PULAU Lagenda Langkawi selain terkenal dengan keindahan alam semulajadinya, ia juga menjadi perhatian pencinta makanan. Antara menu yang mesti dinikmati ialah Laksa Ikan Sekoq, Gulai Ikan ‘Temenung’, Bihun Sup Utara, Pulut Ikan Masin, Peknga Gulai Ikan Temenung dan banyak lagi. Bagaimanapun, lain orang, lain seleranya. Jika anda bukan penggemar hidangan popular ini, banyak lagi pilihan lain yang menunggu. Sesuai dengan statusnya sebagai pulau pelancongan, lokasi selera di Langkawi juga tidak terbilang banyaknya, bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.ARTIKEL BERKAITAN: Langkawi tak pernah mengecewakan, percutian anda pasti lebih bergaya! Jom semak beberapa lokasi selera yang boleh anda singgahi ketika berada di Langkawi. Dua daripadanya masih baru dan sedang mendapat perhatian ramai. 1. Kerisik Restaurant, Laman Padi Restoran yang terletak di Jalan Pantai Chenang ini menjanjikan suasana kampung yang mendamaikan. Dilatari dengan pemandangan sawah padi yang sinonim dengan negeri Kedah, Kerisik Restaurant menyediakan pelbagai hidangan membuka selera. Sama anda penggemar makanan bercitarasa Melayu mahupun barat, restoran ini pasti tidak akan menghampakan. Antara set yang boleh dicuba ialah Set Kedawang, Set Tuba, Set Padang Lalang, dan Nasi Kukus Sunda. Kesemua set ini merupakan menu popular kerana ia tampil dengan beberapa menu yang menyelerakan seperti Kambing Bakar Danok, Ayam Kari Hijau Thai, Sotong Telur Masin, Daging Salai Belado, Udang Rendang Minang dan Udang Goreng Nestum. Jika gemarkan masakan bergoreng, boleh cuba Mee Mamak Udang Harimau, Nasi Goreng Special, Nasi Goreng Kampung Ewa, dan Kuew Teow Kungfu. Tidak ketinggalan menu-menu bercitarasa barat seperti Chicken Chop, NZ Lamb Grill, Chicken Marryland dan pelbagai jenis pasta. Kerisik Restaurant dibuka pada setiap hari dari jam 11.00 pagi hingga 11 malam. 2. Telaga Seafood Restaurant Restoran yang terletak di pekan Chenang ini mungkin tidak begitu mencuri perhatian memandangkan ia terletak di tengah-tengah kesibukan Pantai Chenang. Maklumlah ramai yang beranggapan kedai-kedai di kawasan Chenang mengenakan harga yang sangat mahal dan tidak berbaloi untuk pengunjung tempatan. Tapi tunggu dulu, jangan cepat membuat konklusi. Masuk, pesan dan rasa dahulu. Kemudian baru buat kesimpulan tentang harga yang dikenakan. Kalau mahal pun, pasti ia bersebab. Makanan laut yang dihidangkan segar, malah anda boleh pilih sendiri dari dalam akuarium yang tersedia. Antara menu yang mesti anda cuba ialah Butter Prawn, Golden Spicy Lobster, Squid Dried Chilli, Deep Fried Soft Shell Crab dan Prawn Deep Fried with Garlic. Jika anda bercuti bersama keluarga, Telaga Seafood Restaurant merupakan pilihan ideal kerana ia menyediakan ruang makan yang luas dan selesa. Boleh buat tempahan awal jika mahu menjimatkan masa menunggu. Selain itu, pengunjung juga tidak perlu risau lokasi ini ditutup kerana ia dibuka pada setiap hari, dari jam 5.00 petang hingga 11 malam. 3. The Kelapa Café Wajib singgah jika anda menginap di sekitar Tanjung Rhu. Kafe kecil yang terletak di dalam kawasan Tanjung Rhu Village Villa & Cottages ini menawarkan suasana yang cukup chill dan rileks. Susun atur dan konsepnya iras-iras dengan kafe-kafe yang ada di Bali, Indonesia. Biarpun telah beroperasi lebih setahun yang lalu, namun kafe ini baru sahaja dilancarkan secara rasmi oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Disember 2020. Menyediakan hidangan bercitarasa tempatan, barat dan fusion, pujian harus diberikan kepada kru dapur kerana berjaya menghasilkan hidangan yang 'eye catchy' serta menyelerakan. Bolehlah merakam foto untuk dikongsi di akaun-akaun media sosial anda. Dibuka dari jam 9.00 pagi hingga jam 6.00 petang, di sini anda boleh menikmati pelbagai hidangan sarapan seperti Signature Green Matcha Pancakes, Egg Benedict, Tropical Twist French Toast, dan English Big Breakfast. Sementara untuk makan tengahari, boleh cuba Set Udang Masak Lemak Cili Padi, Set Kari Bawal Emas, Salted Egg Butterchicken Spaghetti, dan Spicy Seafood Aglio Olio. Selain itu ada juga Roti Jala Kari Ayam, Pisang Goreng Cheese, Chocolate Pancakes with Ice Cream dan kuih-kuih Melayu tradisinonal untuk hidangan bila-bila masa. Sambil menunggu pesanan disiapkan, bolehlah merakam memori di sudut-sudut ‘Instragrammable’ atau isi masa dengan membaca deretan buku yang tersedia di rak. 4. Rimba, Ambong-Ambong Pool Villas Terletak di Pantai Tengah, lokasi selera ini sesuai untuk anda yang mahukan suasana eksklusif, intimasi dan romantis bersama pasangan. Mungkin mahu meraikan hari istimewa bersama si dia. Dengan pemandangan menghadap Pulau Tepor dan dilatari kanopi hutan menghijau, falsafah masakan Rimba sangat mudah; menghidangkan bahan-bahan segar, dengan sumber tempatan sebanyak mungkin. Hidangan di sini mempunyai pengaruh Melayu, Nyonya dan Thai, dan ia direka oleh Chef Aimi yang menjadikan masakan neneknya sebagai inspirasi. Antara menu paling laris termasuklah Rimba Nasi Campur Istimewa, Udang Masak Lemak Nanas, Mee Goreng Mamak, Ikan Bakar Air Asam dan Sup Ekor. Untuk menu barat, ada Spaghetti Aglio Olio, Grilled or Fried Fish & Chips, dan Spaghetti with Sauteed Vegetables. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!