JIKA berkunjung ke Seoul, Korea Selatan ramai antara kita pasti mahu mencuba hidangan popular di negara itu. Tidak terkecuali hidangan popular ikan bakar yang ditawarkan di sebuah restoran di Dongdaemun yang menjadi lokasi wajib kunjung rakyat negara ini jika melancong ke sana. Malah menerusi tinjauan di media sosial ramai pelancong Muslim berkongsi gambar pernah menikmati hidangan ikan bakar, sotong gril pedas dan seafood stew di restoran milik seorang wanita yang dipanggil 'aunty' itu. Namun perkongsian Mikail Arjuna mengenai restoran ikan bakar tersebut yang mana dia mendakwa terlihat hidangan 'pork stew' turut ditawarkan dalam menu restoran ternyata mengejutkan netizen. ARTIKEL BERKAITAN: "Kami tulis nama tipu-tipu" - 6 sahabat bercuti ke Korea nyaris tertipu gara-gara Hanbok free, lepaskan diri dengan 1,000 won ARTIKEL BERKAITAN: "Jangan ulangi kesilapan saya" - Lelaki ini trauma melancong ke Korea Selatan 'balik hari' Menurut pemuda itu, dia berkunjung ke restoran itu atas cadangan kawan-kawan dan bacaan online kerana ingin merasai sendiri masakan tempatan Korea yang turut menjadi kegemaran pelancong Malaysia di sana. “Sebaik tiba, saya melihat ada beberapa pelancong Malaysia yang sedang menjamu selera. Ini sedikit sebanyak menyakinkan saya untuk membuat pesanan. “Ahjumma (makcik) dengan mesra menyambut kehadiran saya lalu menunjukkan pilihan ikan yang sedang dibakar di luar kedai,” katanya. Namun Mikail berkata dia berasa sedikit pelik kerana apabila ahjumma kelihatan agak keberatan untuk menyerahkan senarai menu penuh kepadanya. “Saya mahu melihat menu penuh dan meminta kepada ahjumma. Sedikit pelik apabila dia kelihatan agak keberatan untuk memberikan kepada saya. “Dia mengambil menu dan menunjukkan pilihan makanan dengan dia sendiri memegangnya. Saya sememangya mahu membelek sendiri menu tersebut! Hidangan ikan bakar yang menjadi kegemaran pelancong Islam semasa berkunjung ke negara K-Pop itu. “Tidak mengapalah, dia nak pegang juga hati saya berbisik. Wah! Ada menu yang saya inginkan sotong kurita masak merah pedaslah! “Terus saya order satu set bernilai KRW10000 @RM36.30. Harga ini sangat murah berbanding di halal certified restaurant di Korea!” katanya. Jelas pemuda itu lagi, dia diberikan tempat duduk di aras dua dan mengambil menu yang tergantung di tepi dinding kedai kerana ingin menambah pesanan makanannya. “Saya diberikan tempat duduk di aras dua. Saya mengambil meja dan tak sabar rasanya nak makan sotong kurita pedas itu nanti. “Sambil memerhati pelanggan lain yang semuanya orang Korea sedang menikmati ikan bakar, terdetik hati saya untuk menambah ikan bakar juga. “OK juga disebabkan harganya yang murah. Saya lantas mencari menu dan ternampak ia tergantung dengan disangkut pada tepi dinding kedai,” katanya. Namun Mikail terkejut apabila terlihat terdapat pilihan masakan daging babi seperti 'pork stew' di dalam menu tersebut. Beberapa restoran popular di Dongdaemun menawarkan menu ikan bakar kepada pelancong. “Memanglah ada ikan bakar dan sotong masak merah tu tapi dapur dan perkakasnya berkongsi sekali dengan masakan babi. “Sama juga kimchi mereka pun tidak pasti halal ke tidak sebab orang Korea secara tradisinya, memang meletakkan arak atau soju dalam pembuatan kimchi mereka. “Kita perlu ingat tidak semestinya menu sayur sayuran tiada alkohol, wine, arak dan minyak haiwan di dalam hidangan tersebut,” katanya. Dakwa Mikail lagi, terdapat dua menu berbeza yang terdapat di restoran tersebut. “Satu untuk orang Malaysia dan satu lagi untuk pelanggan lain. Menu orang Malaysia tiada pilihan hidangan babi di dalamnya. “Mereka mahir dalam mengecam pelancong Islam atau tidak. Sama ada dapat dilihat daripada pemakaian tudung, wajah, dan bahasa. “Jika mereka cam kamu Muslim, maka ahjumma akan memberitahu pelayan bahawa kamu orang Malaysia dan pelayan tahu menu yang harus diberikan tiada hidangan babi, jika kamu minta menunya,” katanya. Perkongsian Mikail di sebuah page backpackers di Facebook bagaimanapun mendapat reaksi berbeza dalam kalangan netizen. Terdapat beberapa netizen meluahkan rasa ragu-ragu dengan posting tersebut kerana tiada maklumat lengkap seperti gambar disertakan. “Base on cerita dia je payah. Kedai specific pun tak cakap which one, gambar tiada, dishes tiada, kimchi pun dikatakan campur sake, seriuslah sake. Antara komen netizen. “Kalau benda betul eloklah dikongsi dengan bukti. DP pun pakai tak pakai DP sendiri, join group ni pun 3 November tahun ini. Very shady,” tulis Fadli Pae. Namun dalam posting tersebut, Mikail menjelaskan dia terlupa mengambil gambar menu babi kerana terlampau terkejut dengan apa yang dilihatnya. “Silap saya kerana terlampau terkejut hingga lupa untuk mengambil gambar menu babi tersebut. “Sesiapa yang tidak yakin dengan peringatan ini, boleh ke ruang makan tingkat dua dan lihat kad menu berwarna pink yang tergantung pada dinding,” katanya. Justeru, Mikail menasihati pengunjung Muslim supaya mengelak daripada berkunjung ke restoran tersebut. “Nasihat saya jangan makan di sini. Bagi saya bukan pihak ahjumma yang patut kita persoalkan 100 peratus tetapi sejauh mana kita memastikan kesucian dan kehalalan makanan yang kita ambil,” katanya.