SETIAP kali merancang untuk bercuti ke luar negara, jarang-jarang kita memikirkan tentang risiko bayaran atas talian atau pakej yang ditempah yang menanti sehinggalah tiba di destinasi yang dituju. Tetapi, kajian baharu oleh news.com.au menunjukkan carian nama negara tertentu di Google sahaja sudah boleh meletakkan seseorang dalam situasi bahaya serta risiko ditipu walaupun belum berlepas meninggalkan negara. Syarikat perisian keselamatan komputer McAfee telah mengeluarkan data baharu yang menunjukkan penjenayah siber mengambil kesempatan terhadap beberapa carian Google tentang penginapan, pakej percutian dan aktiviti di pelbagai destinasi pelancongan popular. ARTIKEL BERKAITAN: Nak beli tiket murah? Tawaran tambang rendah Malaysia Airlines bermula hari ini Menurut kajian ke atas 1,000 peserta, rakyat Australia diperdaya menerusi pautan mencurigakan dan laman web palsu ketika membuat carian tentang pakej percutian. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran percutian yang terlalu murah! - European Consumer Centre Ireland Kajian itu mendapati 32 peratus rakyat Australia gemar menggunakan laman web yang tidak biasa dikunjungi mereka kerana tawaran diskaun yang menjimatkan. "Kami menyarankan orang ramai untuk menentusahkan tawaran percutian, sewaan dan penerbangan menerusi laman web yang dipercayai. "Jangan klik pautan atau tawaran yang keluar secara 'pop-up'," kata Ketua Saintis McAfee, Raj Samani. Selepas keaslian laman web disahkan, segala komunikasi dan bayaran hendaklah dilakukan melalui platform yang dipercayai supaya maklumat peribadi dan kewangan terselamat daripada ancaman penggodam. Berdasarkan kajian tersebut, terdapat lima destinasi percutian popular paling bahaya yang dikenal pasti oleh Google. London tersenarai sebagai destinasi yang menjadi sasaran scammer pakej percutian mencurigakan. - Shutterstock 1. New Delhi, India 2. Bangkok, Thailand 3. London, England 4. Phuket, Thailand 5. Manila, Filipina Aktivis keselamatan pengguna atas talian McAfee, Alex Merton-McCann berkata, orang ramai harus lebih berwaspada ketika membuat tempahan di internet dan tidak mudah mempercayai pakej percutian murah. "Kalau nampak seperti tawaran itu terlalu bagus untuk dipercayai, kemungkinan besar memang palsu. "Orang ramai patut berhati-hati ketika membuat tempahan percutian, sama seperti ketika membuat belian atas talian," katanya.