suria

Walau tak 100 peratus sempurna tapi orang tahu akan sampai ke Tanah Suci... tidak terkandas

Ida Riswana merupakan orang kuat di belakang Andalusia sejak diambil alih pada 2002. Foto: Low Lay Phon/The Star

JENAMA Andalusia Travel and Tour Sdn Bhd, sebuah syarikat pengembaraan sememangnya tidak asing lagi dalam industri pelancongan khususnya dalam pengurusan jemaah umrah dan haji.

Berpengalaman selama 21 tahun mengendalikan perkhidmatan ejen pelancongan ke destinasi seluruh dunia dengan pakej terbaik, Andalusia ketika ini harus berbangga dengan pencapaian mereka kerana rekod kecemerlangan yang ditunjukkan berjaya memberi keyakinan kepada pelanggan.

Mendapat pengiktirafan dengan memenangi Anugerah Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) bagi kategori Agensi Pelancongan Terbaik Umrah dan Haji pada 2019, Pengarah dan Penasihat Undang-undangnya, Ida Riswana Idris berkongsi kisah bagaimana jenama itu dibina serta suka duka yang dilalui sebelum mereka menjadi peneraju agensi pelancongan ketika ini.

Ikuti temu bual eksklusif pihak Andalusia bersama mStar yang diadakan di pejabatnya di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Andalusia merupakan sebuah agensi pelancongan yang dikenali ramai. Bolehkah Puan kongsi mengenai latar belakang Andalusia?

Andalusia sebenarnya sudah wujud sejak 1983. Tapi waktu itu ada lesen penuh namun 'dormant'. Saya diberi kepercayaan oleh sebuah syarikat Singapura untuk membeli Andalusia. Saya merupakan peguam yang menguruskan pegangan Andalusia. Tiba-tiba berlaku peristiwa 11 September, pada waktu itu semua agreement sudah lengkap, tapi terhenti kerana peristiwa itu. Mereka tak jadi membeli namun vendor mahu menjual.

Saya beritahu suami yang ketika itu masih dalam perkhidmatan kerajaan, mengapa tidak kita beli sahaja sebagai pelan untuk hari tua. 'Deal' bermula sejak 2001, pada 2002 uruskan pemilikan dan sebagainya, pada 2003 kita mulakan operasi. Begitulah cerita bagaimana Andalusia bermula. Hanya ada pejabat kecil dan menumpang firma guaman ketika itu.

Kemudian kami mula memahami dan belajar tentang pengurusan umrah. Sejak 2002 hingga sekarang, 21 tahun dah... banyak perkara yang berkembang. Kami mengenal pasti apa perkara yang paling penting dalam industri ini. Sebagai agensi pelancongan yang mengendalikan umrah, kami sebenarnya pihak ketiga iaitu sebagai perantara orang beli tiket penerbangan, urus visa, urus hotel. Ada banyak perkara tak boleh kawal tapi kami kena meminimumkan risiko.

Saya mempunyai latar belakang bidang perundangan, jadi apabila berkisar soal perniagaan dan pakej, duit orang adalah amanah. Daripada awal, kita asingkan. Duit klien ialah duit yang diberi kepercayaan. Ramai yang 'slit' bila dapat duit banyak, terlupa bahawa itu bukan duit kita. Kena ingat, setiap bayaran ialah duit orang... duit kita adalah selepas 'float'. Salah langkah memang orang tak terbang.

Kami bermula dengan satu tingkat hotel, lama-lama jadi separuh bangunan sehinggalah memajak hotel. Kenapakah kita pajak? Apabila kita buat servis, kita kena ada barang dulu. Dalam konteks ini, tiket penerbangan kena lock, hotel kena lock... itulah barangnya. Apabila barangnya dah ada, baru boleh menjual. Itulah caranya kami berkembang iaitu apabila orang percaya yang kami ada 'barang'.

Apakah istimewanya Andalusia yang dapat membezakannya dengan agensi pelancongan atau syarikat pengendali umrah lain?

Pertamanya, mungkin kami berjaya membina jenama yang stabil. Jenama itu sendiri orang nampak ia terjamin walau tak 100 peratus sempurna tapi orang tahu akan sampai (ke Tanah Suci)... tidak terkandas.

andalusia 4

Andalusia turut tidak terkecuali berdepan dengan isu membabitkan jemaah namun syarikat tersebut mempunyai strategi ampuh bagi mengatasinya.

Foto: Low Lay Phon/The Star

Selain itu, kelebihan Andalusia, kami ada 45 buah cawangan, kami ada kakitangan untuk mengendali perkhidmatan dan apa yang penting, kami turut mempunyai kakitangan di sana (Tanah Suci). Di sana kami ada pejabat dan petugas untuk urus kebajikan jemaah, hotel dan sebagainya. Saya sendiri berangkat ke sana dua kali atau sekali sebulan. Ibaratnya di sana juga ada ibu pejabat.

Dalam industri ini, kita perlu mempunyai hubungan yang baik dengan pihak di Arab Saudi, kena faham cara kerja mereka. Orang Arab pun manusia dan bekerja macam kita, kita mesti faham isu mereka dalam usaha kita nak selesaikan apa-apa isu di pihak kita.

Bagaimanakah pula pakej-pakej yang ditawarkan oleh Andalusia?

Untuk musim 1445 Hijrah, kami menawarkan empat jenis pakej. Pertama ialah pakej premium yang termasuk dengan tren, hotel lima bintang yang dalam anggaran RM11,000 dan ke atas. Ia dikira affordable pada masa sekarang.

Pakej kedua, pakej jarak dekat. Hotel penginapannya tidak bertaraf lima bintang namun tetap bagus dan berjarak dekat dari masjid.

Pakej ketiga, pakej sederhana. Hotelnya dalam jarak yang dikategorikan 'walkable' iaitu sekitar 350 meter hingga 450 meter antara hotel dengan masjid.

Pakej keempat, pakej ekonomi. Jarak antara hotel dengan masjid sekitar 700 meter, masih dalam kategori 'walkable' dan paling penting, harganya mampu milik, iaitu berharga bermula RM6,990 iaitu di bawah harga yang ditetapkan oleh kementerian (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya). Saya mahu ramai orang boleh pergi juga ke sana.

Bagaimanakah sambutan jemaah terhadap Andalusia pasca Covid-19?

Apabila kerajaan umum boleh terbang ke Tanah Suci pada Oktober 2021, ramai yang pergi ketika itu hanya tawakal saja. Tapi ramai gembira sebab ketika itu jemaah masih tak ramai, semua orang mengikut peraturan.

Pada 2022, keadaan dah mula stabil dan orang dah ramai ke sana. Musim baru pada Ogos 2022, lagi bertambah ramai... ketika itulah bermulanya episod orang tak dapat pergi kerana tiba-tiba harga mencanak naik.

Masa kita dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami mempunyai sekitar 13,000 orang jemaah yang tak dapat terbang. Mereka yang dah booking. Masa PKP, siapa yang bayar deposit, mereka ada tempoh sehingga tiga tahun untuk ke sana... duit mereka tak lupus. Daripada 13,000 orang jemaah, sekarang kita ada hanya 4,000 orang jemaah yang belum terbang dan dalam tempoh menunggu.

Menyentuh soal peningkatan kos serta terdapat segelintir jemaah yang tidak dapat mengerjakan umrah pada saat-saat akhir kerana kelemahan pengurusan agensi pelancongan tertentu, bagaimanakah pula pihak Andalusia dalam mendepani perkara ini?

Ada juga sesetengah kes seperti ini namun tak ramai. Daripada 48,000 orang jemaah yang kami kendalikan, hanya sekitar 300 ke 400 orang jemaah yang terkesan daripada pakej kami yang hotelnya berubah. Kami tak kata kami beri pampasan sebab dalam akta, ia membenarkan jika memang tiada 'availability', syarikat boleh tukar (perancangan) asalkan jemaah dimaklumkan lebih awal.

ANDALUSIA 5

Andalusia menjadi antara jenama pilihan jemaah untuk ke Tanah Suci sejak 21 tahun lalu.

Malah syarat tambahan dalam kontrak syarikat kami dengan jemaah, memang kami nyatakan sekiranya berlaku tiada kekosongan atau bilik rosak, kami boleh ganti dengan syarat beri notis.

Kami tak teruk sangat berdepan dengan isu kenaikan kos sebab bilik yang tak cukup dan berubah, ada kenaikan harga, kami masih boleh 'absorb'. Tahun ini hanya sekali saja kami ada kenaikan iaitu sekitar RM200 hingga RM300 sebab sebelum 1 November lalu terdapat isu mata wang. Kami maklumkan kepada jemaah bahawa terdapat peningkatan kos dan kami berkongsi kos itu. Contohnya kos kenaikan RM400 jadi kita kongsi kos iaitu masing-masing RM200. RM200 ditanggung jemaah, RM200 ditanggung Andalusia. Jadi dengan pendekatan itu, tiada suara-suara yang 'bising'.

Daripada segi kebajikan jemaah, bagaimanakah pendekatan atau cara pengurusan Andalusia?

Ramai yang berpuas hati. Ada juga beberapa permintaan peribadi yang pihak kami boleh layan kerana setiap kumpulan jemaah, akan ada mutawif sendiri. Kami memang lahirkan mutawif sendiri, kami akan latih dan ajar. Kami akan berikan ujian pengambilan mutawif.

Selain mutawif, kami ada kakitangan tetap yang menjaga soal kebajikan. Misalnya jika jemaah sakit, meninggal dunia atau apa jua isu, kami ada kakitangan yang akan uruskan. Ia bermula daripada jemaah daftar masuk, beri kunci, masalah-masalah lain... setiap hotel pasti ada pejabat kecil. Apabila kami pajak hotel, kami minta sebuah bilik kecil untuk dijadikan pejabat Andalusia. Ia seperti pusat sehenti. Apa jua masalah, jemaah boleh rujuk pejabat kecil di hotel itu.

Pegawai kebajikan kami pun menjaga jemaah yang perlu menjalani rawatan dialisis. Dalam hal ini tak banyak agensi pelancongan lain ambil kerana leceh. Dialisis ni menunggu untuk giliran satu hal, kemudian tunggu proses cuci, kena 'block' mesin. Jadi staf kita akan pergi awal pagi ke hospital untuk beratur ambil giliran.

Kalau ada jemaah jatuh sakit pun, staf kami akan kendali dan urus semuanya.

Andalusia juga antara agensi pelancongan yang mendapat lesen pengelola jemaah haji. Boleh puan kongsi serba ringkas mengenainya?

Kalau tidak silap, kami dapat lesen pengelola jemaah haji pada 2005. Berkenaan dengan pakej haji musim ini, kami bermula dengan harga RM45,990 (pakej ekonomi). Kami ada dua jenis pakej iaitu pakej ekonomi dan pakej jarak dekat. Yang pakej jarak dekat bermula dengan harga RM67,990.

Pengelola jemaah haji yang lesennya di bawah Tabung Haji, semuanya perlu lengkap kerana kami memang dijaga oleh Tabung Haji. Kami akan diberi markah dimerit sekiranya ada isu yang tak betul dalam apa yang kita isytiharkan. Hanya ada 22 buah syarikat sahaja yang dipantau oleh Tabung Haji termasuk Andalusia.

ANDALUSIA 6

Andalusia turut menawarkan pakej pelancongan dengan servis terbaik ke negara-negara lain selain Arab Saudi.

Akhir sekali, sungguhpun Andalusia tidak terpalit dengan isu jemaah terkandas seperti yang viral ketika ini, namun sebagai orang kuat serta pengamal undang-undang, mungkin puan boleh kongsi sesuatu untuk dijadikan renungan bersama?

Kesimpulannya, apabila menjual sesuatu, mesti kena ada barangnya dulu. Kebanyakan isu berlaku seperti perubahan harga ataupun jemaah yang tak dapat terbang kerana tiket tak ada dan sebagainya, ini disebabkan barangnya tak ada sebelum dijual. Ia seolah-olah seperti pre-order.

Jadi apabila nak cari barang, harga dah mahal dan di luar kos sepatutnya. Jadi nasihat saya kepada orang ramai, pertama sekali sebelum beli pakej umrah, sekalipun mengikut rakan atau ahli keluarga, semak dulu mengenai agensi pelancongan yang dia nak pergi. Cara paling mudah untuk semak ialah pastikan agensi itu ada lesen dengan merujuk laman web Motac. Keduanya, berhubunglah dengan agensi pelancongan itu sendiri... tanya pasal tiket, visa dan sebagainya untuk lebih jaminan. Ketiga, kalau dah buat bayaran, kena dapatkan resit. Ramai yang bayar tanpa fikir mengenai resit.

Banyak agensi pelancongan yang bagus sebenarnya cuma kena hati-hati saja. Andalusia lebih banyak menggunakan visa umrah berbanding visa pelancong. Walaupun visa umrah ni cerewet, remeh dan sedikit mahal tapi ia lebih terjamin kerana visa itu datang dari kementerian haji Saudi.

Pengguna kena cermat sebab pergi pakej umrah, anda bayar banyak tapi benda yang anda nak buat itu kemudian. Saya selalu beritahu orang ramai, hati-hati apabila nak beli pakej umrah. Anda hendaklah tahu dengan siapa anda berurusan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain