suria

Pesta Kaamatan, Hari Gawai jadi inspirasi semangat perpaduan... Aset penting budaya negara

Kepelbagaian budaya diraikan dalam suasana penuh muhibbah.

KEMAJMUKAN rakyat dengan kepelbagaian budaya menjadikan Malaysia sebuah negara yang indah dan unik.

Paling menarik, Keluarga Malaysia yang berbilang kaum menyambut pelbagai jenis perayaan sepanjang tahun dalam suasana meriah penuh warna warni dan muhibbah.

Bagi masyarakat di Sabah dan Sarawak, bulan Mei dan Jun pasti amat ditunggu-tunggu bagi meraikan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

Kedua-dua perayaan itu menjadi medan untuk mengeratkan lagi perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini dan cerminan kepada keharmonian beragama di Malaysia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata kemeriahan yang disambut bersama-sama seluruh Keluarga Malaysia ini merupakan aset penting kepada industri pelancongan dan kebudayaan negara.

KOTA KINABALU, 30 Mei -- Gadis suku kaum Kadazandusun menyambut ketibaan orang ramai yang hadir bagi menyaksikan sambutan Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan hari ini.Majlis pembukaan pesta itu akan disempurnakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Selepas dua tahun Pesta Kaamatan tidak disambut berikutan COVID-19 melanda seluruh negara, tahun ini seluruh penduduk Sabah tidak kira bangsa dan agama hadir memeriahkan pesta itu sejak awal pagi tadi.

--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA


Gadis suku kaum Kadazandusun menyambut ketibaan orang ramai yang hadir bagi menyaksikan sambutan Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan, Kota Kinabalu, Sabah.

"Walaupun kita mengejar arus kemodenan, nilai seni dan budaya harus dipelihara dan terus diamalkan.

"Sesuai dengan tagline Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) iaitu Negara Maju, Rakyat Berbudaya, marilah kita bersama-sama menyemarak dan melestarikan budaya kita.

"Semoga hubungan rapat antara kaum juga terus terjalin dan industri pelancongan serta kebudayaan negara terus lestari," katanya kepada mStar.

Pesta Kaamatan juga dikenali sebagai Tadau Kaamatan diraikan selama sebulan sejak 1 Mei lalu, dengan kemuncaknya diraikan selama dua hari bermula pada 30 dan 31 Mei.

Ia merupakan upacara perayaan khas yang disambut masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) untuk menghormati 'Bambarayon' iaitu semangat padi.

(BRIEF CAPTION): Dancers from Tambunan in Sabah performing the Sumazau dance during the State-level Hari Malaysia celebration at Fort Cornwallis at the Esplanade.//CHAN BOON KAI/THE STAR/(16th Sep 2014)

Kanak-kanak ini mempersembahkan tarian Sumazau.

Hari ini, sambutan Kaamatan yang sinonim dengan ucapan "Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan" atau "Kotobian Tadau Tagayo Do Kaamatan" lebih tertumpu kepada pesta kebudayaan yang memaparkan kesenian dan tradisi masyarakat KDM serta etnik lain di Sabah.

Begitu juga dengan sambutan Hari Gawai atau turut dikenali sebagai Gawai Dayak yang disambut seluruh kaum Dayak di Sarawak merangkumi orang Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Perayaan ini juga dikenali sebagai Pesta Menuai yang dirayakan secara rasmi pada 1 Jun setiap tahun menandakan berakhirnya musim menuai dan bermulalah musim menanam padi yang baharu.

Lazimnya, perayaan yang sinonim dengan ucapan "Gayu Guru Gerai Nyamai" ini akan bermula pada malam 31 Mei dan ahli keluarga serta penduduk kampung akan berkumpul.

Selain keunikan makanan tradisional disajikan sepanjang kedua-dua perayaan ini, tarian tradisi yang masih terpelihara juga menjadi aset penting tarikan pelancong dari dalam dan luar negara ke Sabah dan Sarawak.

Di Sabah, Tarian Sumazau merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun yang sering dipersembahkan pada Tadau Kaamatan.

Dancer proform a Orang Ulu dance during the Gawai and Kaamatan celebration at at Dewan Bukavu, Kem Penrissen, - ZULAZHAR SHEBLEE / THE STAR

Gadis Orang Ulu anggun mengenakan busana tradisional suku kaum mereka.

Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung, mengikut alunan rentak yang dimainkan dengan perlahan-lahan dan lemah lembut.

Sementara itu di Sarawak, Tarian Ngajat adalah identiti utama masyarakat Iban yang menjadi kebanggaan kebudayaan di Sarawak.

Tarian Ngajat ditarikan dalam sambutan Hari Gawai sebagai tanda kesyukuran dalam hasil menuai padi sepanjang tahun.

Dahulunya tarian ini biasanya dipersembahkan semasa meraikan kejayaan atau menyambut kepulangan pahlawan-pahlawan Iban yang baru balik dari medan perang dan juga meraikan kejayaan hasil dari cucuk tanam mereka yang merujuk kepada tanaman padi.

Inilah keunikan Keluarga Malaysia apabila kita dapat menyaksikan masyarakat menyambutnya dengan penuh meriah dalam masa sama mengekalkan budaya dan seni yang menjadi warisan serta kebanggaan negara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain