suria

Panorama Kawah Ijen indah bagai lukisan... Wanita ini hanya berbelanja RM165 untuk kos pengangkutan, penginapan

Panorama memukau yang disaksikan Indiana di Kawah Ijen.

INDAH bagai lukisan.

Begitulah gambarannya mengenai panorama memukau yang menanti pelancong di kawasan Kawah Ijen, Banyuwangi di Pulau Jawa, Indonesia.

Menurut Indiana Indah yang melawat ke Kawah Ijen baru-baru ini, dia memilih untuk pergi sendiri dengan menaiki bas sahaja.

"Untuk ke sana, saya ambil bas di Terminal Ubung, Denpasar ke Gilimanuk. Tambang bas adalah Rp.60,000 (RM18).

indiana2

Indiana menaiki bas dan feri untuk ke sana.

"Ada pendingin hawa dengan perjalanan yang mengambil masa selama empat hingga lima jam, bergantung kepada keadaan trafik kerana bas ini akan berhenti untuk mengambil penumpang sepanjang perjalanan, bukan jenis bas ekpress.

"Apa yang menariknya naik bas jenis begini adalah anda dapat travel bersama warga tempatan. Bukan sekadar penduduk, tapi ayam, kucing, anjing pun termasuk sekali," ujarnya.

Menurut Indiana, bas akan berhenti berdekatan Pelabuhan Penyeberangan Gilimanuk dan sepanjang jalan itu, terdapat kiosk untuk pembelian tiket feri ke Pelabuhan Ketapang.

"Harga tiket feri adalah Rp.18,000 (RM5) dan perlu kemukakan passport bagi tujuan pembelian. Saya beli di kiosk Ferizy tapi ada juga pilihan untuk membeli secara dalam talian yang lebih murah.

indiana3

Pendaki yang tidak larat boleh mengupah warga tempatan untuk menolak mereka sehingga ke puncak.

"Feri ini beroperasi 24 jam dan akan bercampur dengan kenderaan seperti feri di Pulau Pinang dulu. Perjalanan mengambil masa sekitar satu jam sahaja.

"Ada banyak jenis feri sebab sewaktu ke Ketapang, saya menaiki feri seperti di Langkawi dan sewaktu perjalanan pulang, saya menaiki feri yang open air tiada pendingin hawa," ceritanya lagi.

Setibanya ke sana, Indiana menginap di Ijen Backpacker yang terletak bersebelahan dengan Stesen Kereta Api Ketapang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelancong lawat lokasi rare di Bali! Saksikan tradisi pemakaman unik di Desa Terunyan, mayat dibiar sampai reput

Indiana memilih penginapan jenis dorm dengan harga Rp.70,000 (RM21) untuk satu malam.

Kos untuk tour ke Ijen pula adalah Rp.200,000 (RM60) termasuk pengangkutan ke pintu pendakian, pemandu, topeng muka dan lampu kepala.

"Perjalanan ke Pintu Gerbang Jalur Pendakian Kawah Ijen bermula pada pukul 2 pagi menaiki van. Sampai di pintu gerbang sekitar pukul 3.30 pagi tetapi pendakian hanya boleh dimulakan pada pukul 4 pagi.

"Trek boleh dikatakan easy to moderate dan kalau agak malas atau kepenatan untuk mendaki, ada servis teksi untuk ke atas. Harga kena negotiate, kalau tak silap sekitar Rp.800,000 (RM241) sehingga Rp.1 juta (RM302).

indiana4

Panorama memukau yang menanti pelancong.

"Walaupun rasa kesian tengok local people tu kepenatan tolak pendaki, but at least dapat la upah untuk mereka. Kalau tak ada yang malas mendaki, tak ada la upah mereka.

"Pendakian bagi saya yang pace siput ini untuk ke Kawah Ijen mengambil masa sekitar 85 minit. Dekat atas tu nanti guide akan buatkan secawan kopi dan bolehlah bergambar sepuas-puas hati," ceritanya lagi.

Dedah Indiana lagi, kos keseluruhan yang dibelanjakan untuk ke sana hanyalah RM165.

Ia merangkumi tiket bas dua hala Rp.120,000 (RM36), penginapan Rp.70,000 (RM21), tour Ijen Rp.200,000 (RM60), tiket feri dua hala Rp.36,000 (RM10) dan Gran dari/ke Kuta Rp.118,000 (RM35)

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain