suria

7 aktiviti di Teratak Toksu… hilang ‘stress’ tengah sawah! RM80 je

Tenangnya melihat suasana sekitar Teratak Toksu yang terletak di Jalan Kampung Tua, Simpang 4, Semanggol, Perak.

SUASANA di ibu kota yang bingit dengan bunyi bising kenderaan dan kesesakan lalu lintas sudah tentu membuatkan fikiran kita menjadi serabut. 

Cara terbaik ialah mencari kedamaian dengan melihat panorama indah sawah terbentang luas sambil wajah disapa angin sepoi-sepoi bahasa. 

Tentu sekali suasana kampung yang semakin ditinggalkan itu lebih bermakna jika percutian keluarga turut disertai anak-anak yang dilahirkan pada era moden agar mereka dapat menghayati kedamaian itu.

Suasana hijau dikelilingi pokok padi cukup mendamaikan.

Jadi, jika anda memilih untuk ke Utara, singgahlah di Teratak Toksu, sebuah inap desa di tengah sawah padi yang terletak di Simpang Empat Gunung Semanggol, daerah Kerian, Perak.

Lokasi ini tidak jauh dari Parit Buntar dan Bagan Serai.

Sesuai dengan temanya, 'teratak di atas bendang' semestinya menjanjikan ketenangan alam semula jadi yang dikelilingi sawah padi sambil diserikan dengan bangau berterbangan yang dapat menjadi terapi mata.

Pemandangan sawah padi dari beranda rumah mendamaikan.

Menurut pengurus Teratak Toksu, Ahmad Zabidi Tusin, 49, rumah inap desa ini mempunyai tiga unit dan dibinia atas tanah sawah milik kelurganya.

Ia mula beroperasi sejak awal Januari lalu.

Mengetengahkan ciri tradisional melalui hiasan serta dekorasi teratak serta mengekalkan konsep rumah kayu moden. 50 peratus bahan binaannya daripada kayu manakala 50 peratus lagi daripada simen board.

Seakan-akan tidak percaya apabila anda melangkah masuk ke ruangan kamar, rekaannya berkonsepkan moden dengan ruang selesa, bilik mandi luas serta lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti penghawa dingin, kipas dan tilam empuk yang dibentangkan atas lantai, tiada katil.

Terdapat tali air di depan Teratak Toksu yang membolehkan pengunjung memancing puyu dan haruan.

"Walaupun luaran teratak ini kelihatan biasa, namun ia menjanjikan keselesaan kepada pengunjung akan kemudahan seperti penghawa dingin, televisyen, seterika dan sebagainya. Senang cerita ibarat anda berada di hotel tiga bintanglah," kata Zabidi yang juga bekas jurufoto akhbar The Star.

Teratak Toksu boleh disewa dengan harga yang berpatutan serendah RM80 sahaja untuk satu malam.

Antara keistimewaan lain jika anda memilih percutian di sini, pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti memancing di tali air dan berbasikal mengelilingi kampung. 

“Kami juga menyediakan aktiviti berbasikal kepada pengunjung untuk bersiar-siar mengelilingi kampung, memancing di kawasan bendang, mini pet zoo dan aktiviti memanah bagi kanak-kanak untuk merasai sendiri suasana kampung serta melihat aktiviti masyarakat setempat secara lebih dekat," kata Zabidi.

Jika anda memilih untuk ke Teratak Toksu, tujuh perkara boleh dilakukan hanya bermodalkan RM80 untuk penginapan satu malam.

Inilah keadaan dalam Teratak Toksu yang selesa selain berhawa dingin.

1. Memancing ikan

Dengan menginap di Teratak Toksu, anda boleh memancing ikan puyu, haruan serta belut di sawah dengan cara tradisional atau menggunakan joran. Lebih-lebih lagi ketika sawah padi mula menghijau, sambil berehat ambil angin. Seronok bukan?

2. Berbasikal

Di sini anda juga disediakan basikal untuk anda mengelilingi kampung sambil menghirup udara segar dan sedikit sebanyak dapat melapangkan fikiran.

Kanak-kanak mesti suka dapat memancing.

3. Joging

Mungkin sesuai bagi anda yang selalu bersenam, dikelilingi sawah padi serta pemandangan Gunung Semanggol semestinya mampu memberikan anda aura yang positif.

4. BBQ

Tidak dapat dinafikan, tidak akan lengkap percutian anda seisi keluarga jika tidak melakukan aktiviti barbeque (BBQ) pada sebelah malam. Selain dapat mengeratkan silaturahim antara keluarga. Pemilik teratak Toksu turut menyediakan tapak dan peralatan BBQ.

5. Memanah bagi kanak-kanak

Ramai yang tertanya-tanya, bagaimana aktiviti untuk kanak-kanak? Jangan risau di sini turut menyediakan aktiviti memanah bagi golongan itu. Seperti yang kita ketahui, memanah bukan sekadar beriadah tetapi boleh menjadi terapi dalam melihat emosi dan fizikal seseorang itu supaya lebih tenang.

Panorama macam ni hanya dapat dilihat jika pulang ke kampung sahaja.

6. Mini Pet Zoo (kanak-kanak)

Terdapat juga mini pet zoo khas buat kanak-kanak yang memuatkan pelbagai jenis burung, arnab, itik, kucing dan kolam ikan.

7. Melawat tempat tarikan pelancong

Menginap di teratak ini nyata tidak akan membosankan kerana kedudukannya yang cukup strategik dan dikelilingi lokasi tarikan pelancongan pasti membuatkan pengunjung sangat teruja.

Antara lokasi berderkatan yang boleh dikunjungi seperti bandar Taiping, Bukit Merah Laketown Resort dan The Hidden Nature Gem-Mangrove Kuala Gula yang merupakan penempatan nelayan sesuai buat anda yang ingin merasai ketenangan hutan bakau serta merupakan tempat pelindung burung di Malaysia.

Zabidi (bertopi) melayan pelancong Mat Salih yang menginap di Teratak Toksu miliknya. 

Malah terdapat juga aktiviti menarik yang boleh lakukan oleh pengunjung di Kuala Sepetang seperti melawat kilang pembuatan arang secara tradisional selain ia juga sesuai bagi penggemar makanan laut dan mi udang.

Pengunjung juga dapat menyusuri Sungai di Kampung Dew bagi melihat keindahan spesis kelip-kelip yang memukau pada waktu malam.

Buatlah tempahan awal jika berhajat ke sini dengan menghubungi 0194735811.

Inap desa, Teratak Toksu, bendang, sawah

Artikel Lain