suria

Juh bertandak! Rainforest World Music Festival kembali pada Jun, ‘enjoy’ konsert secara hibrid pun boleh!

Tidak hanya menikmati muzik, Rainforest World Music Festival (RWMF) turut mengadakan pelbagai bengkel untuk pengunjung.

FESTIVAL paling ditunggu-tunggu di Malaysia iaitu Rainforest World Music Festival (RWMF) kembali menemui peminat muzik.

Lebih menarik buat pertama kali festival ini akan diadakan dalam format hibrid bersempena meraikan ulang tahun ke-25 penganjurannya bermula pada 1998.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Menyelam sambil lihat arca di dasar laut tarikan terbaharu Pulau Langkawi

Tahun ini, festival muzik itu mengangkat tema '25th Legendary Rainforest Celebration' dan bakal diadakan dari 17 hingga 19 Jun ini secara hibrid dengan konsert secara fizikal berlangsung di Sarawak Cultural Village.

Penonton boleh membeli tiket menonton konsert strim secara langsung untuk ditonton terus dari rumah melalui platform dalam talian.

RWMF akan menampilkan persembahan artis dari Kanada, India, Amerika Syarikat, Finland, Thailand, Indonesia, Vietnam, Singapura, Jepun, Australia, Madagascar, Ukraine, China, Bhutan, Korea Selatan dan banyak lagi.

RWMF2022xBJ2022-Poster A2 size BM

Rainforest World Music Festival akan berlangsung dari 17 sehingga 19 Jun 2022.

Tidak ketinggalan persembahan dari tuan rumah yang menampilkan Alena Murang, At Adau dari Sarawak, Bamboo Woods (Sabah) dan ramai lagi.

Istimewanya tahun ini, penonton akan dihidangkan dengan muzik tradisional Sarawak yang menggabungkan citarasa antarabangsa daripada Majlis Seni Sarawak (MSS) yang kali pertama menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sarawak sebagai persembahan pembukaan.

Bermula hanya kira-kira 300 penonton yang datang ke konsert pada 1998 sehingga menjadi festival hibrid pertama di Malaysia, RWMF yang menjadi produk hasil usaha Lembaga Pelancongan Sarawak mengalami pelbagai perubahan sepanjang penganjurannya.

Kini, penonton yang merindui suasana konsert secara fizikal boleh berkumpul untuk menghargai dan menikmati keunikan muzik dunia.

Namun bagi penggemar muzik di seluruh dunia yang tidak dapat hadir secara fizikal, usah bimbang kerana anda boleh merasai kehebatan festival itu di rumah sendiri.

Borneo Jazz Festival 2018

Persembahan memukau daripada penghibur dan pemuzik terbaik dari seluruh dunia akan berkumpul di RWMF.

Pelbagai aktiviti di Rainforest World Music Festival

Festival ini kembali dengan format seperti sebelum ini di mana bengkel akan diadakan pada waktu siang manakala konsert mengambil alih pada waktu malam dengan pelbagai aktiviti.

Pengunjung boleh berkunjung ke pameran kraf yang menampilkan kraftangan terbaik dari Borneo atau menikmati pelbagai pilihan makanan tradisional menerusi bazar di tapak festival.

Tidak hanya itu, bengkel muzik yang menghimpunkan pemuzik daripada pelbagai latar belakang turut diadakan atas nama penyatuan berkongsi idea, bermain dan mencipta muzik dalam persekitaran menyenangkan di Sarawak Cultural Village.

Antara aktiviti perlu diberikan perhatian adalah perhimpunan sape yang mempelawa sesiapa sahaja untuk bermain alatan muzik tradisional itu.

Bengkel khusus untuk kanak-kanak juga turut diadakan sebagai usaha menyatukan dan mendedahkan generasi baharu ini dengan instrumen, bermain muzik, pendedahan terhadap seni selain berseronok di festival tersebut.

Borneo Jazz - Steve Thornton

Pemuzik terbaik daripada pelbagai latar belakang turut memeriahkan festival itu nanti.

Tiket ke Rainforest World Music Festival

Pengunjung festival boleh memilih kategori tiket yang berbeza pada harga pra-jualan seperti berikut:

1. Pas sehari untuk dewasa (RM165)

2. Pas 3 hari untuk dewasa (RM405)

3. Pas sehari untuk kanak-kanak (RM85)

4. Pas 3 hari untuk kanak-kanak (195)

5. Pas pakej keluarga sehari untuk 2 dewasa dan 2 kanak-kanak (RM440)

6. Tiket virtual RM25 sejam untuk setiap blok.

BorneoJazzFABLAB2022

Bengkel muzik yang menghimpunkan pemuzik daripada pelbagai latar belakang turut diadakan atas nama penyatuan berkongsi idea, bermain dan mencipta muzik.

Borneo Jazz Festival tambah kemeriahan!

Bagi menambah kemeriahan pencinta muzik, salah satu festival jazz antarabangsa paling lama di Asia Tenggara iaitu, Borneo Jazz Festival (BJ) turut kembali menemui peminat di Coco Cabana, Miri.

Festival itu menghimpunkan pemuzik daripada pelbagai latar belakang budaya untuk meraikan kemeriahan muzik jazz selain mengetengahkan bakat dan komuniti tempatan.

Bertemakan 'Jazz in The Jungle', edisi ke-17 festival itu turut diadakan dalam format hibrid buat pertama kali bagi mencapai lebih banyak penggemar genre itu di seluruh dunia.

Acara itu akan disertai oleh penghibur dan pemuzik dari Singapura, Jepun, Perancis, Switzerland, Amerika Syarikat, Hungary, India dan banyak lagi.

Penggemar muzik jazz bakal disajikan dengan persembahan hebat daripada Afro Asia yang menampilkan Steve Thornton, Asiabeat (Malaysia/Hungary), Gecko dan Tokage Parade (Jepun), Alemay Fernandez dan Richard Jackson (Singapura/Amerika), MASIA ONE (Singapura), QSound, DJ Estephe menampilkan Chris Stalk dan Jules Vulzor dan ramai lagi yang akan diumumkan menjelang festival itu.

Pengunjung sudah boleh mula membeli tiket ke BJ dengan membuat tempahan di laman web www.jazzborneo.com.

Untuk kategori awam, pas sehari dijual pada harga RM128, RM228 (pas 2 hari) dan RM338 (pas 3 hari). Bagi pelajar dan warga emas, pas sehari berharga RM88, RM128 (pas 2 hari) dan RM188 (pas 3 hari).

Mereka yang ingin menonton secara maya, boleh mendapatkan tiket dengan harga RM25 sejam bagi setiap blok.

Untuk maklumat lanjut boleh layari ke laman web rasmi Borneo Jazz Festival 2022.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain