suria

Orang Malaysia jarang ke Utara Bali tapi fuh... Mempesonakan!

Lake Tamblingan memiliki pandangan alam mempesonakan jiwa. Tenang sekali.

SELALUNYA jika memilih bercuti di Bali, Indinesia, ramai yang terbayangkan keindahan pantai-pantainya.

Seolah-olah Bali hanya ada pantai untuk dinikmati. Hakikatnya, Bali mampu menawarkan lebih daripada itu.

Jika mahu bersatu dengan kehijauan alam, pilihkah ke daerah yang terletak di Utara Bali. Di sana banyak lokasi penginapan yang menjanjikan kedamaian, jauh daripada hiruk-pikuk kota, sekali gus ideal untuk lokasi sembunyi buat seketika.

Salah satu penginapan yang menjanjikan pengalaman mengagumkan ialah Munduk Moding Plantation Nature Resort & Spa yang terletak berhampiran desa Munduk yang terkenal dengan keindahan alamnya.

Menawarkan vila-vila percutian eksklusif, resort yang dibina di dalam kawasan ladang kopi ini sangat mementingkan privasi kepada setiap tetamu.

Air Terjun Labuhan Kebo sesuai untuk mandi-manda biarpun laluan treknya agak mencabar.

Sebab itu, ada villa-villa di sini turut dilengkapi kolam renang dan jakuzi persendirian bagi memberi peluang kepada tetamu untuk bermalas-malasan di kamar tanpa sebarang gangguan. Bahkan tetamu dapat menikmati cuaca dingin seperti di Cameron Highlands.

Suasana sepi yang sesekali disapa oleh nyanyian unggas mencipta detik-detik yang tidak ternilai. Terasa minda cukup tenang. Lupa seketika masalah yang ada. Mungkin inilah tujuan utama resort ini dibina.

Menyingkap latar belakang pembinaan Munduk Moding Plantation Nature Resort & Spa, ia sebenarnya diilhamkan oleh seorang warga Eropah, Irene yang jatuh cinta dengan keindahan alam semulajadi Bali selepas bercuti di pulau itu pada tahun 2007.

Untuk menjamin privasi dan memastikan setiap tetamu mendapat layanan secara individu, hanya sembilan villa dan tiga suite yang tersedia untuk disewa. Jika anda datang secara berkumpulan, anda boleh menyewa seluruh resort, tetapi perlu buat tempahan awal.

Pura yang terdapat di Tasik Tamblingan

Antara jenis-jenis villa yang tersedia ialah One Bedroom Pool Villa With Jacuzzi, Two Bedroom Pool Villa With Jacuzzi, dan Garden Suites. Setiap villa punya keistimewaan tersendiri di mana perekanya, Popo Danes, seorang arkitek Bali yang terkenal menggabungkan ciri-ciri seni bina Bali dan citarasa moden.

Bintang utama resort ini sudah pastilah kolam renang infinitinya yang terpilih sebagai Kolam Renang Infiniti ketiga terbaik di dunia oleh Asia Spa.

Sambil bersantai bolehlah menikmati pemandangan panorama bukit-bukit, pergunungan dan juga laut Jawa.

Selain itu, jangan lepaskan peluang mengambil foto-foto terbaik di sini dan kongsikan di akaun media sosial. Percayalah, foto-foto yang terhasil pasti memukau.

Program Pengalaman MMP (MMP Experience Program)

Bercuti di resort yang jauh dari lokasi tumpuan pelancong tidak bermakna anda ketinggalan dalam banyak perkara.

Air Terjun Munduk hanya terletak beberapa minit dari resort.

Sebaliknya, ada kelebihan lain yang menunggu. Bersama Munduk Moding Plantation Nature Resort & Spa anda akan diberi peluang meninjau tarikan-tarikan yang berada berhampiran resort.

Bahkan, pihak resort juga memastikan keindahan budaya masyarakat Bali dapat dialami sendiri oleh tetamu. Dek kerana itulah mereka memperkenalkan ‘Program Pengalaman MMP’ kepada semua tetamu yang bermalam di sini. ‘Program Pengalaman MMP’ adalah program aktiviti khusus yang tersedia dalam harga bilik.

Antara aktiviti yang tersedia ialah kelas memakai pakaian tradisional Bali, melawat ladang kopi, kelas bermain gamelan, dan kelas membuat layang-layang.

