perjalanan boleh melengkapi perlindungan insurans kesihatan ketika anda berada di luar negara. Kebanyakan orang sangat cenderung untuk mengabaikan realiti apabila anda berada di luar negara, kadar pertukaran mata wang memainkan peranan. “Jadi, jika anda terlibat dalam kemalangan atau jatuh sakit, kos rawatan atau kemasukan ke hospital akan berganda. “Soalan yang harus anda tanya kepada diri sendiri ialah; adakah anda mampu untuk membayarnya? Kerana itulah penting untuk membeli insurans perjalanan yang memenuhi keperluan anda," katanya. Melancong menjadi kian mampu milik dan mudah diakses, sama ada anda melancong dalam atau luar negara, tetapi jangan pernah sesekali mengambil mudah percutian anda tanpa membeli insurans.