SEPERTI yang diketahui kebanyakan kaki travel, menaiki kapal terbang lebih selamat berbanding menggunakan pengangkutan darat. Keyakinan dalam industri penerbangan bagaimanapun terjejas apabila berlaku kemalangan besar, seperti pesawat Lion Air dan Boeing 737 Max Ethiopian Airlines yang berlaku dalam tempoh lima bulan. Pada 2018, seramai 556 orang maut dalam nahas udara, menurut Rangkaian Keselamatan Penerbangan, manakala Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan sekitar 1.35 juta orang maut setiap tahun akibat kemalangan jalan raya. Bagaimanapun, adakah anda tahu bahawa tahun 2000 dan seterusnya merupakan dekad paling berbahaya untuk perjalanan udara? Satu kaji selidik mengenai laluan paling berisiko di seluruh dunia oleh syarikat luar negara, 1st Move International mendedahkan beberapa data berkaitan jumlah mangsa terkorban dalam nahas kereta api, pesawat dan kenderaan darat yang harus diketahui oleh pelancong sebelum mereka memulakan perjalanan. Jumlah kematian dalam nahas pesawat meningkat dengan ketara pada tahun lepas, tetapi tidak ada sebab untuk mereka yang kerap travel untuk panik. Ini kerana sebanyak 15 kemalangan pesawat maut menunjukkan angka yang lebih tinggi berbanding purata kemalangan dalam tempoh lima tahun, tetapi ia masih menjadi tahun ketiga paling selamat untuk penerbangan komersial, menurut Rangkaian Keselamatan Penerbangan. Memandangkan anggaran trafik udara di seluruh dunia adalah di bawah 38 juta penerbangan pada 2018, kadar kemalangan adalah satu bagi setiap 2.5 juta penerbangan. Industri penerbangan komersial lahir di Amerika Syarikat, dan ia meletakkan negara itu di bahagian paling atas carta ini. Berikut 5 negara yang masuk dalam senarai paling bahaya untuk travel menggunakan pesawat di dunia berdasarkan kecelakaan paling buruk sejak 1968: 1. Amerika Syarikat (10 nahas dan 4,200 maut) 2. Sepanyol (tujuh nahas dan 1,367 maut) 3. Jepun (tiga nahas dan 946 maut) 4. Indonesia (lima nahas dan 873 maut) 5. Nigeria (lima nahas dan 787 maut). -SCMP