TAHUN lalu kira-kira 25.8 juta pelancong antarabangsa dicatatkan berkunjung ke Malaysia dan ia bukti negara ini menjadi pilihan pelawat untuk bercuti. Malaysia bukan sahaja terkenal dengan pelbagai destinasi menarik malah kepelbagaian makanan dan masyarakatnya menjadikan ia tarikan pelancong luar negara. ARTIKEL BERKAITAN: Pelukis jalanan ini buktikan trademark mata tak sempurna bukan calang-calang, mampu angkat martabat seni mural negara! ARTIKEL BERKAITAN: Bangunan Labuan dihiasi wajah dua figura... kini giliran Hassan Sani dan Uncle Ah Ming diangkat hero negara Itu tidak termasuk dengan landskap dan bangunan lama sejak zaman kolonial yang turut menarik perhatian pelancong yang ingin mengabadikan foto untuk kenangan atau laman sosial. Bagaimanapun terdapat lambakan bangunan lama dan mempunyai sejarah tersendiri ini terbiar tanpa penyelenggaraan yang baik walaupun ia berpotensi menjadi tarikan pelancong. Menyedari akan hal itu, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan bersama agensi di bawahnya, Balai Seni Negara mengambil langkah proaktif dalam memberi nafas baharu pada dinding bangunan lama dengan menghidupkannya semula menerusi sentuhan artistik. Mural pemain bola sepak legenda, Datuk Hassan Sani di Labuan. Ini termasuklah melukis hamparan mural gergasi 'hero' ikonik masyarakat tempatan selain ia dapat menarik perhatian pelancong sekali gus dapat menyalurkan mesej dan sejarah sesuatu tempat dan bangunan. Baru-baru ini, lukisan gergasi seorang peniaga roti dikenali sebagai 'Uncle Roti' yang dilukis di sebuah bangunan di Balik Pulau, Pulau Pinang mendapat perhatian masyarakat sehingga ia tular di media sosial. "Pengaruh platform media sosial sangat besar hari ini dan usaha mencantikkan bangunan-bangunan lama ini diharap akan ramai yang berkongsinya di Facebook, Twitter dan Instagram dalam menarik minat pelancong," kata Timbalan Menteri Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan Muhammad Bakhtiar Wan Chik. Terbaharu pihak kementerian mengumpulkan artis tempatan dari Semenanjung untuk memberi nafas baharu di dinding bangunan lama di sepanjang jalan dari Lorong Tanjung Pasir, Jalan Utama Bandar Labuan sehingga Terminal Labuan bagi menarik pelancong ke sana bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020. Lukisan Uncle Roti tular di media sosial. Antara mural popular yang dihasilkan ialah potret seorang lelaki Cina berusia 62 tahun, yang dikenali sebagai Uncle Ah Ming, yang mewarisi perniagaan ‘air cincau’ 52 tahun mendiang bapanya dan mural pemain bola sepak Malaysia kelahiran Labuan, Datuk Hassan Sani. Ini termasuk mural ikan merlin biru yang juga lambang kemegahan Labuan. Labuan menjadi tumpuan kementerian dalam melakukan transformasi terhadap pelancongan wilayah persekutuan itu melalui pendekatan seni. Selain itu, ia dapat mengetengahkan strategi dan konsep penguwangan budaya (monetizing culture) dengan mencungkil bakat dan mengangkat potensi karya tempatan dalam menyumbang kepada peningkatan ekonomi setempat. Antara mural yang ada di sekitar Pulau Pinang. "Kita tidak boleh menafikan bahawa lukisan mural dan grafiti sangat digemari malah ia dapat menjadi tarikan pelancong. "Usaha kementerian tidak akan terhenti di sini sahaja sebaliknya setiap negeri akan mempunyai kawasan khas lukisan mural," katanya lagi. Malah kata Muhammad Bakhtiar, menerusi projek ini juga pihaknya dapat mengetengahkan bakat dan kepakaran pelukis tempatan sekali gus diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi," jelasnya.