suria

AirAsia sambung flight ke 2 laluan Vietnam! Dah boleh bayangkan angin pantai Nha Trang, indahnya air terjun Da Lat

Tarikan kereta kabel di Nha Trang. sumber Nha Trang.com

ANDA selepas ini tidak terhad hanya berkunjung ke Hanoi dan Ho Chi Minh City, tetapi boleh melawat dua lagi destinasi menarik di Vietnam!

Pastinya anda terbayangkan pantai Nha Trang yang menyajikan pelbagai hidangan laut popular dan keindahan angin lautnya yang menyegarkan.

Mungkin juga anda memilih untuk menyelami keindahan hutan pain, tasik dan air terjun di Da Lat yang cukup dikenali sebagai 'City of Eternal Spring'.

Nha Trang 2

Keindahan pantai di Nha Trang. sumber Nha Trang.com

Siap sedia dengan bagasi anda apabila AirAsia menyambung semula penerbangan ke Nha Trang dan Da Lat di Vietnam, masing-masing bermula pada 8 Julai dan 10 Julai ini.

Perkhidmatan penerbangan berjadual ke dua destinasi pelancongan popular di Vietnam ini disambung semula atas permintaan ramai pengembara.

ARTIKEL BERKAITAN: AirAsia sambung semula penerbangan ke Yangon! Ketahui dulu syarat sebelum anda terbang ke Myanmar

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, dengan momentum terhadap pelancongan santai semakin meningkat sejajar dengan pembukaan semula sempada antarabangsa di kebanyakan negara di rantau ini, AirAsia berbesar hati untuk mengambil bahagian dalam pemulihan industri pelancongan dengan menyambung semula laluan-laluan popular ke Vietnam.

"Dengan penyambungan semula penerbangan antara Kuala Lumpur dan Vietnam yang dinanti-nantikan oleh para tetamu serta syarikat penerbangan kami, kami ingin merakamkan tanda penghargaan kami kepada kerajaan Vietnam kerana memudahkan syarat perjalanan dan kemasukan bagi pelawat ke Vietnam.

"Kami akan bekerjasama erat dengan kedua-dua kerajaan Malaysia dan Vietnam untuk memberikan lebih banyak peluang dalam membantu menyokong pemulihan ekonomi di kedua-dua rantau ini," katanya.

Da Lat 2

Panorama air terjun yang memukau di Da Lat. sumber tripzilla.com

Para tetamu boleh mula membuat tempahan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Nha Trang dan Da Lat dari serendah RM149 sehala, menerusi aplikasi airasia Super App.

Bermula 8 Julai, kekerapan penerbangan ke Nha Trang sebanyak dua kali seminggu, manakala dua kali seminggu juga ke Da Lat mulai 10 Julai.

Da Lat

Hutan pain di Da Lat. sumber vietnam.travel

Berikut adalah perkara yang perlu anda ketahui untuk memasuki Vietnam:

1. Semua pengembara yang menerima vaksin lengkap boleh memasuki Vietnam tanpa sebarang ujian pra-pelepasan, dan warganegara Malaysia boleh memasuki Vietnam tanpa visa dan tinggal di negara tersebut selama 14 hari.

2. Sewaktu ketibaan, pengembara yang berumur dua tahun ke atas harus memuat turun aplikasi PC-Covid dan mengisytiharkan sebarang simptom pada aplikasi tersebut sepanjang tempoh mereka tinggal di negara itu dan memiliki insurans perubatan yang mempunyai perlindungan untuk rawatan Covid-19 dengan liabiliti minimum sebanyak USD10,000.

3. Pengasingan diri tidak lagi diperlukan apabila tiba di Vietnam.

Selain Nha Trang dan Da Lat, AirAsia baru-baru ini menyambung semula perkhidmatan penerbangan antarabangsa ke Yangon di Myanmar.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain