suria

Gunung Kinabalu bagai melambai-lambai... Jom ambil tahu SOP norma baharu sebelum mendaki!

Taman-Taman Sabah kembali dibuka kepada orang awam.

PENULARAN virus Covid-19 menjadi igauan ngeri penduduk dunia hinggakan ia mengubah kebiasaan kehidupan manusia kepada kebiasaan baharu serta memberi kesan kepada aktiviti harian rakyat dan Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini.

Setelah hampir dua bulan aktiviti pendakian ke Gunung Kinabalu ditutup sementara kepada orang ramai berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, Taman Taman Sabah (TTS) telah membuka semula laluan pendakian pada 16 Mei lepas tetapi setiap pendaki perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Selain menikmati keindahan alam semula jadi sepanjang perjalanan ke Gunung Kinabalu, jangan lupa ikuti SOP yang ditetapkan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Road trip’ memang seronok tapi ambil 5 langkah pencegahan ini

Norma baharu di Gunung Kinabalu

Hanya 100 pendaki dibenarkan dalam sehari (berbanding kira-kira 165 orang sebelum PKP) untuk mendaki dan setiap pendaki akan diperiksa suhu badan selain mencatat nama pada buku daftar di pintu masuk utama Taman Kinabalu sebelum dibenarkan berada di kawasan taman untuk urusan pendakian.

Menurut Penguasa Substesen Panalaban Julaimin Kamin, setiap pendaki termasuk malim gunung dan porter tidak terkecuali daripada SOP yang ditetapkan itu bagi memastikan keselamatan setiap pendaki terjamin.



Pemandangan indah Gunung Kinabalu dari Kadamaian.

Pertamanya, suhu badan pendaki perlu melepasi tahap yang ditetapkan, barulah dibenarkan untuk mendaftar masuk bagi urusan pendakian seperti bayaran insurans, malim gunung, penginapan dan porter.

Waktu pendaftaran bermula seawal 7 pagi hingga 10.30 pagi sahaja sebelum bergerak ke Timpohon bagi memulakan pendakian ke Panalaban sejauh enam kilometer.



Mini air terjun terbentuk selepas hujan turun sepanjang perjalanan ke Panalaban.

Panalaban

Panalaban yang berketinggian 3,272 meter dari aras laut adalah tempat perhentian yang menempatkan beberapa asrama penginapan untuk pendaki bermalam sebelum meneruskan pendakian keesokan hari ke puncak Kinabalu.

Penyediaan makanan

Pengurus Perkhidmatan Operasi Resort Sutera Santuary Lodges Freddi Jude Julani Alexius berkata, bagi penyediaan makanan di restoran Laban Rata, pendaki tidak dibenar untuk mengambil makanan sendiri seperti sebelum ini.

Bagi mematuhi SOP, pelayan di restoran akan membantu meletakkan makanan di pinggan pelanggan.



Team media yang mengikuti rombongan ke Gunung Kinabalu.

"Jumlah pendaki yang berada di restoran untuk menjamu selera juga dikurangkan kepada 30 orang berbanding 40 orang sebelum ini," katanya sambil menjelaskan tempoh 30 minit diberikan untuk setiap kumpulan berada di restoran itu.

Tambah Freddi Jude, setiap pelayan mahupun tukang masak di restoran itu juga memakai pelitup separuh muka sebagai langkah keselamatan.

Kelengkapan penting

Baju hujan adalah antara keperluan yang perlu dibawa ketika mendaki selain sarung tangan, stokin, makanan ringan, minuman, ubat dan pakaian yang mudah kering selain ringan bagi memudahkan pergerakan.



Pendaki tidak dibenarkan mengambil makanan sendiri seperti sebelum ini.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian ketika mendaki ialah perubahan suhu dan ketinggian akan menyebabkan pendaki merasa pening, loya dan muntah berpunca daripada mabuk gunung (AMS).

"Jika pendaki merasa sesak nafas dan kesejukan yang melampau, mereka perlu maklumkan kepada malim gunung supaya bantuan segera dapat diberikan kepada mereka," kata Julaimin.-Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Gunung Kinabalu, SOP, Had, Puncak

Artikel Lain