suria

Tak tahu punca! 5 sahabat berdepan mimpi ngeri dihantar pulang sebaik saja kaki jejak Seoul - “Kesian kawan sanggup beli winter jacket harga RM800-RM900”

Azam dan empat lagi rakannya diescort petugas imigresen ke bilik kuarantin kedua.

SELEPAS pengalaman 'ngeri' dua sahabat pergi Seoul 'balik hari' tular di media sosial, nasib sama turut menimpa lima pemuda satu pejabat baru-baru ini.

Kisah percutian singkat itu diceritakan Norazam Bani, salah seorang daripada lima pelancong Malaysia yang dihantar pulang pihak imigresen Korea Selatan di Facebooknya, petang Rabu.

Menurut pemuda berusia 33 tahun itu, dia dan empat lagi rakannya tidak dibenarkan memasuki negara itu meskipun segala dokumen penting sudah disediakan lebih awal.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi ‘return ticket’! Pergi Seoul balik hari, dua sahabat terkilan dilayan macam Pati – “Dia tanya pergi Nami Island naik bas nombor berapa”

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Tak dilihat sebagai pelancong’, kisah 6 gadis bingung dihalang ke Perth dijawab Pesuruhjaya Tinggi Australia, “Malangnya Malaysia #1 dalam kategori ini”

"Sampai je kat Incheon airport masing-masing dah excited sebab kami dah plan sejak setahun lalu. Jadi kami pun beratur macam biasa.

"Waktu tu saya dah rasa tak sedap hati. Dia suruh saya tunggu kat tepi. Lepas tu dia panggil seorang demi seorang kawan saya minta ke depan untuk dikumpulkan," katanya kepada mStar.


Dari kiri: Mohamad Syahmi Mohamad Nasir, Muhamad Fitri Hariri Abdul Halim, Azam, Nur Faisal Faiz Badrul Hisham dan Muhammad Fazrul Zainal kecewa kerana hasrat bercuti ke Seoul tidak kesampaian.

Selepas mereka berlima dikumpulkan, Nor Azam atau lebih mesra disapa Azam berkata mereka diarahkan untuk masuk ke bilik kuarantin.

"Dekat situ setiap itinerary kami dia tengok. Dia tanya first day nak pergi mana. Saya ceritalah mana yang saya ingat. 

"Tapi dia tanya tu mendalam. Nak pergi ke Dongdaemun Design Plaza tu naik tren ke bas? Kemudian nak berhenti dekat mana?

"Dia tanya lepas sampai sana apa benda awak cari dekat sana? Saya cakaplah nak pergi situ sebab saya suka architecture bangunan tu.

"Lepas tu dia tanya lagi, selain tempat tu takkan tak ada benda lain awak boleh buat dekat situ. Bila dia tanya macam tu saya terus blank," katanya.

Tambah Azam lagi, dia kecewa kerana tidak dimaklumkan punca sebenar mereka tidak dibenarkan memasuki negara itu.

Gambar sewaktu berada di bilik kuarantin.

"Selepas selesai sesi soal jawab selama dua jam, pegawai imigresen tu keluarkan satu surat. Dia suruh saya sign tapi saya tak nak sign.

"Saya cakap kat dia tak boleh ke kalau saya nak buat rayuan ke apa. Lagipun semua dokumen saya complete. Dia suruh saya tunggu dekat bilik tu.

"Saya pun tunggu. Bila dia masuk saya tanyalah apa status kami.  Dia hanya kata 'you wait'. Bila keep on tanya, dia macam tak nak beritahu punca sebenar, jadi semua tergantung sepi macam tu je," katanya.

Kesian juga tengok dua tiga orang kawan saya first time travel jauh. Memang mereka excited sampai ada yang beli winter jacket harga RM800-RM900 tapi bila sampai sana tak boleh masuk pula.

NURAZAM BANI

PENYELIA AWAM

Pada masa sama, Azam turut menceritakan mereka dilayan teruk sepanjang lapan jam disoal siasat.

"Memang kami dilayan teruk. Bagi saya tak patutlah mereka buat macam. Kami dibiarkan tanpa diberitahu status kami. Dengan tak ada makanan.

"Dari bilik kuarantin 1, lima jam lepas tu kami dibawa ke satu bilik kuarantin lain. Dekat situ ada yang dah seminggu dalam tu. Masing-masing tengah tunggu flight nak balik.

Azam (kiri) dan rakannya sewaktu menunggu pesawat balik ke Kuala Lumpur.

"Bila nak ke sana tu kami dah macam banduan. Dia suruh beratur tiga-tiga. Bila terkeluar je dari barisan, nanti dia suruh berhenti dan kami kena marah," katanya.

Ditanya mengenai perasaan mereka sebaik dihantar pulang, Azam yang bekerja sebagai penyelia awam di sebuah syarikat konsesi mengaku kecewa diperlakukan sebegitu.

"Kami balik semula ke Kuala Lumpur naik flight pukul 11.50 malam hari yang sama. Sampai di KLIA2 pukul 5 pagi keesokan harinya.

"Sejujurnya memang hampa sebab kami dah planning lama tapi terpaksa reda sebab tak boleh nak buat apa. Itu negara mereka. 

"Kesian juga tengok dua tiga orang kawan saya first time travel jauh. Memang mereka excited sampai ada yang beli winter jacket harga RM800-RM900 tapi bila sampai sana tak boleh masuk pula," katanya yang memberitahu mereka menanggung kerugian RM2,000 setiap seorang.

Azam bersama rakannya sewaktu bercuti di Bandung, Indonesia pada 7 November lalu.

Kasihan melihat rakan-rakannya itu, Azam tiba-tiba terfikir untuk membawa mereka bercuti ke Bandung, Indonesia.

"Masa kami tengah dalam bilik kuarantin tengah menunggu nak naik flight, saya tiba-tiba terfikir sendiri. Itu yang saya buat keputusan untuk bawa mereka pergi ke Bandung.

"Saya suruh kawan keluarkan balance duit mereka. Saya convert duit rupiah tengok cukup tak untuk kos lima hari dekat sana.

"Sampai je airport kami terus booking tiket. Saya call kawan saya dekat Bandung minta tolong tempah hotel dan apa yang patut, jadi dia bayarkan dulu.

"Bila dah tukar duit semua kami pun naiklah flight pukul 2.30 petang dalam keadaan tak mandi dua hari. Sekurang-kuranglah percutian ke Bandung tu dapatlah mengubat sedikit duka tu," katanya.

Artikel Lain