suria

Perhatian! Anda boleh diusir dari Australia jika 'kantoi' bawa barangan ini

Australia sangat tegas mengenai barangan yang dibawa masuk ke negara itu oleh pelancong.

AUSTRALIA semakin menjadi pilihan pelancong sebagai destinasi percutian namun undang-undang kastam di negara itu juga sebenarnya sangat ketat.

Bermula 17 April lalu, negara itu telah mengeluarkan beberapa peraturan baharu berhubung barangan yang tidak boleh dibawa masuk sesuka hati dan ia perlu diisytihar terlebih dahulu sejurus tiba di lapangan terbang.

Kegagalan berbuat demikian atau ditangkap membawa masuk barangan larangan visa lawatan anda mungkin akan dipendekkan atau dibatalkan.

Malah ada kes pelancong dihalang memasuki negara itu selama tiga tahun.

Sebelum nak melancong ke negara itu, jom baca senarai barang yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke Australia.

1. Makanan

Makanan yang dibawa masuk ke Australia mesti diisytihar menerusi Incoming Passenger Cards sekiranya menaiki penerbangan. Pihak sekuriti mungkin akan memeriksa sesetengah makanan yang dibawa bersama.

Antara makanan yang akan diperiksa termasuk uncang teh, herba, jeruk, beras, kacang dan produk tenusu.

2. Ubat-ubatan

Pil atau ubat-ubatan untuk kegunaan peribadi dibenarkan namun seseorang itu mesti menyediakan surat atau salinan preskripsi daripada doktor untuk mengesahkan ia digunakan bagi merawat sesuatu penyakit.

Malah bekalan yang dibawa juga tidak boleh melebihi tiga bulan.

3. Telefon dan komputer riba

Pihak kastam Australia mempunyai hak untuk menyemak telefon atau komputer riba anda dan sekiranya ada menyimpan video atau gambar lucah anda boleh berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda AUD$525,000 (RM1.5 juta).

4. Tumbuh-tumbuhan

Pokok, bunga dan benih adalah tidak dibenarkan dibawa masuk ke Australia tanpa kebenaran sebaliknya ia perlu mendapat permit Jabatan Pertanian dan Sumber Air negara itu.

5. Barangan bermusim atau perayaan

Jika ada berhasrat untuk berkunjung ke Australia pada musim perayaan, fikir dua kali sebelum ingin bawa lampu pelita, anyaman ketupat atau tanglung ke negara itu!

Dan seperti empat perkara yang disenaraikan di atas, ia juga perlu mendapat kebenaran dan pengesahan daripada pihak kastam. -SBS

Australia

Artikel Lain