TANGGAL 10 Jun 2020 menjadi salah satu tarikh keramat bagi rakyat Malaysia apabila kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang antara lain membenarkan rentas negeri selepas hampir tiga bulan menjalani fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kelonggaran tersebut adalah masa paling tepat untuk bercuti dalam negara. Bukan itu sahaja, pelancong dapat menikmati pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 atas perbelanjaan melancong dalam negara sehingga 31 Disember 2021. Jadi ke mana langkah harus dibawa untuk misi cuti-cuti Malaysia anda? Sekiranya ada yang merancang ke selatan Semenanjung Malaysia, Desaru, Johor merupakan salah sebuah tempat yang harus dilawati bagi melepaskan gian melancong anda. Sebelum tiba ke kawasan pantai Desaru anda akan melalui Jambatan Sungai Johor yang gah menghubungkan Pulau Juling dan Tanjong Penyabong. Perjalanan ke Desaru itu sendiri cukup mengasyikkan. Manakan tidak, sebelum tiba ke kawasan pantai Desaru anda akan melalui Jambatan Sungai Johor yang gah menghubungkan Pulau Juling dan Tanjong Penyabong. Seni binanya yang menarik serta pemandangan disekeliling jambatan pasti memukau mata yang memandang. Di bawah jambatan anda akan dapat melihat bot- bot nelayan serta rumah-rumah rakit. Bagi penggemar fotografi, jambatan itu sendiri sudah cukup menarik untuk dijadikan fokus fotografi anda. Ingin melihat lebih dekat rumah-rumah rakit serta jambatan dari Sungai Johor? Anda hanya perlu ke Jeti Telok Sengat dan membayar perkhidmatan bot laju yang terdapat di situ iaitu Lanchang Kuning Rakit dengan harga yang sangat berpatutan. Bagi yang inginkan percutian mewah di Desaru, Anantara Desaru Coast Residences boleh memenuhi citarasa anda. Setibanya di Desaru terdapat pelbagai pilihan penginapan mengikut bajet masing-masing. Dari homestay hinggalah ke resort mewah, hanya tepuk dada tanya selera. Bagi mereka yang ingin merasai percutian mewah setelah berminggu berada di rumah, Anantara Desaru Coast Residences boleh menjadi salah satu pilihan tempat penginapan. Dibuka semula pada 1 Julai 2020, segala prosedur keselamatan dijalankan bagi memastikan tempoh penginapan anda sepanjang PKPP terjamin. Resort mewah ini bukan sahaja menyediakan bilik hotel, malah villa bagi mereka yang ingin menginap bersama keluarga dan rakan-rakan. Paya Bakau Linting yang cukup memukau. Pastinya ramai yang ke Desaru untuk bersantai dan menikmati keindahan pantainya. Namun, terdapat pelbagai aktiviti lain yang menanti anda di Desaru. Aktiviti eco-tourism merupakan salah satu aktiviti wajib sekiranya anda menggelarkan diri anda seorang pencinta alam semulajadi. Bawalah langkah anda ke Jeti Belungkur dan naikilah bot ke Hutan Paya Bakau Linting. Sebelum tiba di hutan paya bakau tersebut anda akan dapat melihat rumah-rumah rakit di sepanjang Sungai Linting yang dimiliki oleh nelayan tempatan. Hutan paya bakau ini juga dikenali dengan jolokan “ farmasi hutan paya bakau” Jolokan ini diberi kerana setiap tumbuhan di kawasan paya bakau tersebut mempunyai kegunaan perubatan yang tersendiri. Sepanjang perjalanan ke hutan paya bakau ini anda akan terpukau dengan kepelbagaian flora dan fauna yang penghuninya dari pelbagai jenis burung, ikan dan monyet. Penulis (kanan) bersama media luar negara dan penduduk Kampung Linting. Sebelum pulang ke Jeti Belungkur, singgahlah ke Kampung Linting. Ada apa dengan Kampung Linting? Selain penduduk kampung yang akan menyambut anda dengan penuh mesra anda juga dapat mempelajari pembuatan Jong sejenis permainan perahu layar kecil yang berasal dari Kepulauan Riau, Indonesia. Sekiranya anda bernasib baik anda dapat menyaksikan pertandingan perahu Jong yang sering diadakan di kampung tersebut. Cukup menarik bukan destinasi pelancongan di Malaysia? Tunggu apa lagi? Inilah masanya untuk melepaskan kerinduan melancong setelah berminggu-minggu berada di rumah. Berdiri tenang dan tariklah nafas udara yang segar. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!