suria

Nak dapat tiket murah tak perlu sampai bersengkang mata, ini waktu dan bulan terbaik beli tiket kapal terbang

Tempah tiket anda beberapa minggu lebih awal untuk mendapatkan tambang pada harga terbaik. -Gambar hiasan

KETIKA kos melancong semakin meningkat dari semasa ke semasa, ramai sanggup bersengkang mata hingga tengah malam menunggu promosi tiket murah yang ditawarkan sesetengah syarikat penerbangan.

Namun tidak semua bertuah dalam 'battle' tiket tambang murah itu.

Usah kecewa kerana terdapat beberapa tip yang boleh anda ikuti untuk mendapatkan tiket tambang murah.

Satu faktor yang boleh mempengaruhi harga tambang tiket adalah masa ketika pembelian dilakukan.

Laporan laman web agregator tambang penerbangan, Skyscanner mendedahkan seseorang perlu bangun awal pagi untuk mendapatkan tawaran terbaik.

Menurut laporan itu, waktu terbaik untuk menempah tiket penerbangan pada hari tertentu adalah sekitar pukul 5 pagi.

Buatlah tempahan di awal pagi untuk mendapat tawaran tiket murah.

Bagi memastikan penjimatan terbaik, laporan itu mencadangkan buat tempahan penerbangan domestik pada pagi Selasa manakala pagi Rabu untuk penerbangan antarabangsa murah.

Bukan sahaja penting memberikan diri anda masa mencukupi untuk merancang percutian anda tetapi tempahan tiket lebih awal boleh menjamin harga jauh lebih rendah.

Jika anda mahu menempah tiket untuk perjalanan domestik, anda perlu lakukannya dua atau tiga minggu lebih awal manakala bagi penerbangan antarabangsa waktu terbaik adalah lima hingga enam minggu sebelum penerbangan.

Laporan itu turut menyebut bulan paling murah untuk menempah tiket penerbangan domestik adalah pada Januari, Februari dan Ogos.

Sementara itu, Oktober dan April adalah bulan terbaik untuk menempah tiket penerbangan antarabangsa.

Namun mengetahui waktu terbaik untuk menempah tiket penerbangan adalah salah satu cara anda boleh merealisasikan percutian idaman anda. - MSN

Artikel Lain