suria

Kalau ke Perth wajib ke Margaret River! Bukan untuk ‘wine’ ya tapi lebih daripada itu

Margaret River menjanjikan pemandangan ladang-ladang anggur yang mempesonakan.

BAGI yang belum pernah menjejakkan kaki di Margaret River, Perth, Australia pasti anda tertanya-tanya sama ada berbaloi atau tidak menghabiskan masa kira-kira tiga jam perjalanan ke pekan kecil yang menerima purata 500,000 pengunjung setiap tahun ini.

Lebih-lebih lagi carian di atas talian banyak mempromosi aktiviti wine tasting memandangkan di sini terdapat banyak ladang anggur.

ARTIKEL BERKAITAN: Musim tengkujuh datang lagi! Tasik Kenyir diserbu pelancong, lubuk ikan buat ‘kaki pancing’

Bagaimanapun, jangan cepat membuat konklusi. Margaret River sebenarnya menawarkan pengalaman percutian yang menyeronokkan, lebih-lebih lagi jika buat road trip. Tak kenal, maka tak cinta.

Busselton Jetty merupakan jeti terpanjang di Hemisfera Selatan dan ia sangat popular di kalangan pelancong.

Satu fakta yang anda mesti tahu ialah, ada beberapa hentian yang boleh dilakukan sepanjang perjalanan ke Margaret River. Jadi tidaklah terlalu bosan mengharungi perjalanan.

Bagaimanapun, jika tempoh percutian anda singkat dan hanya punya masa sehari untuk ke lokasi ini, mungkin boleh ambil pakej lawatan sehari yang boleh dibeli daripada banyak operator percutian. Boleh tidur di dalam perjalanan jika mata terlalu mengantuk atau kepenatan.

Dari pusat bandar Perth, memang banyak tawaran pakej ke Margaret River yang boleh dijadikan pilihan. Harganya bermula dari AUD199 (RM566) untuk dewasa di mana ia bukan sahaja menjanjikan persinggahan ke ladang-ladang anggur, tetapi terdapat beberapa tarikan lain yang berbaloi untuk dilawati.

Jom lihat apa tarikan yang boleh dilawati jika ke di Margaret River dalam masa sehari.

Pemandangan yang sungguh menarik.

1. Melawat jeti terpanjang di Hemisfera Selatan

Pernah dengar tentang Busselton Jetty? Jeti ini memang terkenal dalam kalangan pelancong. Rata-rata mereka yang pernah menjejakkan kaki ke bumi Perth, pasti akan memanjangkan langkah ke tarikan yang menjanjikan pemandangan indah ini.

Dalam perjalanan ke Margaret River, anda boleh singgah di sini terlebih dahulu. Ia mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan dari pusat bandar Perth.

Panjang Busselton Jetty ini keseluruhannya ialah 1,841 meter dan terletak di kawasan terlindung di perairan Geographe Bay dan sudah diwartakan sebagai jeti kayu terpanjang di kawasan Hemisfera Selatan.

Mengikut sejarah, pembinaan jeti ini bermula pada 1865 dengan ukuran asalnya cuma sepanjang 161 meter.

Bagaimanapun, tahun demi tahun ukuran ditambah akibat daripada longgokan pasir yang dibawa ombak sehingga mencecah ukurannya mencapai jarak sekarang. Pada 1973, fungsi jeti ini sebagai pelabuhan telah dihentikan dan ia dibangunkan sebagai satu destinasi pelancongan.

Penggemar keju mesti tersenyum riang apabila dapat mencuba pelbagai jenis keju di Margaret River Dairy Company.

Selain daripada senibinanya yang 'Instagrammable', tarikan utama di sini ialah Underwater Observatory yang terletak di penghujung jeti. Caj masuk adalah AUD34 (RM96) untuk dewasa dan AUD20 (RM56) untuk kanak-kanak.

Untuk sampai ke hujung jeti, boleh naik keretapi dengan bayaran AUD13.50 (RM38) untuk dewasa dan AUD8.50 (RM24) untuk kanak-kanak.

2. Nikmati keju dan menghirup kopi terbaik

Terletak kira-kira 45 minit dari Busselton Jetty, anda boleh singgah di The Margaret River terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke pekan kecil Margaret River. Penggemar keju mesti tersenyum riang sebab boleh menikmati pelbagai jenis keju di sini.

Suasana di Canal Rocks.

Malah, boleh makan sehingga puas. Kalau masih tidak mencukupi, bolehlah beli sedikit untuk dibawa pulang ke hotel penginapan. Selain itu, terdapat juga beberapa produk lain yang turut tersedia seperti susu segar, yogurt dan juga ais krim.

Selesai memanjakan lidah, bolehlah teruskan perjalanan ke pekan Margaret River. Pekan kecil ini tampil cantik tersusun dan lengang. Tidak banyak kenderaan di jalan. Di sini anda boleh beli oleh-oleh untuk dibawa pulang memandangkan harganya lebih murah berbanding di ibu kota Perth. Boleh juga cari restoran dan kafe untuk menikmati hidangan makan tengahari.

Selesai menyusuri pekan kecil ini, apa kata singgah pula di Yahava Koffeeworks untuk menikmati pelbagai jenis kopi enak. Boleh hilangkan rasa mengantuk selepas seharian di jalanan.

Pemandangan indah di Canal Rocks.

Kalau anda perasan, Yahava Koffeeworks  ini pernah menjadi lokasi penggambaran drama popular ‘Jangan Benci Cintaku.’ Aroma kopi yang mewangi menyambut kedatangan anda ke sini.  Jadi, rebut peluang untuk  menikmati pelbagai jenis kopi enak.

Kalau tidak suka minum kopi, terdapat juga kedai menjual pelbagai jenis coklat di bahagian depan Yahava Koffeeworks. Lagi sekali boleh menikmati samples yang tersedia.

3. Nikmat keindahan Canal Rocks

Dalam perjalanan pulang ke Perth, jangan sesekali terlupa untuk singgah ke Canal Rocks yang terletak di Yallingup. Tarikan ini memiliki keindahan yang sukar dilafazkan dengan kata-kata. Hanya dengan melihatnya sendiri barulah anda tahu betapa indahnya ciptaan Tuhan.

Pembentukan batu Canal Rocks sangat menakjubkan. Canal Rocks ini sebenarnya adalah pembentukan batu luar biasa yang bermula dari selatan Pantai Smiths. Lautan Hindi yang tidak jemu membadai  batu-batu besar di sini akhirnya telah membentuk laluan seperti terusan.

Terdapat sebuah jambatan kayu yang membolehkan  pengunjung melihat sendiri keajaiban ini secara lebih dekat. Tapi perlu berhati-hati kerana ombak sangat kuat dan angin jua bertiup kencang. Jika cukup berani, boleh melangkah ke atas batu di hujung jambatan untuk merakam gambar pada sudut terbaik.

***Jika anda mempunyai pengalaman dan tip pelancongan menarik untuk dikongsi, kirimkan kepada kami di [email protected] 

Perth, travel, Australia

Artikel Lain