suria

Hikmah dilanda gempa bumi, tapak perkhemahan Polumpung Melangkap wish list pencinta alam

Pemandangan indah di kawasan sungai yang menghadap Gunung Kinabalu.

BANGUN sebelum waktu subuh dan menuju ke tebing sungai yang sejuk tetapi ia tidak menjadi alasan kerana itu adalah waktu terbaik untuk melihat keindahan Gunung Kinabalu dari lembah.

Jika bernasib baik, gambar dan video gunung yang indah dapat dirakamkan sebagai kenangan dan 'belanja' di media sosial.

Ini adalah antara aktiviti yang dilakukan ramai pengunjung ke Tapak Perkhemahan Polumpung Melangkap di Kota Belud, Sabah ketika bermalam di kawasan itu.

Ia adalah destinasi terbaik untuk santai, menikmati alam semula jadi sambil menenangkan fikiran.



Pemadangan yang cukup indah dan mempesonakan sesiapa sahaja yang melihat.

Tapak perkhemahan itu masih baharu - ia 'terbentuk' kesan daripada insiden gempa bumi di Sabah pada 2015 (dan banjir beberapa bulan kemudian) sehingga mengubah geografi di kampung tersebut.

Penduduk kampung kemudiannya mengambil inisiatif untuk mempromosikan Kampung Melangkap sebagai tarikan pelancong yang menawarkan aktiviti seperti perkhemahan dan cabaran rakit arus deras.

Polumpung adalah salah satu daripada beberapa kawasan perkhemahan kampung yang mudah diakses dan berpatutan. Jika itu tidak cukup, ia menawarkan pemandangan gunung yang terbaik!

Sungai yang melintasi kampung itu juga cukup bersih dan airnya sejuk walaupun ketika cuaca panas disebabkan ia datang terus daripada gunung.



Melihat bintang di langit pada waktu malam.

Sekiranya air sungai terlalu sejuk untuk anda mandi, jangan bimbang terdapat kolam buatan manusia untuk anda berendam dan menikmati pemandangan indah.

Manakala pada waktu malam, baring sambil melihat sejuta bintang yang berkelip di langit tapi jangan lupa membawa lampu suluh!

Tapak ini mempunyai beberapa pilihan perkhemahan termasuk; bawa khemah sendiri (boleh minta bantuan petugas untuk memasangnya) atau sewa daripada pihak pengurusan tapak atau menginap di dewan serbaguna.

Bagaimanapun anda perlu membawa beg tidur sendiri dan sekiranya tiada, boleh menyewanya walaupun ia terhad.



Selain membawa sendiri khemah anda, ia juga boleh disewa.

Bagi yang ingin memasak sendiri - ada dapur yang boleh digunakan atau sewa salah satu tempat barbeku yang disediakan. Jika tidak, pesan sahaja makanan daripada kafeteria.

Kemudahan tandas, bilik mandi dan tempat menukar baju juga disediakan tetapi bawa tuala dan kelengkapan mandi anda sendiri.

Kawasan ini cukup sesuai bagi yang ingin melakukan aktiviti berkumpulan atau bersama keluarga. Bagi yang ingin datang dan pulang pada hari sama juga turut dialu-alukan namun waktu masuk adalah terhad. (Tip: Sekiranya anda merancang hanya untuk melihat gunung, pastikan tiba sebelum pukul 10 pagi).

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), beberapa kemudahan mungkin tidak boleh digunakan, jadi sebaik-baiknya telefon terlebih dahulu sebelum membuat tempahan dan bertanya mengenai SOP dan langkah keselamatan lain.



Kawasan ini sesuai untuk yang ingin bercuti bersama rakan-rakan atau keluarga.

Harga juga mungkin berubah - sebelum PKP, bayaran masuk di antara RM3 hingga RM12, sementara sewa RM5 dan RM40.

Bagaimana hendak ke sana?

Kampung Melangkap terletak di Kota Belud, Sabah. Cara terbaik untuk ke sana adalah melalui Tuaran Utama (bagi yang biasa dengan jalan raya di sana, ada beberapa laluan lain).

Paling selamat, guna Waze atau Google Map sebelum memandu ke sana. Bagi pelancong yang pertama kali ke Sabah, adalah lebih baik menempah pemandu pelancong.

Tapak Perkhemahan Polumpung Melangkap Kg Melangkap Baru, 89158 Kota Belud, Sabah

Facebook: https://www.facebook.com/pmvcs/

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain