UMUM tahu bahawa Malaysia terkenal dengan khazanah seni, budaya dan warisan. Secara globalnya, terdapat pelbagai kumpulan etnik bumiputera di Malaysia yang kaya dengan nilai-nilai murni, adat serta tradisi bagi mengekalkan adat turut temurun khas buat generasi akan datang. Baru-baru ini, penulis berpeluang mengikuti serta merasai sendiri pengalaman di dalam satu program Rentak Selangor: Dendang Hati, Lagu Jiwa, Irama kita yang dianjurkan di bawah kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Negeri Selangor. ARTIKEL BERKAITAN: Jom kenali budaya masyarakat Malaysia menerusi 'Art In The City' Terdiri daripada masyarakat berbilang kaum misalnya masyarakat Melayu, India, Cina dan lain-lain, Malaysia kini tidak dinafikan mempunyai nama tersendiri di persada dunia. Malah, kita sering diingatkan supaya terus memelihara serta menjaga seni, budaya dan warisan agar tidak terus hayut dibawa arus kemodenan. Berikut antara seni serta budaya yang terdapat dalam masyarakat Malaysia yang ramai tidak tahu: Persembahan Orkestra Cina yang dipersembahkan oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik Petaling Jaya, Selangor. 1. Chinese Orchestra Bagi anda yang tertanya-tanya, Orkestra Cina adalah sebuah persembahan yang terkenal dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia. Menariknya, persembahan ini menggabungkan muzik elemen China dan Barat. Selain itu, persembahan ini menggunakan instrumen tradisional Cina seperti Erhu, Pipa dan Dulsimer, malah turut menggunakan gubahan lagu-lagu tradisional masyarakat Cina dan lagu rakyat Melayu serta diselitkan dengan muzik Barat secara kotemperari. Apa yang boleh dikatakan, pasti anda teruja jika mendengar alunan muzik Orkestra ini. Mana tidaknya, dengan mengekalkan instrumen tradisional serta gubahan lagu masyarakat setempat yang diselitkan dengan elemen tempatan semestinya membuat anda terpegun. Seni mempertahankan diri, 'Wushu dan Taici popular dalam kalangan masyarakat Cina. 2. Wushu Tentu sahaja jika sebut tentang ‘wushu’, perkara pertama yang bermain di minda anda semestinya seni mempertahankan diri masyarakat Cina. Umum tahu, wushu memerlukan penekanan yang tinggi akan tahap fleksibiliti serta kekuatan dan daya ketahanan seseorang individu. Malah teknik sempurna dan kepantasan juga turut dititik beratkan bagi mereka yang berada di dalam bidang ini. Persembahan yang kreatif daripada pelajar-pelajar SMJK Katholik Petaling Jaya, Selangor. 3. Diabolo Tahukah anda akan permainan ‘diabolo’? Diabolo atau permainan yo-yo Cina merupakan satu permainan yang berasal dari negara China kemudian diperkenalkan di negara ini. Terdiri dari dua cekera yang mempunyai saiz yang sama, kemudian disambungkan dengan gandar atau tali yang panjang. Cara bermain, pemain hanya perlu melakukan pergerakan berselang seli dengan mengangkat dan menjatuhkan yo-yo tersebut dengan menggunakan dua batang kayu. Ini membolehkan yo-yo itu berputar pada tali yang diikat pada batang kayu tersebut. Malahan, permainan ini memerlukan kreativiti pemain bagi menghasilkan persembahan yang menarik. Untuk pengetahuan anda, permainan ini boleh dimain secara berpasang-pasangan dan pemain boleh melakukan pelbagai aksi serta gaya bebas seperti melontar yo-yo tersebut ke udara mahupun, bertukar dengan pasangan yang lain. Menakjubkan persembahan gendang 24 musim daripada pelajar-pelajar SMKJ Katholik Petaling Jaya. 4. Gendang 24 Musim Seterusnya, Gendang 24 Musim atau lebih dikenali sebagai gendang Cina. Haaa... Sebut sahaja tentang gendang 24 Musim semestinya, ia terdiri daripada 24 buah gendang dimana setiap gendang ini mewakili satu musim dan 24 musim pertanian yang terdapat dalam kalendar Cina. Bagi anda yang tidak tahu, terdapat musim utama dalam kalender Cina seperti musim panas, musim bunga, musim dingin dan musim gugur, dan kemudiannya setiap musim tersebut dibahagikan kepada enam musim kecil. Oleh itu, mengapa ia dikenali sebagai Gendang 24 Musim. Apa yang menarik lagi, musim-musim kecil ini mempunyai kaitan dengan jadual atau waktu yang sesuai bagi petani untuk melakukan aktiviti-aktiviti pertanian seperti membajak, menuai, menyemai serta lain-lain lagi. Persembahan tarian kayu atau Kolattam daripada Persatuan Kebudayaan dan Kesenian India, Batu Caves, Gombak. 5. Kolattam Tarian Kolattam merupakan salah satu seni persembahan tarian tradisional yang popular di kalangan masyarakat India. Kebiasaannya, tarian ini dipersembahkan oleh sekumpulan kanak-kanak atau remaja. Perkataan Kolattam itu sendiri menggambungkan dua perkataan Tamil iaitu ‘kol’ yang membawa maksud kayu pendek, manakala ‘attam’ adalah tarian. Jadi, inilah sebab terhasilnya perkataan kolattam yang membawa maksud sebuah tarian kayu. Antara tiga instrumen utama yang digunakan ketika tarian ini di persembahkan ialah Thavil, Pambai dan Urumi. Selain itu, minima penari adalah 4 orang dan maxima seramai 20 orang penari, ini kerana mereka perlu menari secara berpasang-pasangan. Kesemua penari-penari mengenakan pakaian tradisi bagi lelaki dan perempuan. Persembahan tarian Kuda Kepang ini dipersembahkan oleh para penari daripada Majlis Kebudayaan Negeri Selangor. 6. Kuda kepang Merupakan salah satu tarian yang popular dalam masyarakat Melayu ialah tarian kuda kepang. Kuda kepang atau tarian berbentuk pahlawan berkuda, pada asalnya berasal dari Jawa, Indonesia dan kemudian dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu, khususnya di negeri Johor. Kebiasaannya, tarian kuda kepang ini terdiri daripada 9 orang penari sambil diiringi dengan alunan gedang serta gong. Gedang ini dipalu mengikut irima, manakala gong pula dimainkan bagi menyedapkan sebagai bunyi muzik pengiring. Para penari biasanya akan mengenakan pakaian seragam dan kemudiannya menari mengikut rentak muzik dengan lenggokkan serta menggerakkan patung kuda ke kiri dan ke kanan seakan-akan sedang menunggangnya. Menariknya lagi, tarian kuda kepang kini, telah diolah dan amat berbeza sekali berbanding persembahan kuda kepang suatu ketika dahulu, di mana tarian ini diselitkan dengan unsur-unsur khurafat serta syirik.