ALUNAN rancak lagu 'Believer' dendangan Imagine Dragons berkumandang memeriahkan suasana Pantai Teluk Chempedak di Kuantan, Pahang dan dari jauh kelihatan api berputar-putar di udara. Sesekali kedengaran sorakan pengunjung yang membentuk bulatan manusia mengelilingi empat lelaki yang khusyuk bermain api mengikut alunan muzik. Dikenali sebagai TC.Fireshow, empat anak muda itu menarik perhatian pengunjung pantai tersebut sejak Disember lalu menerusi kebolehan mereka membuat persembahan menggunakan api termasuk kehebatan 'menelan' elemen dasar alam semesta berkenaan. Pengasas TC.FireShow, Zulkarnain Ismail, 20, berkata tiada yang lebih menggembirakan mereka daripada melihat pengunjung terpaku sehingga tamat persembahan. "Satu kepuasan melihat pengunjung terpegun melihat aksi kami... berbaloi dengan kepayahan kami berlatih sehingga tertelan minyak diesel yang menyebabkan kami cirit-birit," katanya semasa ditemui di pantai peranginan popular itu baru-baru ini. Tiga lagi anggota kumpulan itu ialah Ruzaini Aman, 34; Mohd Rafiuddin M Yusof, 29 dan Sukri Musa, 28. Menurut Zulkarnain, minatnya untuk bermain api timbul apabila menonton persembahan tersebut semasa bercuti di Pulau Perhentian, Terengganu sehingga mendorong beliau 'menebalkan muka' meminta diturunkan ilmu oleh pemain api berkenaan. Penuntut semester empat jurusan kejuruteraan mekanikal automotif Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah di sini itu berkata beliau mengambil masa seminggu untuk mempelajari teknik asas bermain api sebelum berlatih sendiri di rumah selama sebulan lagi. "Penghujung Jun tahun lalu saya beranikan diri buat persembahan seorang diri di sini dan Alhamdulillah, semakin lama semakin ramai yang menonton. Tak sangka pula ada mata yang ‘memerhati”," katanya sambil melirik ke arah tiga lagi anggota kumpulannya. -foto BERNAMA Menurutnya, Ruzaini yang turut dikenali sebagai Angah, menyatakan hasrat untuk menjadi anak didiknya agar mereka dapat membuat persembahan secara berkumpulan kerana merasakan persembahan solo 'agak kurang menyengat'. Selain menggunakan batang kayu yang dinyalakan api pada kedua-dua hujungnya, persembahan TC.FireShow yang diadakan dua hingga tiga kali setiap malam minggu, turut menggunakan ‘fire boi' - alat berantai yang hujungnya dinyalakan bebola api selain persembahan menelan api. Ruzaini pula berkata masing-masing mempunyai alatan kegemaran sendiri dan pilihan beliau ialah fire boi manakala Zulkarnain handal mengendalikan kayu. "Kami juga gemar menggunakan minyak diesel kerana lebih selamat dan murah berbanding minyak tanah yang lebih mudah menyambar... sudah tentu dalam setiap persembahan keselamatan adalah perkara yang paling dititikberatkan. "Kami menyediakan pemadam api termasuk selimut api sebagai persediaan dan ibu bapa juga diingatkan agar mengawasi anak kecil supaya tidak terlalu hampir (dengan persembahan) selain amaran supaya tidak meniru aksi kami," katanya. Menurut anak kelahiran Pulau Mutiara itu, sebelum memulakan persembahan mereka akan memeriksa arah angin bagi mengelakkan risiko ke atas diri sendiri dan juga penonton. Katanya sepanjang persembahan, komunikasi merupakan perkara terpenting dan memandangkan mulut mereka pada kebanyakan masa dipenuhi diesel, mereka perlu membaca bahasa tubuh rakan sepasukan atau berinteraksi menggunakan bahasa isyarat. Sementara itu, Mohd Rafiuddin atau lebih mesra dipanggi Rafi, berkata walaupun setakat ini persembahan mereka sering mendapat tepukan gemuruh penonton, masih banyak yang perlu dipelajari mereka agar persembahan lebih mantap dan penonton rasa ‘berbaloi' dengan sumbangan yang diberi. "Kami banyak belajar daripada YouTube. Bukan senang berguru menggunakan teknologi. Lihat sahaja tangan kami, semuanya ada parut yang kami gelar tanda pangkat... yang paling tinggi pangkat sudah pasti Angah sebab parut besar terkena api di bahu," katanya dalam nada seloroh. -Bernama