suria

Mahu teroka tempat 'rare', tapi tak berani? Pengarah Seni National Geographic Asia beri 6 tip penting ini

Noit berpeluang menjejakkan kaki di destinasi terpencil di Pulau Padar di Nusa Tenggara Indonesia. - Instagram @noitpippo

PERNAHKAH anda memasang impian untuk melawat destinasi yang jarang dijejaki pelancong lain tetapi menawarkan pemandangan luar biasa indah seperti Kepulauan Flores di Indonesia?

Pemandangan memukau di beberapa destinasi di benua Afrika Selatan juga tidak kurang hebatnya, bukan?

Namun, jauh di sudut hati pasti timbul rasa ragu-ragu untuk meneruskan niat itu kerana khuatir dengan keselamatan diri.

mStar berpeluang bertemu dengan Pengarah Seni National Geographic Asia, Mohd Syazwan Anuar atau lebih dikenali sebagai Noit Pippo di Ladang Pine Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk berkongsi tip pengembaraannya.

Beliau sudah meneroka ratusan destinasi yang jauh dari peradaban manusia moden di pelbagai benua.

Tugas Noit telah membuka peluang untuk dirinya meneroka ratusan destinasi 'rare' yang jarang dikunjungi orang lain.

1. Kajian sebelum bertolak

Berdasarkan pengalamannya, kajian terhadap lokasi yang ingin dikunjungi adalah paling penting bagi merendahkan risiko kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Antara kajian yang perlu diambil kira adalah berkenaan tempat tinggal, pengangkutan, budaya, masyarakat setempat dan makanan sepanjang berada di destinasi tersebut.

"Sekiranya anda memiliki pantang larang dalam bab makanan, misalnya orang Islam kena cari makanan halal atau orang Hindu tidak boleh makan daging lembu, sebaiknya anda bawa bekalan makanan sendiri," katanya kepada mStar.


Noit dan isterinya bergambar di hadapan Banjaran Crocker yang terletak di Sabah. - Instagram @noitpippo

2. Pasangan serasi

Kebiasaannya, makanan yang menepati selera sendiri sukar didapati di destinasi terpencil.

Jadi, rakan percutian yang serasi dan tidak terlalu cerewet juga penting bagi memastikan perjalanan sentiasa lancar.

"Biasanya pergi kawasan district (terpencil), makanan susah nak cari.

"Tidak semestinya apa yang anda mahu, anda akan dapat kerana banyak perkara tidak diduga yang berlaku," ujar Noit.

Noit terpaksa makan daging ikan paus yang diburu oleh orang Lamalera, Indonesia ketika menjalani penggambaran di sana. - Instagram @noitpippo

3. Gembira

Beliau juga menekankan agar sentiasa gembira dan tidak mudah tertekan apabila berdepan masalah ketika bercuti.

"Jangan tertekan dengan masalah-masalah kecil seperti makanan tak sedap atau tiada pengangkutan yang selesa.

"Kalau nak semua tu, anda tidak perlu keluar daripada zon selesa," katanya yang sudah lapan tahun bertugas menghasilkan dokumentari untuk National Geographic Asia.

Dapatkan simkad sebaik sahaja tiba di negara destinasi anda. - Gambar hiasan/Psafe

4. Gajet mencukupi

Perkara pertama yang harus anda lakukan sebaik tiba di destinasi adalah mendapatkan kad sim tempatan terutamanya jika ke negara dunia ketiga.

Katanya, kadar jenayah di negara-negara tersebut adalah tinggi. Justeru, telefon yang mempunyai sambungan internet dapat membantu anda membuat carian dan menghubungi pihak sepatutnya pada saat-saat genting.

Pakaian yang dibawa juga harus bersesuaian dengan aktiviti yang ingin dilakukan. - Instagram @noitpippo

5. Pakaian bersesuaian

Pakaian yang dibawa juga harus bergantung kepada lokasi yang ingin dilawati.

Noit menasihatkan agar membawa pakaian dan barangan yang perlu sahaja supaya memudahkan anda untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain.

Noit pernah menumpang di rumah penduduk tempatan sekiranya destinasi yang dikunjungi itu tidak mempunyai tempat penginapan. - Instagram @noitpippo

6. Pelan sokongan

Pelan sokongan harus difikirkan dengan teliti untuk berdepan dengan situasi pembatalan pada saat akhir oleh pihak penyedia perkhidmatan, terutamanya jika tempahan dibuat secara atas talian.

Gambar dua beradik kehilangan ibu bapa yang dirakam Noit semasa menjalani penggambaran dokumentari gempa bumi dan tsunami di Palu, Indonesia. - Instagram @noitpippo

7. Jangan ambil risiko

Sekiranya tempat yang ingin dilawati itu sedang bergolak atau berisiko mengalami bencana, Noit menasihatkan agar tidak mengambil risiko sehingga membahayakan nyawa sendiri.

Noit Pippo, destinasi terpencil

Artikel Lain