suria

Ada 10 tarikan aktiviti sukan dalam premis di Selangor... Jom cuba selepas PKP!

Air Rider 1Utama menjanjikan pengalaman luar biasa kepada pengunjung.

PENGUATKUASAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memang mengehadkan pergerakan kita dalam usaha kerajaan membendung penularan Covid-19 ketika ini.

Bagaimanapun apabila keadaan sudah selamat untuk kembali melakukan aktiviti luar, terdapat pelbagai lokasi yang mempunyai pelbagai tarikan sukan dalam premis yang boleh dikunjungi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tenang lagi mempersonakan... Ini 7 destinasi jauh dari hiruk pikuk yang boleh anda kunjungi

Tambahan pula, tarikan ini senang dan mudah diakses, dengan kebanyakan daripadanya terletak dalam premis pusat beli-belah terkemuka.

Jadi, berita baik buat semua, anda mungkin boleh lengkapi hari anda dengan sesi beli-belah selepas bersukan bak kata pepatah “sambil menyelam minum air”.

Senarai di bawah menampilkan 10 tarikan aktiviti sukan dan lasak dalam premis di Selangor yang bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak malah orang dewasa!

1. Camp5,1Utama

Sesi mengeluarkan peluh! Beroperasi sejak tahun 2005, Camp5 mempunyai dinding untuk sukan wall-climbing dalam-premis yang paling tinggi di Malaysia!

Fasiliti ini juga sepenuhnya dilengkapi dengan penyaman udara dan terletak dalam menara berasaskan besi dan kaca di tingkat 5,1Utama Shopping Centre (New Wing).

Jika anda seorang yang baharu berjinak dengan aktiviti sukan wall-climbing, usah gusar dengan spesifikasi yang tertera. Camp5 mempunyai dinding dengan pelbagai saiz dan tahap kesukaran dari sangat mudah hingga terlalu mencabar. Pihak Camp5 yakin anda akan mendapatkan tahap kesukaran yang bertepatan dan mampu menguji diri anda untuk melakukan lebih lagi!

2. District21, IOI City Mall, Putrajaya

District21 adalah sangat unik; dengan keluasan sebanyak 70,000 kaki persegi dan mengangkat tema pasca-apokaliptik, taman tema ini mempunyai 10 tarikan, lapan bilik riadah dan terletak dalam atrium yang dilengkapi dengan pendingin hawa di IOI City Mall, Putrajaya.

Ia menawarkan lebih sedosen aktiviti yang kebanyakannya adalah baru diperkenalkan di Negara ini seperti aktiviti Go-Pedal, Pump Track, Power Station, Low Ropes, Launch Pad, The Maze, Free Fall, Sky Trail, Tubby Ride, dan Roller Glider. Setiap tarikan juga tertakhluk kepada berat dan ketinggian maksimum yang dibenarkan.

3. AirRider, 1Utama

AirRider, 1 Utama adalah sukan skydiving yang ditawarkan secara dalam-premis dengan stimulasi aktiviti skydiving yang sebenar seolah-olah pada ketinggian 14,000 kaki.

AirRider adalah tarikan stimulasi penerbangan yang terhangat di benua Asia. Sesiapa sahaja yang pernah menginginkan untuk terbang di udara boleh singgah ke 1 Utama Shopping Centre, iaitu pusat membeli-belah ke-7 terbesar di dunia.

Terowong angin berbentuk bulat dengan keseluruhannya dilitupi dengan panel kaca menghasilkan kusyen udara seluas 12-kaki diameter dengan tinggi 21 kaki. Setiap pelanggan yang memasuki ruang kusyen udara ini akan ditemani oleh seorang jurutugas bertauliah atas faktor keselamatan.

Di dasar ruangan bertutup ini juga menempatkan sebuah lantai trampolin yang diperbuat daripada besi tahan kalat dengan kualiti seperti kapal terbang sebenar. Dengan kelajuan angin sehingga 250 km/sejam, mereka berpeluang untuk melakukan aksi-aksi akrobatik udara secara mudah dan selamat. Para pengunjung yang lain juga boleh menonton aksi sukan penuh mendebarkan ini menerusi ruangan tempat duduk yang disediakan.

4. FlowRider, 1Utama

Pernah terfikir untuk melakukan aktiviti sukan luncur air di dalam sebuah pusat membeli-belah? Sekarang anda boleh melakukannya dengan aktiviti sukan flow-riding dan stimulasi luncur air di 1 Utama Shopping Centre.

FlowRider, 1 Utama menggabungkan teknik dari beberapa jenis sukan seperti luncur air, luncur salji, sukan papan selaju, wakeboarding dan skimboarding.

Sama ada anda merupakan seorang amatur atau professional, anda mampu menangani arus air dengan bimbingan dari petugas yang bertauliah dan berpengalaman. Kesan ombak juga dapat dihasilkan dengan kelajuan sehingga 32 km/sejam di permukaan vinil komposit.

FlowRider juga menawarkan program latihan dan kursus dari tahap amatur hingga berpengalaman dengan para jurulatih yang berdedikasi untuk memperkasa teknik flowriding anda dengan menitik-beratkan aspek keselamatan.

5. JumpStreet Trampoline Park

Jump Street Trampoline Park adalah sebuah taman tema urban yang dilengkapi dengan fasiliti bertaraf dunia dan memfokuskan kepada aktiviti lompatan, lantunan dan segala aktiviti melawan unsur graviti yang mampu anda fikirkan.

Ia mempunyai beratus-ratus jumlah trampolin, dengan Main Court seluas 10,000 kaki persegi merangkumi pelbagai trampolin yang bersambung antara satu sama lain.

Ini termasuk ruangan khas yang dilengkapi dengan jaring bola keranjang, trampolin untuk aktiviti dodge-ball, satu lubang yang diperbuat dari bahan lembut untuk terjun ke dasar, dan pelbagai bag udara untuk memastikan pendaratan yang selamat.

JumpStreet menawarkan elemen keseronokan dan cabaran dengan pelbagai tahap kesukaran kepada pengunjung dari latar-belakang umur yang berbeza (dengan umur minima 3 tahun untuk melompat secara kendiri).

Ruangan berprestasi tinggi di JumpStreet turut mampu menjadi medan para atlet untuk mengasah kemahiran mereka ketika melompat di udara. Di sini juga terdapat ruangan khusus untuk kanak-kanak bagi memastikan keselamatan dan keseronokan mereka.

6. Malaysia National Ice Skating Stadium (MYNISS)

Terletak di kawasan pembangunan Empire City, National Ice skating Stadium (MYNISS) adalah gelanggang ais yang pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan spesifikasi Sukan Olimpik dan kemudahan serba lengkap bagi menjadi tuan rumah kepada pelbagai kejohanan sukan luncur ais dengan standard antarabangsa.

Inilah masanya untuk mengasah bakat anda meluncur ais dengan pergerakan penuh gemalai, tambahan pula dilakukan di sebuah gelanggang bertaraf kelayakan sukan antarabangsa!

7. It’s a HIT Rooftop Baseball

It’s a HIT Rooftop Baseball adalah satu-satunya dan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan benua Asia Tenggara.

Tanpa cas masuk yang mengeringkan poket, di sini anda mampu untuk mendapatkan pengalaman menarik untuk sesi Batting Cages dan Carnival Games dengan harga yang berpatutan.

Terletak di bahagian bumbung sebuah pusat membeli-belah terkemuka, 1 Utama Shopping Centre; singgahlah ke sini untuk sebuah pengalaman penuh keunikan dengan elemen keterujaan dan pemandangan yang mempesona!

8. Sunway Pyramid Ice

Sunway Pyramid Ice adalah hiburan sukan ais bertaraf dunia yang pertama diperkenalkan di Malaysia.

Lokasi ini adalah sebuah destinasi rekreasi yang popular di Malaysia dengan mampu menerima lebih 15,000 orang pengunjung setiap bulan.

Dengan keluasan berukuran 39m x 22.5m, pemandangan menarik gelanggang yang diperkemas dengan ciri moden ini boleh disaksikan oleh para pengunjung di setiap tingkat pusat membeli-belah ini hingga ke tingkat kelima – menawarkan sebuah pemandangan menarik serba mengasyikkan.

9. TraXion Karting at X Park Sunway Serene

TraXion Karting adalah pusat sukan kart yang beroperasi secara dalam-premis terbesar di benua Asia Tenggara. Terletak di tengah bandar Kelana Jaya, ia menawarkan pengalaman Kiddie Cart untuk kanak-kanak sehingga ketinggian 140sentimeter, dan Fast Cast, untuk golongan dewasa. Setiap sesi karting akan mengambil masa selama 10 minit.

Operator ini juga menawarkan pengalaman Mini Race merangkumi 3 sesi karting temasuk pusingan akhir, namun, minimum 8 orang pemain pada satu-satu masa diperlukan untuk pakej ini.

10. Galactic Laser, Sunway Pyramid

Galactic Laser adalah lapangan aktiviti laser tag yang terbesar dan terpanjang di Malaysia. Terletak di pusat membeli-belah premier, Sunway Pyramid dan dilengkapi dengan teknologi yang canggih dan terkini, inilah masa untuk anda gambarkan diri anda sebagai sebuah karakter dalam video sains fiksyen – dengan dibekalkan dengan sebuah unit laser di tangan, dengan diiringi muzik berentak energetik dan dikelilingi kabus di udara, sambil anda meloloskan diri dalam sebuah arena yang direka khusus menyerupai kesan tinggalan makhluk asing.

Tentunya ianya menawarkan elemen keterujaan memburu dalam kegelapan sambil menghindari dari diri anda sendiri terkena tembakan laser oleh pemain yang lain.

Aktiviti dengan elemen keseronokan dan keterujaan mudah dan senang didapati di mana-mana sahaja di Selangor. Dengan pelbagai pilihan, orang dewasa dan kanak-kanak dapat meluangkan masa berkualiti bersama dalam suasana yang selamat dan dikawal-selia dengan rapi.

Untuk pelbagai aktiviti yang mengujakan; dari terbang di udara, luncur ais, memandu dan mengawal kart, hingga tembakan laser; Negeri Selangor mempunyai semua yang anda inginkan.

Namun harus diingatkan, amalan berlandaskan SOP perlu diberikan penekanan pada setiap masa demi kesejahteraan bersama.

Para pelancong harus mendaftar masuk ke setiap premis lokasi pelancongan di Negeri Selangor menggunakan aplikasi Selangkah:Langkah Masuk Dengan Selamat, memastikan penjarakan sosial, menggunakan cecair pembasmi kuman, serta memakai pelitup muka pada setiap masa.

Untuk informasi lanjut, layari laman wrb rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.

Artikel Lain