suria

Jangan pandang sebelah mata... Pulau Carey janji pengalaman percutian menarik, siap ada padang golf!

Bagi penggemar sukan golf boleh berkunjung ke Amverton Cove Golf.

TERDAPAT banyak tempat menarik yang boleh diterokai di negeri Selangor yang menawarkan pelbagai keistimewaan termasuk kepelbagaian budaya.

Meskipun ia sarat dengan seni bina moden, struktur lama masih boleh ditemui di beberapa lokasi bersejarah.

ARTIKEL BERKAITAN: Juh bertandak! Rainforest World Music Festival kembali pada Jun, ‘enjoy’ konsert secara hibrid pun boleh!

Pulau Carey adalah sebuah pulau kecil di daerah Kuala Langat yang mungkin ramai tidak sedar akan kewujudannya.

Ia terletak di bahagian selatan pelabuhan Klang dan terkenal sebagai lokasi menarik, menenangkan dan mempunyai pelbagai aktiviti.

Jika ada yang teringin untuk menerokai Pulau Carey, ini adalah tujuh lokasi wajib yang anda perlu lawati jika berkunjung ke sana.

Amverton Cove Golf and Island Resort

1. Amverton Cove Golf and Island Resort

Di Pulau Carey terletaknya Amverton Cove Golf & Island Resort yang menawarkan penginapan keluarga selain padang golf, pusat kecergasan, spa dan restoran.

Jika anda kaki golf, resort ini sangat bersesuaian kerana padang dengan 18 lubang ini tentunya menggamit pemain profesional dan amatur.

Kewujudan tasik, tanah berpasir serta hutan bakau disekelilinya menjadikan padang golf ini lebih istimewa.

Alamat: Jalan Pulau Carey, Mukim Jugra, 42960 Pulau Carey, Selangor.

Riverine Splash Amverton Cove

2. Riverine Splash

Resort ini mempunyai Taman Tema Riverine Splash Water bertemakan suku kaum. Terdapat lebih 12 tarikan dan gelongsor yang perlu anda cuba, antaranya Anaconda Tube Slide, Rimba River, Survival Park dan juga Kiddie Beats yang dikhaskan untuk kanak-kanak.

Taman Tema Riverine Splash Water ini ditutup setiap hari Selasa dan dibuka pada pukul 10.00 pagi sehingga 6.00 petang.

Harga tiket masuk untuk dewasa adalah RM58 manakala untuk kanak-kanak adalah RM38 untuk tiket sepanjang hari.

Alamat: Jalan Pulau Carey, Mukim Jugra, 42960 Pulau Carey, Selangor.

Riverine Survival Park

3. Riverine Survival Park

Tarikan lain di Pulau Carey adalah Riverine Survival Park yang dibina ditengah-tengah gugusan pokok beringin umpama payung dengan udara segar di sekitar taman tersebut.

Aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah berjoging atau bersenam melalui Garden Maze atau meneroka halangan dan memanjat rumah pokok yang dibina di sekeliling pokok asli.

Bagi yang sukakan cabaran, boleh mencuba garis zip flying fox dan menariknya semua aktiviti itu sesuai untuk kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas dan dewasa.

Jika berkunjung bersama keluarga, jangan lupa bawa bekalan makanan dan minuman serta tikar. Boleh berkelah di Riverine Survival Park.

Alamat: Jalan Pulau Carey, Mukim Jugra, 42960 Pulau Carey, Selangor.

Sungai Bumbun

4. Pusat Kebudayaan Dan Kraftangan Orang Asli Sungai Bumbun

Pusat Kebudayaan Dan Kraftangan Orang Asli Sungai Bumbun merupakan pusat setempat bagi aktiviti kesenian Orang Asli terutama suku kaum Mah Meri.

Suku kaum Mah Meri terkenal dengan seni ukiran kayu dan kebudayaan tarian Jo’oh.

Antara aktiviti yang boleh disertai oleh pengunjung adalah seperti demonstrasi kraf ukiran dan anyaman, menyumpit, pakej tarian Jo'oh, pakej perkahwinan tradisi, penginapan rumah tradisi serta jualan produk kraftangan dan herba.

Kemasukan dewasa hanya RM20, dan pusat kraftangan ini dibuka setiap hari kecuali hari Jumaat pada pukul 9.00 pagi sehingga 6.00 petang.

Alamat: Kampung Manikavasagam, 42960 Carey Island, Selangor.

SPLENDID

5. Mah Meri Cultural Village

Semasa berada di kampung ini, anda boleh merasai suasana masyarakat orang asli, lengkap dengan pakaian, kraftangan, dan tarian orang asli.

Bayaran masuk ialah RM20 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak manakala waktu operasi hanya adalah pada hari Jumaat dan Sabtu dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Terdapat beberapa gerai di kampung itu yang menjual makanan dan kraf tangan orang asli.

Alamat: Jln Kampong Orang Asli Sungai Bumbun, Kampung Manikavasagam, 42960 Pulau Carey, Selangor.

Pantai Kelanang

6. Pantai Kelanang

Pantai Kelanang adalah kawasan yang menarik di Pulau Carey di mana anda boleh menikmati aktiviti yang menyeronokkan bersama keluarga.

Anda boleh berkelah, berkhemah, bermain layang-layang, melihat matahari terbenam dan makan bersama keluarga.

Jika anda datang pada waktu pagi atau petang, jadikan tempat ini sebagai kawasan beristirehat. Keindahan Pantai Kelanang sangat menakjubkan.

Alamat: Pantai Kelanang Beach, 42960 Pulau Carey, Selangor.

Selain daripada tempat yang dinyatakan di atas, Selangor menawarkan banyak lagi tempat menarik yang patut anda lawati, terutamanya pada tahun 2022.

Jadi apa tunggu lagi, jom pusing Selangor dulu!

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain