suria

5 negara ini kembali buka pintu kepada pelancong, dengan syarat sudah disuntik vaksin Covid-19

Estonia antara destinasi yang kembali membuka pintu kepada pelancong asing.

DENGAN adanya vaksin Covid-19 ia memberi harapan baharu bagi pengembara apabila beberapa negara menyatakan kesediaan menerima kunjungan pelancong yang sudah divaksin.

Mirror melaporkan beberapa negara malah mengecualikan kuarantin dan ujian Covid-19 bagi mereka yang sudah menerima suntikan vaksin tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada 10 tarikan aktiviti sukan dalam premis di Selangor... Jom cuba selepas PKP!

Berikut adalah lima buah negara menerima kunjungan pelancong yang sudah divaksin.

1. Iceland

Iceland sebelum ini mewajibkan semua pelancong yang masuk ke negara itu melakukan ujian saringan berserta kuarantin selama enam hari sebelum menjalani pemeriksaan kedua.

Bagaimanapun, kini Iceland melonggarkan syarat itu sekiranya pelancong datang dengan surat pengesahan sudah menerima suntikan vaksin.

Iceland hanya menerima surat pengesahan vaksin yang memenuhi kriteria tertentu serta mendapat kelulusan WHO.

2. Seychelles

Pihak berkuasa Seychelles yang terletak di Afrika Barat mengumumkan kepulauan itu akan menerima kehadiran pelancong dari seluruh dunia jika sudah menerima vaksin Covid-19.

Bagaimanapun mereka harus menunggu dua minggu selepas menerima suntikan kedua vaksin sebelum dibenarkan masuk ke negara itu.

Selain surat pengesahan penerimaan vaksin, pelancong juga perlu menunjukkan bukti keputusan ujian Covid-19 yang dilakukan dalam tempoh 72 jam sebelum berangkat.

3. Estonia

Kementerian Luar Negeri Estonia pada Januari lalu mengumumkan pelancong dari Eropah yang telah divaksin tidak perlu menjalani kuarantin selama 10 hari atau melakukan ujian saringan Covid-19.

Kelonggaran itu bagaimanapun hadir dengan syarat iaitu tempoh penerimaan vaksin tidak lebih daripada enam bulan sebelum berkunjung ke Estonia.

4. Cyprus

Cyprus adalah antara destinasi yang sedang mempertimbangkan membuka pintu masuknya kepada pelancong antarabangsa tanpa sebarang peraturan ketat.

Namun masih belum ada pengesahan daripada pihak berkuasa berhubung kebenaran masuk ke negara itu dan Cyprus dijangka mengikut jejak langkah Iceland, Estonia dan Seychelles dalam masa terdekat.

5. Romania

Pihak berkuasa Romania meletakkan syarat, pelancong yang ingin ke negara itu mestilah menerima suntikan vaksin sekurang-kurangnya dua dos dan tiba di negara itu selepas 10 hari menerima suntikan kedua.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain