suria

Awas zombi terlepas! Rasai pengalaman ngeri dikejar ‘hantu’ di Rumah Seram Train To Busan, Resorts World Genting

Kumpulan zombi berkeliaran di beberapa lokasi di ibu kota bagi memberi kejutan Rumah Seram Train To Busan kepada orang ramai. -foto THE STAR

BUNYI jeritan dan teriakan dapat didengar di stesen keretapi yang sibuk dan padat dengan manusia di ibu kota.

Orang ramai diserang panik dan lari lintang-pukang untuk mengelakkan diri daripada 'hantu' yang sedang berkeliaran dengan nafsu rakus untuk mencari darah dan daging manusia.

Situasi ini tak ada bezanya dengan adegan 'zombi makan daging' dalam filem, tetapi siapa sangka kali ini ia berlaku di sini, ya di Kuala Lumpur!

Zombi-zombi ini dilaporkan berkeliaran sekitar Masjid Jamek, Pasar Seni, KL Sentral, Maluri dan Ampang Park, sambil menjerit sekuat hati sekali gus menakutkan orang awam yang berada di situ.

Pada masa yang sama, zombi-zombi didapati telah hilang dari Rumah Seram Train To Busan di Resorts World Genting yang terletak di Genting Highlands.

Oh, rupa-rupanya serangan zombi di tengah-tengah bandaraya itu hanyalah gimik dan publisiti untuk orang awam yang ingin merasai pengalaman rumah seram yang sangat dinanti- nantikan ini, dibawakan khas oleh Resorts World Genting.

Jadi, jangan bimbang! Sekurang-kurangnya anda tahu bandar ini sebenarnya masih selamat daripada serangan hantu!

Gimik Rumah Seram Train To Busan membuatkan ramai terkejut dan dalam masa sama teruja.

Mengambil jalan cerita filem seram dari Korea Selatan tahun 2016, Train To Busan, Resorts World Genting kini memperkenalkan satu 'landasan' seram yang menawarkan gabungan unik pengalaman mengerikan dan dalam masa yang sama menyeronokkan buat peminat filem ini khususnya dan penggemar elemen seram secara amnya.

Dengan kutipan global melebihi AS$93 juta, Train To Busan menjadi salah sebuah filem Korea Selatan yang paling hebat. Di Malaysia sahaja, ia mencatat kutipan lebih dari RM21 juta dan masih kekal menduduki senarai teratas filem Korea di pasaran sepanjang masa.

Mereka yang sudah menonton filem ini sudah tentu masih ingat kisah seorang bapa dan anak perempuannya yang cuba menyelamatkan diri daripada wabak yang disebarkan zombi, yang digambarkan sebagai satu 'detik getir lain dari yang lain dan benar-benar mengujakan dalam genre zombi'.

Kesemua unsur tersebut, yang menjadikan Train To Busan berjaya sebagai sebuah filem hanya dengan kisah menarik di satu landasan kereta api, telah dialihkan kepada satu realiti yang menawarkan pengalaman unik menerusi Rumah Seram Train To Busan.

Dibangunkan dengan kolaborasi antara Resorts World Genting dan syarikat realiti maya Vividthree, pengalaman rumah seram ini meliputi beberapa bahagian, dengan masing-masing mempunyai set aktiviti interaktif tersendiri.

Apa yang ditawarkan di Rumah Seram Train To Busan adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh penggemar genre seram.

Mengikut plot filem itu yang mana si bapa dan anak perempuannya bertemu di Seoul untuk perjalanan ke Busan, bahagian pertama rumah seram berkonsepkan sekitar stesen kereta api di Seoul.

Para pengunjung akan mendapati diri mereka terperangkap di stesen keretapi gah itu dalam versi apokaliptik, cuba mengelak daripada perangkap dan menangkis gangguan zombi ketika melalui persekitaran seperti Long Corridor, Toilet, Supermarket, Café dan Mirror Maze untuk menaiki kereta api yang akan membawa mereka keluar dari mimpi ngeri ini.

Malang sekali kerana kereta api juga sebenarnya telah terkena wabak ini. Bahagian kedua rumah seram berlaku di Train To Busan yang sebenar.

Sama seperti watak-watak dalam filem itu yang harus berjuang untuk ke bahagian gerabak paling depan dengan harapan mereka selamat dalam perjalanan ke Busan (zon kuarantin telah ditubuhkan), rumah seram ini menuntut pengunjung melakukan tugas mencabar dengan melepasi Platform Kereta Api dan Kereta Api Penumpang melalui Kereta Api Kargo Kimia dan Makmal CDC untuk selamat.

Selepas kawasan rumah seram, penumpang kemudian boleh menuju ke kawasan Kem Utama (Base Camp) untuk bertarung sama ada sebagai mangsa yang selamat atau menjadi mangsa zombi.

Kumpulan zombi ketika 'menyerang' stesen kereta api di ibu kota.

Permainan menembak VR zombi yang terdapat di kawasan Kem Utama menjadi lebih menarik apabila membolehkan para penumpang menjadi tentera Korea, mempertahankan kawasan kuarantin Busan daripada segerombolan zombi, sama seperti yang dilihat pada babak akhir filem tersebut.

Sekiranya semua cabaran adrenalin ini kedengaran meletihkan dan melemahkan, disediakan 'habuan' untuk anda iaitu Seoul Retail Street yang menawarkan hidangan terbaik Korea dan budaya K-pop sebagai 'hadiah' untuk semua yang terselamat daripada kengerian Train To Busan.

"Saya harap semua orang akan terhibur.

"Kami tidak menjimatkan perbelanjaan untuk mencipta dan mereplikakan dunia filem blockbuster Train To Busan.

"Ia adalah sesuatu yang sangat unik di Resorts World Genting dan kami berharap tetamu kami akan menyukai pengalaman ini," kata Penolong Naib Presiden Acara dan Hiburan Resorts World Genting, Roger Ong.

"Rumah Seram ini merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk terus berinovasi dan secara konsisten memperkenalkan pengalaman baharu serta unik yang tidak terdapat di mana-mana tempat lain di dunia selain di Resorts World Genting.

"Jom sertai kami dan biarkan Resorts World Genting membawa anda ke satu pengalaman penuh cabaran," kata Ong.

Orang ramai boleh mencabar adrenalin mereka dengan berkunjung ke Rumah Seram Train To Busan di Genting Highlands.

Rumah Seram Train To Busan memulakan perjalanan untuk mengharungi cabaran zombi di Skytropolis Indoor Theme Park.

Ia dibuka dari Jumaat hingga Ahad mulai sekarang sehingga 1 Disember 2019 dan setiap hari dari 2 Disember 2019 sehingga 1 Januari 2020.

Tiket masuk berharga RM90 (RM80 untuk ahli Genting Rewards Club).

Tiket masuk Rumah Seram Train To Busan berserta pakej kombo Skytropolis Pass Preview boleh didapati pada harga RM128 dan pengunjung yang tidak mahu beratur panjang boleh memilih Express Pass pada harga RM30.

Mereka yang telah merasai pengalaman Rumah Seram Train To Busan boleh berkongsi pengalaman di media sosial dengan hashtag #RWGTrainToBusanHorrorHouse dan #GentingTrainToBusanHorrorHouse

Untuk maklumat lanjut, lawati www.rwgenting.com/traintobusanhorrorhouse atau hubungi +603 2718 1118.

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan