SELEPAS seminggu umat Islam menjalani ibadah puasa, kemeriahan orang ramai berkunjung ke bazar Ramadan nampaknya cukup meriah. Apatah lagi sudah dua tahun rakyat Malaysia terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). ARTIKEL BERKAITAN: Piza selera tempatan resepi istimewa Cef Wan di US Pizza... paling terangkat Cheeseboat, tiba-tiba terasa keju cair dalam mulut! Bagi penduduk di sekitar negeri Selangor dan Kuala Lumpur, bazar Ramadan mana menjadi kegemaran anda untuk membeli juadah berbuka puasa? 1. Seksyen 13, Shah Alam Siapa yang tidak tahu tentang bazar Ramadan Seksyen 13 Shah Alam, bukan? Menawarkan pelbagai jenis hidangan, anda pasti rambang mata! Bazar ini juga turut menjadi perhatian masyarakat bukan Islam yang turut ingin merasai kemeriahan Ramadan dan mencari makanan seperti tepung pelita, akok, nasi ayam berempah, kambing bakar, ayam golek, pasta, laksa dan sebagainya! Jangan risau, di bazar ini terdapat tapak meletak kenderaan yang luas, teratur dan selamat. Memudahkan orang ramai berkunjung ke sini. Alamat: Tapak Pakir E1, E2, Stadium Shah Alam, 40100 Shah Alam, Selangor 2. Taman Melawati Bazar Ramadan Taman Melawati yang diadakan di sebuah tapak tempat letak kereta ini merupakan salah satu bazaar terbesar di Lembah Klang. Sebut sahaja menu yang anda mahukan, segala-galanya daripada kuih muih sehinggalah kepada roti bom, ayam percik, nasi lemak, tauhu bakar, pasta dan sebagainya ada di sini. Antara menu paling dicari di bazar ini ialah nasi kerabu. Alamat: Bazar Melawati, Jalan Negara, Taman Melawati, Selangor. 3. USJ 4, Subang Jaya Bazar Ramadan USJ 4 mempunyai jumlah gerai yang menepati semua citarasa berbuka puasa anda. Selain itu, aroma ikan bakar yang menyapa anda ketika memasuki bazar pasti akan menggamit selera. Jika anda sedang mencari lauk-pauk untuk disajikan bersama hidangan nasi, terdapat banyak pilihan di sini untuk dicuba! Alamat: Jalan USJ 4/5, USJ 4, 47600 Subang Jaya, Selangor. 4. SS6/1, Kelana Jaya Bazar Ramadan SS6/1, Kelana Jaya terkenal dengan pelbagai jenis gerainya. Antara hidangan yang paling popular dan diperkatakan termasuklah nasi ambeng yang disertakan dengan ayam goreng, ayam soya atau rendang daging. Selain daripada Nasi Ambeng, sambal ikan cencaru, ayam percik, laksa Penang, sate, kebab, menu panggang, makanan Cina dan India halal, serta hidangan pencuci mulut tempatan turut ada di sni. Terdapat juga pelbagai gerai minuman seperti jus tembikai yang akan menghilangkan dahaga selepas seharian berpuasa. Alamat: Jalan SS 6/1, SS5, 47301 Petaling Jaya, Selangor. 5. Greenwood, Gombak Bazar Ramadan yang terletak di Greenwood, Gombak ini juga menjadi kawasan pilihan mereka yang ingin merasai keunikan hidangan berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan. Antara pilihan yang ada ialah popia basah, nasi kerabu, ayam bakar, ikan bakar dan pelbagai jenis kuih muih kegemaran anda. Alamat: Greenwood, 68100 Batu Caves, Selangor. 6. Baru Selayang Walaupun ada hidangan nasi yang mengenyangkan, anda juga harus nikmati hidangan pencuci mulut yang ditawarkan di bazar Ramadan Bandar Baru Selayang. Selain itu, hidangan ringan seperti apam balik, kuih-muih dan churros turut dijual di sini. Alamat: Bandar Baru Selayang 68100 Batu Caves, Selangor. 7. Simpang 4, Klang Bazar Ramadan Simpang 4, Klang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana orang ramai dari segenap kawasan sanggup memandu ke sini bagi mendapatkan juadah berbuka puasa. Bukan apa, mereka sudah sedia maklum dengan keenakan makanan dan minuman yang dijual di sini. Selain itu, kesabaran juga penting kerana juadah-juadah disini dikatakan laris sehingga perlu beratur panjang. Namun pasti ia berbaloi! Address: Teluk Pulai (Simpang Empat) 41250 Klang, Selangor. 8. Seksyen 7, Bandar Baru Bangi Terdapat beberapa bazar Ramadan di Bangi yang boleh anda kunjungi. Salah satu yang paling terkenal terletak di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Ada banyak pilihan makanan dan minuman di sini, tetapi antara yang paling digemari ramai ialah nasi kerabu, ayam golek, dan popia basah. Alamat: Seksyen 7 (Jln 7/7 B) 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor. 9. Seksyen 17/1A, Petaling Jaya Anda pasti akan berasa seronok mengunjungi bazar Ramadan Seksyen 17/1A, Petaling Jaya jika anda tidak pasti untuk berbuka dengan menu apa pada bulan puasa. Juadah seperti roti john, ayam claypot, dan kuih tepung pelita antara juadah yang banyak boleh didapati di bazar ini. Pilih sahaja dari gerai mana! Alamat: 92, Jalan 17/1A, Seksyen 17, 46400 Petaling Jaya, Selangor. 10. TTDI Grove Bazar Ramadan TTDI tidak asing lagi bagi warga kota yang ingin mencari juadah lazat seperti nasi tomato, nasi lemak, nasi hujan panas, nasi padang dan pulut udang. Ini kerana makanan yang dijual adalah berkualiti dan harganya juga berpatutan. Selain itu, lokasi bazar ini yang strategik juga menjadi salah satu nilai-tambah pada bazar ini. Alamat: Jalan TTI Grove, 43000, Kajang, Selangor. Selain senarai di atas, anda juga boleh kunjungi mana-mana dari 241 lokasi bazar Ramadan di sekitar Negeri Selangor sempena bulan Ramadan yang mulia tahun ini. Memandangkan Selangor merupakan destinasi pelancongan utama di Malaysia, pilihan makanan di negeri ini bukan sahaja menepati selera anda, tetapi juga menepati "Pusing Selangor Dulu!" perjalanan sepanjang bulan Ramadan 2022. Kempen Ramadan 2022 Tourism Selangor juga masih berlangsung sehingga 15 April ini. Jangan lupa layari laman web rasmi Tourism Selangor. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI