MALAYSIA cukup terkenal sebagai destinasi pelancongan terbaik yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung tempatan dan pelancong antarabangsa. Selain memiliki keindahan khazanah alam semula jadi dan kaya dengan sejarah tersendiri, kewujudan pelbagai taman tema sudah pasti akan menggembirakan pengunjung sama ada kanak-kanak mahupun mereka yang berjiwa muda. Tak tahu nak ke mana? Jom tengok pilihan taman tema yang mesti dikunjungi: Escape Penang Monkey Business antara tarikan utama di taman air ini. -Gambar The Star 1. Escape, Pulau Pinang Taman tema Escape di Pulau Pinang adalah destinasi impian untuk mereka yang gemarkan aktiviti lasak. Terletak di dalam hutan hujan tropika yang menghijau, ia menempatkan gelongsor air terpanjang di dunia yang berukuran satu kilometer atau lebih tepat 1,111 meter. Bukan sekadar taman air semata-mata, anda yang lebih gemar melakukan aktiviti 'kering' boleh terus menuju ke bahagian Adventureplay, yang menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti memanjat batu, flying fox dan zip line. Jika anda ingin mencuba permainan ski, bolehlah terjah ke Ski Slopes dan merasai keunikannya. Satu lagi aktiviti yang menarik untuk dilawati Dead Sea Pool iaitu kolam air masin yang sangat pekat sedalam empat meter, sehingga anda boleh terapung di permukaannya. Terdapat juga Hill Rider, perlumbaan berbilang lorong yang membolehkan anda bersaing dengan rakan atau pengunjung yang lain. Lokasi: 828, Jalan Teluk Bahang, Teluk Bahang, 11050 Tanjung Bungah, Pulau Pinang Waktu operasi: 10 pagi hingga 6 petang, ditutup pada Isnin Zoo mini di Lost World of Tambun. 2. Lost World of Tambun, Perak Terletak di tengah-tengah bukit batu kapur di Ipoh, Perak, taman tema Lost World of Tambun menyambut ramai pengunjung dengan pelbagai tawaran yang menyeronokkan sejak 2004. Tanpa mengira hujung minggu atau hari bekerja, penduduk tempatan dan pelancong akan sentiasa membanjiri destinasi popular ini, bagi merasai sendiri pengalaman menyeronokkan di sana. Daripada pelbagai permainan tunggangan yang mendebarkan dan berasaskan air, sama ada zoo mini haiwan peliharaan serta mata air panas semula jadi, pengunjung boleh membuat pilihan aktiviti yang ingin dinikmati. Taman tema ini terdiri daripada beberapa bahagian iaitu Lost World Amusement Park, Lost World Water Park, Lost World Tin Valley dan Lost World Of Petting Zoo. Pada masa sama, Lembah Timah memberi penghormatan kepada warisan dan sejarah perlombongan bijih timah yang terkenal pada masa dahulu di bandar ini. Sementara itu, Night Park adalah lokasi yang menghidupkan suasana hutan. Jadi pastikan anda melawat Hutan Bercahaya bagi mengamati persona bunga bercahaya dan makhluk mistik dan karakter menarik yang membantu menghidupkan hutan tersebut. Jika anda mempunyai keberanian yang tinggi, Lembah Tarantula adalah destinasi menarik bersemuka dengan makhluk berkaki lapan! Lokasi: 1, Persiaran Lagun Sunway 1, Bandar Sunway, 31150, Ipoh, Perak Waktu operasi: 11 pagi hingga 11 malam (Isnin hingga Jumaat kecuali Selasa), 10 pagi hingga 11 malam (hujung minggu, cuti sekolah, cuti umum) LOST WORLD HOT SPRINGS & NIGHT PARK Lokasi: No.1, Persiaran Lagun Sunway 1, Sunway City Ipoh, 31150 Ipoh, Perak Waktu operasi: 6 petang sehingga 11 malam (setiap hari) Zon obor-obor antara tarikan di Wetland Studios, Putrajaya. -Gambar Jurnal Malaysia 3. Wetland Studios, Putrajaya Wetland Studios Putrajaya adalah sebuah pusat edutainment tertutup yang dibuka pada pertengahan tahun ini dengan misi untuk meningkatkan kesedaran tentang perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan hidupan liar. Pusat ini menampilkan pelbagai pameran yang memaparkan haiwan prasejarah bersaiz hidup, termasuk The Origin, Dinosaur Encounter, Deep Sea Treasure dan The Great Migration. Wetland Studios dibahagikan kepada tiga aras. Aras bawah menampilkan haiwan darat seperti dinosaur dan spesies terancam seperti gajah dan harimau. Aras bawah tanah mempamerkan haiwan laut kontemporari manakala aras 1, pengunjung boleh meneroka pameran yang memaparkan spesies bersayap dan berbulu pelepah yang boleh ditemui di Wetland Putrajaya. Komitmen Wetland Studios untuk mempromosikan kesedaran alam sekitar dan pemuliharaan hidupan liar dengan menawarkan penerokaan menarik tentang kedua-dua ekosistem daratan mahupun akuatik di seluruh ruangnya. Lokasi: Persiaran Persekutuan, Presint 13, 62000 Putrajaya Waktu operasi: 10 pagi hingga 6 petang, 10 pagi hingga 7 malam (hujung minggu) Salah satu permainan air yang terdapat di Adventure Waterpark Desaru Coast 4. Adventure Waterpark Desaru Coast, Johor Bagi mereka yang mencari percutian yang lebih ekstrem, Desaru Coast Adventure Waterpark di Johor adalah tempat yang paling tepat. Taman tema seluas 10 hektar ini menawarkan pelbagai jenis tunggangan basah dan kering, serta pantai buatan manusia. Terdapat tunggangan untuk semua peringkat umur, dari roller-coaster dan kapal lanun sehinggalah taman permainan air untuk kanak-kanak bermain-main. Lokasi: Persiaran Pantai, Desaru Coast, Bandar Penawar, 81930 Kota Tinggi, Johor Waktu operasi: 10 pagi hingga 6 petang Rasai pengalaman bermain salji dan cuaca sejuk di Genting Sky Worlds. -Gambar Facebook Genting Sky Worlds 5. Genting SkyWorlds Theme Park, Resorts World Genting Genting SkyWorlds mempunyai sembilan zon dunia yang berinspirasikan filem dan pengembaraan di tanah seluas 10.5 hektar. Taman tema luar ini menampilkan pelbagai tarikan, termasuk pengembaraan yang diilhamkan pada Zaman Ais, dan Samba Glider di mana penumpang boleh 'terbang' merentasi langit dengan peluncur gantung atau hang glider. Acorn Adventure pula membawakan pengalaman menaiki rollercoaster yang mendebarkan melalui trek berliku dengan kelajuan yang pantas. Jangan lupa mencabar diri anda di Terraform Tower Challenge, di mana anda akan dibawa naik dan turun dalam keadaan yang drastik dari puncak menara. Semestinya mendebarkan! Bagi yang tidak meminati aktiviti ekstrem seperti itu, anda boleh singgah di sudut interaktif 3D di Muzium Sejarah Alam, nikmatilah persembahan, pertunjukan dan permainan karnival secara langsung. Lokasi: Resorts World, Genting SkyWorlds, 69000 Genting Highlands, Pahang Waktu operasi: 11 pagi hingga 6 petang, ditutup pada Selasa Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube