suria

Masa terbaik bawa keluarga ‘pusing’ Malaysia! KCCM 2024 tawar diskaun sehingga 50 peratus

Diskaun 50 peratus menanti pengunjung KCCM 2024.

KAKI travel boleh menikmati diskaun sehingga 50 peratus bagi pakej pelancongan ke destinasi dalam negara sempena penganjuran Karnival Cuti-Cuti Malaysia (KCCM) 2024.

Karnival yang bakal berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur bermula 25 hingga 27 Oktober ini turut menampilkan lebih 100 pakej pelancongan merangkumi destinasi yang kaya dengan budaya dan panorama indah di seluruh Malaysia.

Pakej pelancongan ini menawarkan diskaun antara 15 peratus hingga 50 peratus.

Bertemakan 'Crafting Holiday', pengunjung boleh merancang percutian domestik ideal sambil menikmati aktiviti seni, kraftangan dan warisan budaya tempatan.

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Khairul Firdaus Akbar Khan, pakej yang ditawarkan juga meliputi destinasi alam semula jadi, pengalaman kebudayaan dan aktiviti pengembaraan.

Khairul berucap pada prapelancaran KCCM 2024.

Khairul berucap pada prapelancaran KCCM 2024.

“Kami mahu mereka yang melancong di destinasi domestik menikmati pengalaman budaya, kraf dan makanan tempatan semasa bercuti. Antara aktiviti unik ialah lawatan warisan, sukan air, selam skuba, melihat burung, memerhati bintang dan pengembaraan alam semula jadi yang lain.

“Acara itu juga akan merangkumi pameran kraftangan, penjualan produk berkaitan, dan demonstrasi budaya serta kulinari makanan warisan,” katanya dalam ucapan prapelancaran KCCM pada Selasa.

Khairul Firdaus menambah, lebih 100 pemain industri pelancongan di seluruh Malaysia, termasuk agensi pelancongan dan lembaga pelancongan negeri akan membuka gerai pameran di KCCM 2024.

Persembahan kebudayaan mewarnai prapelancaran Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2024 di Kompleks Kraf di Kuala Lumpur.

Persembahan kebudayaan mewarnai prapelancaran Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2024 di Kompleks Kraf di Kuala Lumpur.

Satu lagi tarikan menarik karnival itu ialah ‘Pasar Saloma’, yang akan menyaksikan lebih 30 perusahaan kecil dan sederhana menjual produk budaya tradisional mereka, daripada kraftangan kepada barangan serta makanan warisan.

“Kepelbagaian karnival tahun ini bertujuan memacu pelancongan domestik dalam kalangan rakyat kita sambil mempamerkan kraf tempatan dan makanan warisan kita yang kurang dikenali kepada orang ramai,” tambahnya.

Tambah Khairul Firdaus, pelancongan tempatan menyaksikan peningkatan ketara setakat suku kedua tahun ini, dengan lebih 64.8 juta pengunjung merekodkan perjalanan dalam negara dan lebih RM28.1 bilion dijana dalam perbelanjaan perjalanan.

“Dengan acara ini, kami berharap dapat meningkatkan lagi pelancongan domestik kepada lebih 221 juta pelawat yang direkodkan dan RM92.7 bilion hasil yang akan dijana menjelang akhir tahun ini,” tambahnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain