CHIANG Mai, Thailand mempunyai landskap semulajadi gunung-ganang dan sungai yang sangat menarik serta masih terpelihara daripada sebarang pencemaran. Bandar lama yang bersejarah ini merupakan kota kedua terbesar di Thailand yang masih mengekalkan banyak warisan serta pesona negara. Berkongsi pengalaman mengembara secara solo, pencipta kandungan gaya hidup bebas Sofea Luv Amotti berkata, Chiang Mai merupakan bandar yang indah untuk dilawati namun pelancong perlu mengelak kunjungan pada bulan Februari hingga Mei sepanjang tahun. "Sepanjang tempoh tersebut, akan berlaku kebakaran sekali gus menyebabkan cuaca panas dan udara kotor. Pemandangan sunset yang dirakam. -Foto Twitter Sofea "Tapi boleh je kalau nak pergi sambut pesta Songkran pada bulan April kerana di sana lebih meriah berbanding Bangkok. "Makanan dan hotel juga mudah diperoleh dengan harga berpatutan selain menawarkan pelbagai aktiviti menarik," katanya yang menggunakan kereta api jenis gerabak tidur (sleeper train) untuk ke destinasi. Berkongsi tentang perjalanan ke sana, ujar Sofea, dia telah menempah 'sleeper train' bertaraf kelas kedua dari Bangkok ke Chiang Mai. Katanya, tiket boleh dibeli menerusi laman web dticket.railway.co.th dan hanya tiket yang dicetak atau dalam format PDF mahupun e-ticket sahaja diterima. Kawasan persekitaran tempat penginapannya. -Foto Twitter Sofea Paling menarik adalah waktu bertolak yang sangat tepat, jadi anda perlu menunggu 30 minit lebih awal bagi mengelakkan terlepas kereta api dan perjalanan mengambil masa 13 jam. Bagi yang risau tentang tandas, kereta api trip ini mempunyai bidet ya! Jika berhasrat untuk ke sana secara solo, boleh cuba beberapa tip yang dikongsikan ini dan kos RM800 adalah termasuk tiket kereta api, penginapan, makanan dan lain-lain. 1. Rancang perjalanan Walaupun solo, anda perlu ada rancangan terbaik supaya boleh putuskan mahu pergi ke mana dahulu supaya tidak membazir masa. Pastikan hotel telah ditempah lebih awal jika ingin lebih penjimatan dan anda digalakkan untuk memilih cara bayaran di premis supaya boleh batalkan tempahan bila-bila masa. Kalau ada aktiviti berbayar, cuba senaraikan harga bayaran masuk dan belilah tiket di Klook untuk lebih murah. Maekee Sheep Farm antara lokasi yang boleh dikunjungi. -Foto Twitter Sofea 2. Sentiasa peka Pastikan anda sentiasa berada di kawasan awam dan jika terpaksa melalui kawasan yang sunyi dan gelap, pastikan telefon berada dalam mode rakaman atau anda melakukan panggilan video dengan sesiapa sahaja. 3. Mahirkan diri dengan pengangkutan awam Sentiasa menggunakan pengangkutan awam yang lebih selamat dan mudah. Sofea mencadangkan supaya pengunjung menyewa kereta dan memandu sendiri berbanding menggunakan perkhidmatan songthaew dan tuktuk yang mahal jika enggan menaikinya secara beramai-ramai. Cottage yang didiaminya sepanjang di Chiang Mai. -Foto Twitter Sofea 4. Buat kajian dan carian tentang lokasi Anda perlu tahu semua perkara tentang tempat yang dituju termasuk kedai makan, pengangkutan yang digunakan, kawasan persekitaran, suasana waktu malam, cara pemakaian, budaya dan sebagainya. 5. Pakaian yang sesuai Pastikan anda membawa pakaian yang bersesuaian serta selesa untuk bergerak. Paling penting yang mesra 'kecemasan'. 6. Sediakan wang tunai Kejadian ragut boleh berlaku di mana-mana sahaja. Oleh itu, cuba letakkan wang tunai anda di mana-mana bahagian tubuh seperti dalam stokin atau anak tudung bagi wanita berhijab. Jika berlaku perkara tidak diingini, anda masih mempunyai sedikit wang tunai. Anda yang inginkan tip serta panduan pengembaraan solo boleh ikuti Sofea di TikTok @gadisdankoceng atau @mochaparaline Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube