ISTANBUL aku datang, lagi! Segalanya nampak sama dan menggamit memori seperti kali pertama menjejakkan kaki ke Turkiye pada Disember 2015. Walaupun sudah lapan tahun berlalu, tapi ingatan terhadap negara yang terkenal dengan budaya dan kisah para anbiya ini masih kekal menjadi antara lokasi terbaik pernah penulis lawati. Suasana di sekitar Taksim Square. Tapi kunjungan kali ini cukup berbeza lagi bermakna apabila berpeluang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan di Turkiye. Sejujurnya seumur hidup penulis, belum pernah lagi berpuasa di negara orang. Pada 10 April lalu penulis bersama 9 lagi rakan media daripada pelbagai agensi dari Malaysia, Indonesia dan Arab Saudi dijemput oleh Turkiye Tourism Promotion and Development Agency (TGA) bagi merasai sendiri pengalaman itu. ARTIKEL BERKAITAN: Ini ‘life hacks’ travel ke Langkawi dengan kos tak sampai RM80! Kaki melancong boleh rancang tengok LIMA'23 tak lama lagi ARTIKEL BERKAITAN: Panorama Kawah Ijen indah bagai lukisan... Wanita ini hanya berbelanja RM165 untuk kos pengangkutan, penginapan Untuk pengetahuan anda, ketika ini (April-Mei) adalah musim bunga di Turkiye dan cuacanya agak dingin hingga menyenangkan pengembara. Dengan suhu sekitar 9-10 darjah Celsius pada waktu siang ditambah pula hujan renyai-renyai sepanjang hari, ia cukup membuatkan kami kesejukan. Tapi jika mahu dibandingkan dengan cuaca di Malaysia yang mengalami panas terik, kami bersyukur kerana berpeluang 'melarikan' diri buat seketika. Kebab antara menu popular yang wajib dicuba ketika berkunjung ke Turkiye. Kerana itu juga ibadah puasa di Turkiye sangat mudah hinggakan tidak terasa lapar dan dahaga sungguhpun terpaksa mengikuti jadual yang agak padat. Pada ketika itu tempoh masa berpuasa di Turkiye tidak jauh beza dengan di Malaysia iaitu antara 14 hingga 16 jam sahaja. Berbeza dengan di Malaysia, restoran mahupun kafe di sana beroperasi seperti biasa pada waktu siang dan orang ramai bebas menikmati hidangan secara terbuka tanpa sekatan. Umat Islam menunaikan solat tarawih di Masjid Taksim. Jika di Malaysia kita mungkin sudah terbiasa untuk bersahur dengan hidangan yang agak 'berat' seperti nasi dan lauk pauk, tapi di sana menu seperti roti, telur dan keju menjadi pilihan utama. Bercerita tentang waktu sahur, sesuatu yang unik dan mencuri tumpuan ketika berada di sana ialah apabila terdengar bunyi paluan gendang seperti beduk bagi mengejutkan umat Islam untuk bersahur sekitar pukul 4 pagi. Tak sah jika berkunjung ke sana tapi tidak menikmati pelbagai jenis kebab sama ada kambing, ayam mahupun daging lembu. Semuanya sedap-sedap belaka! Antara menu menarik yang harus dicuba ketika berkunjung ke Turkiye. Tambahan pula kami berbuka puasa berkonsepkan fine dining, jadi sudah pasti hidangan yang disajikan semuanya mewah dan menyelerakan. Turkish mezze platter yang terdiri daripada kurma, keju, roti serta buah-buahan menjadi hidangan pembuka yang paling ditunggu-tunggu. Tak lengkap rasanya apabila juadah berbuka puasa kami tidak diakhiri dengan manisan seperti baklava dan khunafa yang dipadankan dengan kopi Turki ataupun teh panas. Pemandangan indah di luar Masjid Hagia Sophia. Mesti anda tertanya-tanya apakah aktiviti yang sesuai jika berkunjung ke Turkiye pada bulan Ramadan? Selain kunjungan ke lokasi beli-beli popular seperti Grand Bazaar, Spice Bazaar mahupun Taksim Square, apa kata luangkan masa menjelajah ke beberapa masjid seperti Hagia Sophia, Camlica Mosque, Taksim Mosque di Istanbul serti Ulu Cami atau Grand Mosque of Bursa di Bursa. Setiap masjid yang dikunjungi mempunyai tarikan dan keistimewaan tersendiri. Suasana di dalam Masjid Hagia Sophia. Keindahan seni reka bentuk dan hiasan yang menghiasi setiap sudut masjid-masjid itu sangat memukau dan ia menjadikan rumah Allah itu sentiasa menjadi tumpuan ramai. Secara peribadi, penulis begitu sebak dan terharu apabila berpeluang untuk menunaikan solat Asar di Masjid Hagia Sophia buat pertama kali. Struktur ikonik yang memaparkan lukisan dinding dan karya seni tidak ternilai harganya itu dibina pada tahun 532 dan ditukar kepada muzium pada 1934 sebelum memperoleh kembali status sebagai masjid pada 2020. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube