TURBULENCE (pergolakan udara) adalah situasi biasa yang sering terjadi di dalam pesawat terutama sekali ketika perubahan angin atau cuaca buruk seperti hujan dan angin kencang melanda. Apabila berlaku turbulence, penumpang dapat merasai pergolakan atau gegaran ketika berada di dalam pesawat yang sedang dalam penerbangan. Ia boleh berlaku sama ada dalam keadaan normal atau gegaran luar biasa, bergantung kepada situasi pada masa penerbangan. Meskipun turbulence tidak dapat dihalang daripada berlaku, namun terdapat ruang atau bahagian tertentu di dalam pesawat yang dikatakan kurang mengalami kesan gegaran. Perkara tersebut dikongsikan seorang juruterbang yang dikenali Kapten Beard 320 di laman Instagram. Ramai yang tidak gemar tempat duduk di sekitar bahagian sayap. Menjadikan pen sebagai contoh sebuah kapal terbang, ujarnya, setiap pesawat mempunyai pusat graviti atau titik keseimbangan. "Ia tidak terlalu ke belakang atau ke depan yang menyukarkan keseimbangan pesawat. Jadi, pusat graviti tersebut adalah sekitar bahagian sayap. "Bayangkan apabila ia mengalami gegaran sama ada sebab cuaca buruk atau perubahan arah angin... bahagian yang paling terkesan adalah pada bahagian belakang pesawat. "Di bahagian depan pun akan terasa tetapi situasinya lebih baik daripada bahagian belakang," jelasnya. Justeru menurut Kapten Beard, tempat duduk yang paling selesa semasa berlakunya gegaran di dalam pesawat adalah di kawasan pusat graviti iaitu sekitar bahagian sayap. Bagaimanapun katanya, penumpang yang duduk di situ masih tetap merasai gegaran namun kadarnya berkurangan berbanding tempat duduk pesawat di bahagian yang lain. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube