suria

Cuti sekolah dah dekat, ibu bapa boleh bawa anak-anak ke Tasik Cermin... Hanya 2 jam memandu dari KL

Banyak aktiviti menarik ditawarkan di Tasik Cermin.

HANYA dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur anda akan tiba ke negeri Perak yang mempunyai pelbagai destinasi pelancongan menarik.

Antara destinasi popular dalam negeri itu adalah Tasik Cermin di Ipoh yang turut digelar sebagai salah satu permata tersembunyi.

Bekas kuari yang kini bertukar kepada ikon pelancongan itu bukan sahaja memiliki panorama menarik, malah turut menyediakan pelbagai aktiviti untuk pengunjung.

Menurut Pengarah Tasik Cermin Ipoh, Ng Seong Ping, banyak program menarik disusun sepanjang 2025 bagi memeriahkan lagi pengalaman kunjungan anda ke lokasi itu.

"Program-program yang menarik di sepanjang tahun 2025 merangkumi aktiviti ATV, Perak Food Fiesta, Hari Geologi Sedunia, Tasik Cermin Run dan sebagainya," ujarnya.

Setakat Disember tahun lalu sahaja, Tasik Cermin berjaya menarik lebih 500,000 pelawat.

ts 2

Tasik Cermin sasar sejuta pelawat pada 2025.

Pada 2025, Tasik Cermin menyasarkan sejuta pengunjung yang dijangka menyumbang secara signifikan kepada pembangunan komuniti tempatan dan ekonomi negeri.

Lebih membanggakan, Tasik Cermin turut menerima pengiktirafan sebagai Anugerah Destinasi Pelancongan Mesra Muslim oleh Islamic Tourism Centre (ITC) dan “The Best Accessible Tourism Initiative Award” sempena Anugerah Pelancongan Perak 2024.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata Tasik Cermin menawarkan tiga tarikan berbeza buat pengunjungnya.

"Destinasi geo pelancongan Tasik Cermin ini mempunyai tiga tarikan gua utama iaitu Tasik Cermin 1, Tasik Cermin 2 dan Gua Mulut Ular.

"Pihak kami menyediakan laluan jalan masuk berturap, parkir mencukupi, tandas, surau dan menambah baik fasiliti dan perkhidmatan dari masa ke masa.

"Pihak operator turut memastikan persekitaran dijaga memandangkan lokasi ini berusia sekitar 250 juta hingga 480 juta tahun yang diwartakan sebagai antara destinasi dalam Geopark Lembah Kinta," ujarnya.

Sempena cuti sekolah bermula 17 Januari hingga 15 Februari ini, orang ramai dijemput untuk datang dan mencuba sendiri pelbagai aktiviti menarik di Tasir Cermin.

Artikel Lain