suria

Lupakan Orchard Road... Kawasan Little India, Singapura pun ada hotel yang wow!

Pemandangan dari bilik yang menawarkan keindahan senja di Singapura yang mengasyikkan.

KEBIASAANNYA apabila ingin bercuti ke Singapura, ramai yang cenderung memilih untuk menginap di hotel-hotel yang terletak di sekitar Orchard Road.

Maklumlah, jalan ini merupakan lokasi tumpuan ramai, terutamanya dalam kalangan mereka yang gemar membeli-belah.

Di sinilah terletaknya pusat pusat beli-belah yang menempatkan pelbagai barangan berjenama mewah serta jenama mampu milik seperti H&M, Cotton On, Uniqlo, Guess dan Victoria Secret.

Dek kerana populariti yang diraih, maka hotel-hotel yang beralamatkan Orchard Road atau yang berhampiran bukanlah murah untuk ditempah. 

Lebih-lebih lagi dengan kadar tukaran mata wang yang agak tinggi ketika ini. Untuk perbelanjaan lebih bijak dan tidak membebankan, adalah lebih baik menempah hotel yang terletak di luar kawasan Orchard Road. 

Soal pengangkutan awam tidak perlu dirisaukan memandangkan negara di Seberang Tambak ini menjanjikan sistem pengangkutan awam yang cukup efisien.

Satu-satunya hotel bertaraf 4 bintang yang ada di kawasan Little India, Singapura.

Jika anda mementingkan penginapan selesa serta menawarkan kemudahan yang lengkap, apa kata pilih Hilton Garden Inn Singapore Serangoon untuk melepaskan lelah. 

Hotel yang terletak di Little India ini jauh daripada kesibukan kota, mudah diakses serta masih baharu lagi iaitu kurang dari setahun.

Mempunyai 328 buah bilik dan suite, hotel yang berharga di antara S$163 (RM491.60)  ke S$216 (RM651.50) ini boleh disifatkan sebagai mesra keluarga biarpun ia lebih popular dalam kalangan business traveler. 

Sama ada anda bercuti dengan membawa kenderaan sendiri ataupun menaiki pengangkutan awam, hotel ini merupakan pilihan ideal. Berikut adalah sebab mengapa anda patut jadikan hotel ini sebagai pilihan!

1. Mudah diakses

Terletak kira-kira enam minit berjalan kaki dari MRT Little India MRT. Jadi mudah untuk ke mana-mana. Untuk ke Orchard Road, memerlukan perjalanan satu atau dua stesen (bergantung kepada laluan yang dipilih) sahaja. 

Perkhidmatan cucian pakaian yang memerlukan tetamu membeli token pada harga berpatutan.

Jika memandu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi Singapura, ia mengambil masa 25 minit. Sementara pemanduan dari Central Business District dan Suntec Convention & Exhibition Centre mengambil masa kira-kira lapan minit.

2. Banyak tarikan berhampiran

Selain Orchard Road, terdapat lima lagi tarikan yang berada berhampiran hotel iaitu Kuil Sri Veeramakaliamman, pusat beli-belah Mustafa Centre yang dibuka 24 jam, Tekka Centre, Arked Little India dan juga Marina Bay Sand.

3. Cita rasa mewah bak hotel lima bintang

Bilik-bilik menampilkan dekorasi moden kontemporari di mana ia turut dilengkapi dengan kemudahan bilik yang lengkap seperti sebuah HDTV 43 inci, peti sejuk mini, mesin pembuat kopi, peti keselamatan bersaiz komputer riba, serta produk mandian mewah daripada Crabtree & Evelyn.

Bilik 'Twi  Deluxe' yang luas sesuai untuk keluarga dengan dua anak kecil.

4. Kemudahan mesin dobi cuci sendiri berbayar

Selalunya jika mahu bercuti dengan anak-anak, perlu pastikan pakaian mereka tidak menjadi masalah. Jika menginap di sini, pakaian bersih tidak akan menjadi isu kerana terdapat ruang dobi yang disediakan untuk tetamu hotel. Baju boleh dicuci sendiri dengan harga yang sangat berpatutan.

5. Kemudahan mesin tukaran wang asing

Seandainya matawang dollar Singapura tidak mencukupi, boleh gunakan mesih yang disediakan di lobi hotel ini. Tidak perlu bersusah-payah mencari money changer berdekatan. Jimat masa dan tenaga.

6. Mudah mencari makanan halal

Biarpun hotel ini tidak menyediakan makanan halal untuk tetamu, mencari makanan halal bukanlah satu isu. Sebabnya mudah dicari. Ada beberapa restoran halal yang boleh dijadikan pilihan. Salah satunya ialah Sakunthala’s Restaurant yang menghidangkan masakan Indian authentic. Antara menu mesti cuba ialah Beriyani Ayam, Beriyani Kambing, Ayam Tandoori dan Ayam Massala.

Dari kolam renang hotel ini anda juga boleh menyaksikan pemandangan kota Singapura yang pesat maju.

7. Ada kemudahan kolam renang

Kanak-kanak dan kolam memang sukar dipisahkan. Biarpun kolam renang di sini tidak berapa luas, tetapi sangat memadai untuk anak-anak bergembira. Selepas seharian menjelajah Kota Singa, mungkin boleh curi masa sehari untuk bermalas-malasan di kolam renang.

8. Ada 7-Eleven untuk beli snek

Tak perlu susah-susah berjalan jauh untuk beli snek atau makanan ringan jika perut terasa lapar. Untuk yang ingin berjimat, boleh beli mi segera atau roti  di 7-Eleven yang terletak di sebelah lobi hotel. 

Artikel Lain