Bagi yang tidak betah tinggal di resort sepanjang masa, boleh juga gunakan kemudahan shuttle pergi dan balik untuk melawat beberapa tarikan popular di sekitar Bedugul, serta beberapa air terjun berdekatan. Jadi tepuk dada, tanya selera.

Aktiviti yang mana menjadi pilihan hati?

Berikut adalah beberapa tarikan yang boleh dilawati jika bercuti di Munduk Moding Plantation Nature Resort & Spa.

Kolam renang infinitini ini terpilih sebagai Kolam Renang Infiniti ketiga terbaik di dunia oleh Asia Spa. 

1. Pura Ulun Danu Bratan

Terletak di Tasik Bratan di pergunungan Bedugul, Pura Ulun Danu Bratan yang dibina pada tahun 1633 ini menawarkan pemandangan tasik dan gunung-ganang yang indah. Untuk pengalaman lebih menyeronokkan, boleh juga menyewa bot laju yang tersedia. Caj masuk untuk pelancong luar negara ialah Rp50,000 (RM14.60) untuk dewasa dan Rp25.000 (RM7.90) untuk kanak-kanak.

2. Pasar Candi Kuning

Tidak jauh dari Pura Ulun Danu, terdapat sebuah pasar tempatan yang dikenali sebagai pasar Candi Kuning. Di pasar ini anda boleh membeli produk-produk masyarakat tempatan seperti buah-buahan, makanan tradisional, pakaian dan juga ole-ole untuk dibawa pulang.

3. Kebun Raya Bali

Kebun Raya Bali ini adalah salah satu taman botani terbesar dan terluas di Bali. Keluasan Kebun Raya Bali ini mencapai 1575 hektar, dan terletak di ketinggian 1250-1450 di atas permukaan laut. Di sini anda boleh menghabiskan masa dengan berpiknik atau meninjau kehijauan alam yang mempesona.

Pura Ulun Danu Bratan dibina pada tahun 1633.

4. Danau Tamblingan 

Di Desa Munduk Singaraja terdapat sebuah danau atau tasik yang dikenali sebagai Danau Tamblingan. Danau ini merupakan hentian pertama bagi tetamu yang memilih shuttle untuk melawat beberapa air terjun berhampiran resort.

Di sekitar danau ini terdapat  pura yang biasa digunakan sebagai tempat upacara adat dan keagamaan. Percayalah pemandangan tasik ini sukar diungkapkan dengan kata-kata. Indah mempesona.

5. Trekking ke tiga buah air terjun

Terdapat tiga buah air terjun yang boleh dilawati di sekitar Desa Munduk iaitu Air Terjun Munduk, Air Terjun Labuhan Kebo dan Air Terjun Melanting. Air Terjun Munduk mesti dilawati kerana ia menjanjikan pemandangan yang cukup mengasyikkan.

Memang laluan ke air terjun ini agak memerlukan stamina, tetapi percayalah ia berbaloi. Berada di ketinggian sekitar 800-900 meter di atas permukaan laut tarikan ini memberi peluang untuk anda bermesra dengan alam.

Setiap villa mempunyai keistimewaan tersendiri dan terjamin privasinya.

Berbeza dengan Air Terjun Munduk, Air Terjun Labuhan Kebo pula memberi peluang untuk  mandi-manda kerana terdapat kawasan yang bagus untuk aktiviti ini. Laluan ke Air Terjun Labuhan Kebo lebih memenatkan kerana ia terletak agak jauh dari jalan masuk.

Satu lagi air terjun yang ada di sekitar Desa Munduk ialah Air Terjun Melanting. Air terjun ini mempunyai ketinggian kira-kira 20 meter. Di sini anda juga boleh menghabiskan masa dengan mandi-manda dan berendam.

Suasana persekitaran di ketiga-tiga air terjun ini cukup menyegarkan dan sangat sesuai dijadikan tempat penghilang penat. Hamparan kebun kopi dan cengkih menjadi sajian mata sepanjang trek menuju ke kawasan air terjun.

Terdapat caj masuk dikenakan untuk ke kawasan air terjun ini iaitu Rp10,000 (RM2.90) untuk setiap satu. Jadi, jangan lupa bawa wang siap-siap.

Artikel Lain