DUA tahun selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, Terminal Pelayaran Pelabuhan Klang (Port Klang Cruise Terminal) akhirnya menyaksikan kapal persiaran berlabuh buat pertama kali. Pada Jumaat lalu yang penuh bersejarah, kapal persiaran Royal Carribean, Spectrum of the Sea tiba dari Singapura membawa lebih 3,000 penumpang dan lebih 1,500 kru kapal. Kali terakhir kapal persiaran membuat persinggahan di negara ini adalah SuperStar Aquarius dengan membawa 1,500 penumpang, pada Mac 2020. Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, sebelum pandemik Covid-19, Selangor menerima lebih 500,000 dan 300,000 pelancong masing-masing pada 2019 dan 2020 melalui persinggahan kapal-kapal persiaran di Terminal Perlayaran Pelabuhan Klang. Penumpang disambut dengan persembahan kebudayaan daripada JKKN Selangor. Menurut beliau, perkembangan itu menunjukkan betapa besar potensi pasaran melalui segmentasi pelancongan 'cruise' atau kapal persiaran. ARTIKEL BERKAITAN: Pelayaran sulung Mac 2022... Kapal persiaran terbesar dunia bawa 6,988 tetamu memang sempoi, ruang rock climbing pun ada! "Selepas pelaksanaan dasar pembukaan semula pintu masuk negara pada 1 April lalu, ia memberikan sinar baharu kepada industri pelancongan khususnya pelancongan 'cruise'. "Kemasukan kembali kapal persiaran antarabangsa ke Selangor akan memberi impak positif dari aspek peningkatan ekonomi dan memacu perkembangan industri pelancongan negeri," katanya dalam kenyataan. Sesi penerangan berkenaan produk pelancongan Selangor kepada wakil Spectrum of the Sea cruise. Sempena kembalinya persinggahan kapal persiaran di Pelabuhan Klang, Tourism Selangor bersama Port Klang Cruise Terminal Sdn Bhd mengadakan sesi sambutan dengan menyediakan beberapa pengisian menarik untuk para penumpang dan pelancong. Antara aktiviti menarik adalah persembahan kebudayaan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Selangor, kaunter informasi pelancongan, aktiviti mencanting batik, trak makanan dan demonstrasi kraftangan Orang Asli Mah Meri. Dengan kerjasama beberapa agensi pelancongan, sebahagian penumpang kapal dibawa untuk sesi lawatan ke beberapa tarikan pelancongan di Kuala Lumpur dan Selangor seperti di Klang, Shah Alam dan Kuala Langat. Dalam pada itu, kapal-kapal persiaran dijangka membuat persinggahan ke Terminal Perlayaran Pelabuhan Klang pada setiap hari Jumaat setiap minggu bermula bulan ini. Sesi lawatan ke trak makanan di tempat parkir utama di Terminal Perlayaran Pelabuhan Klang. Sebagai agensi promosi pelancongan rasmi Selangor, Tourism Selangor memberi penekanan khusus dalam mempromosikan produk pelancongan negeri bagi segmen pelancongan 'cruise'. Sehubungan itu, pihak Tourism Selangor akan menganjurkan Selangor Cruise Festival 2022, pada 29 hingga 30 Oktober depan di Terminal Perlayaran Pelabuhan Klang. Antara acara yang bakal berlangsung adalah pelancaran kaunter informasi pelancongan, persembahan kebudayaan, festival makanan, Borneo Street, demonstrasi kraftangan dan acara sukan berbasikal. Acara pelancongan ini diharapkan menjadi salah satu medium utama dalam memasarkan produk pelancongan negeri Selangor melalui pelancongan ‘cruise’ ke peringkat antarabangsa. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI