suria

Percutian luar negara dalam perancangan? Mulakan dengan Australia... ada 6 musim, pilih yang mana suka

Taman Botani Gunung Lofty. Foto: Tourism Australia

TAK sabar! Itulah ungkapan yang saban hari dinantikan oleh rakyat Malaysia yang mahu kembali berkunjung ke luar negara.

Merantau ke tempat asing dan menikmati percutian yang indah-indah pastinya menjadi keinginan yang membuak-buak terutama penggemar aktiviti pengembaraan.

Sudah tentu sudah ramai yang mula merancang percutian mereka, tidak terkecuali ada yang tercari-cari destinasi percutian popular untuk dikunjungi.

Tidak perlu pening memikirkannya kerana Australia adalah jawapan paling tepat untuk anda, macam-macam ada untuk merasai pengalaman di luar jangkauan. Wow! Bukan biasa-biasa tau.

Kenapa Australia?

Australia merupakan negara empat musim, dan setiap musim menawarkan pengalaman pengembaraan yang cukup unik.

Dari cuaca panas hingga menyejukkan, kesemuanya menjanjikan keajaiban yang tersendiri.

Kebanyakan tempat di Australia mengalami empat musim sepanjang tahun, dan di kawasan utara di Top End dan Tropical North Queensland, terdapat dua musim iaitu musim hujan dan kering.

Memang teruja kalau dibayangkan. Ayuh! Kita mula merancang nak ke mana di Australia.

Berikut adalah pilihan untuk anda cuti-cuti Australia mengikut musim:

Musim panas – Disember, Januari, Februari

Australia memang terkenal dengan pantai yang memukau dan terbentang luas. Percutian yang sempurna buat setiap pelancong, dari keluarga, pasangan mahupun bersama rakan-rakan.

Pejamkan mata anda, bayangkan anda menerokai pantai di Sydney yang cukup cantik, sering menjadi tumpuan aktiviti renang bersama keluarga dan sukan luncur. Fuhh memang best!

Pantai-pantai terkenal di bandar itu seperti Bondi, Bronte, Coogee kesemuanya membentangkan kawasan pesisir pantai yang mesra pejalan kaki dan sesuai untuk menikmati pemandangan indah.

Anda boleh juga ke Esperance sebuah pekan di pantai Australia Barat bagi merasai pengalaman persisiran pantai paling putih yang bakal anda lihat.

Berkayak sambil diiringi ikan lumba-lumba di Byron Bay merupakan pengalaman yang tidak seharusnya anda lepaskan. Begitu juga aktiviti menyelam dan snorkeling di kawasan terumbu karang Great Barrier Reef.



Bertemu dengan quokka di Pulau Rottnest. Foto Tourism Australia

Apa kata anda menaiki feri selama 25 minit untuk ke Pulau Rottnest dari Fremantle dekat Perth untuk merasai pengalaman yang sukar dilupakan.

Anda akan merasai pengalaman yang menakjubkan di sini kerana ekosistem semula jadi, termasuk habitat quokka, sejenis haiwan marsupial kecil yang sangat comel.

Jika menyewa basikal sambil mengelilingi pulau pun syok juga. Jauh perjalanan luas pemandangan, anda sudah tentunya akan berasa puas melihat keindahan Pulau Rottnest.



Pemandangan yang indah di Scenic Rim Trail oleh Spicers Retreat. Foto Spicers Retreat/Great Walks of Australia

Aktiviti lain yang harus dilakukan di pelbagai lokasi indah di Australia adalah berjalan-jalan atau bersantai menikmati kehijauan alam semula jadi.

Banyak taman negara dibuka untuk pencinta alam semula jadi, anda boleh menghabiskan masa sepanjang minggu di kawasan yang cukup luas dan terpelihara.

Menyusuri kawasan pedalaman di taman negara yang disenaraikan sebagai Warisan Dunia, ikuti perjalanan bersama 'Great Walks of Australia' yang menawarkan kembara dengan berjalan atau mendaki selama beberapa hari melintasi beberapa destinasi paling ikonik di negara 'Down Under' itu.

Setiap pengembaraan diketuai pemandu berpengalaman yang akan membawa anda melalui kawasan pergunungan seperti di Tasmania dan persisiran pantai di Victoria yang begitu memukau.

Anda juga boleh menikmati pemandangan indah di dataran tinggi bekas gunung berapi dan hutan hujan di Queensland, serta kawasan pedalaman yang indah di Australia Selatan.

Musim luruh – Mac, April, Mei

Pokok-pokok oren berkilauan dan merah bak emas, dan cuaca juga dingin ketika musim ini.

Kebiasaannya, banyak festival terbesar di negara ini berlangsung, tetapi banyak juga aktiviti lain yang boleh dilakukan ketika penjarakkan sosial perlu dititikberatkan.

Seperti di Canberra, merasai pengalaman dan mengambil gambar sambil berjalan-jalan di sepanjang Tasik Burley Griffin amat mengasyikkan.

Anda juga boleh merancang lawatan ke National Arboretum untuk merakam video mahupun foto di kawasan hutan yang diwarnai kehijauan, merah hingga oren.

Paling ditunggu-tunggu sudah tentu menaiki belon udara panas menerokai bandar sambil menikmati semua mercu tanda menarik di ibu negara Australia.



Taman Botani Gunung Lofty. Foto South Australian Tourism Commission

Adelaide Hills di Australia Selatan pula merupakan lokasi utama untuk melihat dedaun musim luruh, dan terbentang luas dusun, pokok serta kebun anggur yang rimbun.

Anda juga dapat memetik sendiri buah ara, epal dan strawberi di kebun jika berpeluang untuk berbuat demikian.

Bukan sekadar itu, anda boleh bersiar-siar di bandar-bandar yang mempunyai tarikan tersendiri seperti Stirling dan Hahndorf, dan berkunjung ke Taman Botani Gunung Lofty di Crafers, salah satu tempat terbaik untuk melihat daun musim luruh.



Menyusuri Taman Negara Gunung Cradle-Tasik St Clair. Foto Sean Scott Photography

Di Tasmania, pencinta alam semula jadi dan jurugambar akan menikmati pengalaman 'turning of the Fagus' yang unik ketika pokok Tasmanian Deciduous Beech berubah dari hijau menjadi merah, oren dan emas yang berkilauan.

Begitu juga pengalaman selama dua jam di laluan Loop Track di Taman Negara Cradle Mountain-Lake St Clair yang mengelilingi Tasik Dove, tidak seharusnya dilepaskan.

Musim sejuk – Jun, Julai, Ogos

Mengimpikan percutian musim sejuk memutih pada pertengahan tahun? Apa kata anda ke banjaran 'Australian Alps' bagi menikmati banyak aktiviti luar.

Kawasan pergunungan ini merangkumi negeri New South Wales, Australian Capital Territory dan Victoria yang menempatkan 16 taman negara dan hutan simpan.

Bermain ski di resort turut memberi kepuasan maksima ketika musim sejuk atau melakukan aktiviti salji lain seperti meluncur salji, aktiviti tubing, menaiki toboggan dan melihat hidupan liar di kawasan semulajadinya.



Meluncur ski di Perisher pada musim sejuk. Foto Tourism Australia

Jika berada di Melbourne, kunjungi Mount Buller atau Mount Baw Baw untuk aktiviti sama, selain merasai pengalaman berendam di kolam air panas di Mornington Peninsula.

Bagi anda yang mahu melakukan sesuatu yang menyeronokkan bersama seisi keluarga, boleh mengunjungi Sovereign Hill untuk Festival Winter Wonderlights.

Sekiranya mahukan perubahan pemandangan ketika bercuti, Kimberley di barat laut Australia memberikan suhu yang tidak terlalu sejuk ketika musim sejuk kerana ia juga musim kering.

Selain itu, menaiki penerbangan bagi menikmati Bungle Bungle Ranges atau lari dari kesibukan bandar ke El Questro Homestead yang mewah, memberi kepuasan.



The Staircase to the Moon. Foto Tourism Australia

Jangan ketinggalan juga untuk menyaksikan ternakan mutiara di Broome dan fenomena alam semulajadi The Staircase to the Moon yang menakjubkan. Setiap bulan penuh dari Mac hingga Oktober, pantulan cahaya bulan akan menerangi kawasan lumpur Roebuck Bay yang cukup indah dan kelihatan seperti ada tangga ke arah bulan purnama.

Musim bunga – September, Oktober, November

Musim bunga mewarnai kota Sydney dengan himpunan bunga Jaracanda yang kembang berwarna ungu. Anda boleh menikmati pemandangan ini menerusi jalan-jalan di pinggir bandar seperti Lavender Bay, Mosman, Cremorne atau Paddington. Amat memukau!

Ini termasuk luar bandar Grafton apabila diadakan festival yang didedikasikan untuk jacaranda.

Anda juga boleh menikmati keindahan landskap dengan berjalan kaki dari Bondi ke Tamarama kerana ia diubah menjadi taman patung sementara yang menakjubkan iaitu Sculpture by the Sea, pada Oktober.

Di Melbourne, ikuti perjalanan di Great Ocean Road di mana bunga liar dapat dilihat, dan berkunjung ke Mornington Peninsula untuk bersiar-siar di sepanjang pantai.

Bagi merasai pemandangan matahari terbenam yang indah, bersantai di kolam air panas di Peninsula Hot Springs menjadi pilihan tepat.

Sementara itu, Tasmania menjadi lokasi kepada pemandangan indah untuk aktiviti mendaki, termasuk Three Capes Track, di mana anda mungkin bertuah menyaksikan ikan paus di laut.

Semasa ekuinoks musim bunga, pastikan anda berkunjung ke luar bandar untuk merebut peluang menyaksikan keindahan panorama ‘Aurora Australis’ yang menerangi langit malam.

Bagi penggemar aktiviti lasak, anda boleh berkunjung ke Sungai Franklin untuk ‘water rafting’ atau mengikuti bot persiaran ke Pulau Bruny bagi menjejaki habitat hidupan liar.



Maruku Arts, Taman Negara Uluru-Kata Tjuta. Foto Tourism Australia

Pemandangan gurun di Alice Springs dan Taman Negara Uluru-Kata Tjuta adalah terbaik untuk diterokai semasa musim bunga kerana kecantikan flora yang luar biasa.

Musim hujan dan kering yang unik di Australia

Kebanyakan pelancong biasa dengan empat musim iaitu musim panas, luruh, bunga dan sejuk, tetapi Australia juga mempunyai dua musim yang unik iaitu musim hujan dan kering.

Beberapa kawasan seperti The Top End (termasuk Darwin, Katherine, Kakadu dan Arnhem Land), Broome, Kimberley dan Tropical North Queensland (Cairns, Whitsundays dan Kawasan Hutan Hujan Daintree) mengalami musim hujan (November hingga April) dan musim kering (Mei hingga Oktober).

Musim hujan – November hingga April

Anda boleh berkunjung ke Katherine di Wilayah Utara pada akhir musim hujan untuk menyaksikan pemandangan paling unik di dataran tinggi Nitmiluk Gorge.

Banyak kawasan mungkin ditutup kerana banjir, tetapi anda masih dapat melihat air terjun yang cukup indah di kawasan itu dengan menaiki helikopter.

Di Tropical North Queensland pula, cuaca ribut adalah biasa, tetapi hujan sangat jarang turun sepanjang hari dan biasanya anda akan menikmati hari-hari cerah dengan keadaan hujan pada waktu tengah hari atau petang.

Kawasan batu karang di Great Barrier Reef pula begitu tenang pada waktu ini, menjadikannya ia sangat sesuai untuk melakukan aktiviti snorkeling dan menyelam.

Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa anda perlu memakai baju menyelam untuk melindungi diri daripada sengatan obor-obor.

Musim kering – Mei hingga Oktober

Berkunjung ke Top End semasa musim kering adalah bertepatan, dengan menyaksikan ramai pengunjung menikmati kehijauan dan kesuburan pemandangan.

Di Tropical North Queensland, suhu harian lebih rendah, tetapi masih mencapai suhu sekitar 20 darjah (Celsius) dan jarang sekali melepasi bawah 17 darjah Celsius.

Jumlah hujan adalah rendah, sekali gus membolehkan anda menikmati cuaca yang cerah sepanjang masa, dan ini menjadikannya sebagai waktu paling popular untuk dikunjungi.

Lautnya juga bebas daripada obor-obor ketika ini, maka anda bebas untuk berenang hampir kesemua kawasan tanpa jaring atau sut untuk perlindungan.

Menarik rancangan yang tersedia untuk cuti-cuti di Australia kan? Pastinya semakin tidak sabar untuk anda menjejakkan kaki ke sana bila keadaan lebih selamat dan tenang.

Inilah masa yang sesuai untuk merancang percutian anda!

Lebih banyak idea untuk membantu rancangan percutian anda di Australian, dengan mengunjungi laman web Australia.com dan klik pilihan Be Inspired.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain