suria

Lokasi ‘hidden gems’ kini jadi trend! Agoda umum 5 pekan kecil makin ramai pengunjung, data carian melonjak

Pulau Pangkor menjadi destinasi pertama yang menunjukkan peningkatan dalam trafik carian bagi destinasi pelancongan di Malaysia.

TIDAK dinafikan, destinasi metropolitan dan ibu kota menjadi tumpuan ramai pelancong kerana menawarkan pelbagai kemudahan penginapan, pengangkutan, kulinari serta pusat membeli belah yang gah.

Namun begitu, trend pelancongan sudah mula berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang menyaksikan destinasi seperti pekan kecil atau 'hidden gems' menunjukkan lonjakan kemasukan pengunjung yang ketara.

Seiring dengan trend perubahan tersebut, platform pelancongan digital, Agoda, mengumumkan senarai 'Horizon Baharu Malaysia 2024' yang menampilkan lima destinasi yang menarik perhatian para pelancong sejak beberapa tahun belakangan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Cabar adrenalin, nak berseronok pun boleh! Ini 6 taman tema popular Malaysia anda wajib pergi

Naib Presiden Bersekutu Asia Tenggara di Agoda, Enric Casals berkata, senarai lima destinasi berkenaan yang dihasilkan daripada perbandingan data carian, menyaksikan peningkatan ketara daripada pelancong dalam dan luar negara.

"Penemuan ini menunjukkan lebih ramai pelancong ingin meluaskan ufuk mereka dan meneroka permata tersembunyi di luar bandar utama Malaysia.

"Kami komited untuk menjadikan destinasi-destinasi Malaysia yang mengagumkan ini agar lebih mudah diterokai oleh pelancong tempatan dan antarabangsa dengan menawarkan pelbagai tawaran hebat untuk menangkap imaginasi mereka," ujarnya.

Berikut adalah senarai 'Horizon Baharu Malaysia 2024' menurut data carian Agoda:

1) Pulau Pangkor, Perak

PANGKOR

Pulau Pangkor menyaksikan peningkatan 45 peratus dalam trafik carian. Terletak di Perak, kira-kira 70 kilometer dari kawasan tumpuan pelancong Ipoh, Pulau Pangkor menawarkan pantai yang bersih dan pelbagai jenis penginapan yang bersesuaian dengan bajet rendah atau mewah. Tempat peranginan ini menjadi antara pilihan utama bagi mereka yang menginginkan destinasi percutian yang tenang dan dikelilingi alam semula jadi.

2) Kuala Terengganu, Terengganu

GANU

Kuala Terengganu menyaksikan peningkatan 40 peratus dalam trafik carian. Bandaraya ini merupakan pintu masuk ke pulau-pulau terbaik di Pantai Timur dan hab kebudayaannya menjadi tarikan kepada mereka yang menginginkan destinasi percutian tropika yang santai. Warisan budaya yang kaya di bandaraya ini serta tawaran kulinari yang pelbagai, ditambah pula dengan ciri 'kampung vibes', menjadikannya destinasi ideal yang tidak akan pernah membosankan.

3) Kuantan, Pahang

KUANTAN

Mencatatkan peningkatan sebanyak 33 peratus dalam trafik carian, ibu negeri Pahang Darul Makmur ini menjadi pilihan ramai kerana pesonanya yang santai dan peluang untuk meneroka keajaiban tempat-tempat yang kurang dikenali di Pantai Timur Malaysia. Antra tarikan utama berhampiran Kuantan adalah Pantai Teluk Cempedak, Pantai Balok, Pantai Batu Hitam dan Cherating yang sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

4) Miri, Sarawak

NIAH

Bandaraya Miri berkongsi kedudukan dengan Kuantan, yang turut mencatatkan sebanyak 33 peratus dalam trafik carian. Miri memikat hati pengunjung dengan tawaran unik seperti rizab alam semula jadi yang tidak disentuh, hutan hujan yang menghijau, dan Gua Niah yang menakjubkan. Keindahan semula jadi dan ekosistem yang berbeza-beza di Miri menjadikannya sebuah destinasi yang ideal untuk penggemar alam semula jadi yang menginginkan pengalaman yang lebih imersif dan mengagumkan.

5) Alor Setar, Kedah

A breathtaking cityscape of Alor Setar reflecting on a tranquil lake in Malaysia

Nun di utara, ibu negeri Kedah Darul Aman ini turut tersenarai apabila mencatatkan jumlah carian sebanyak 31 peratus dalam trafik. Selain bendang yang terbentang luas, pengunjung pasti terpukau dengan mercu tanda seperti Menara Alor Setar dan Masjid Zahir yang tersergam indah. Alor Setar juga terkenal dengan pasar-pasar yang meriah seperti Pekan Rabu yang memberikan peluang kepada para pelancong untuk menyaksikan gaya hidup penduduk tempatan dan juga mencuba pelbagai makanan tradisional.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain