JIKA tiada sebarang perancangan pada cuti panjang hujung minggu ini bersempena Hari Malaysia apa kata menuju ke Desaru, Johor bersama rakan-rakan atau keluarga. Bukan sahaja untuk bermandi-manda sambil menikmati pemandangan indah di Desaru anda juga boleh meriahkan acara Desaru International Bike Week 2019 (DIBW2019) yang sedang berlangsung sehingga 16 September ini. ARTIKEL BERKAITAN: 'Luasempit Weekend Market' bakal tandingi populariti Chatuchak Festival besar-besaran ini memperlihatkan pelbagai aktiviti berkaitan sukan permotoran yang dikumpulkan di satu tempat sama bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat dari dekat dan merasai pengalaman kemeriahan bersama penggemar tegar motosikal berkuasa tinggi. Motosikal antik Vespa antara yang menjadi perhatian pengunjung. Paling best, pelbagai aktiviti dan pameran menarik termasuk trend terkini tentang motosikal berkuasa tinggi, aksesori, pakaian dan sebagainya di sepanjang 25 kilometer Pantai Desaru termasuk lokasi utama di Desaru Coast dan Tanjung Tiara. Tidak cukup dengan itu, pelbagai kelab motosikal tempatan dan antarabangsa turut memeriahkan acara empat hari itu bagi mempamerkan koleksi motosikal masing-masing dan bagi yang belum pernah melihat perlumbaan motosikal pantai, ini adalah masa paling sesuai. Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti lain turut disediakan buat pengunjung seperti fun fair, belon panas, aktiviti pantai, konsert serta barbeku di acara itu. Ahli kelab motosikal berkumpul di DIBW2019. Paling utama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim turut berkenan untuk mempamerkan koleksi peribadinya pada festival itu. Penganjuran DIBW2019 ini juga bakal menjadi minggu motosikal terbesar di Asia Tenggara dalam mengembangkan lagi mutu industri sukan permotoran di Malaysia. Untuk maklumat lanjut mengenai Desaru International Bike Week 2019 serta acara yang berlangsung layari www.desaruinternationalbikeweek.com atau ke Instagram @DIBW2019.