SEJURUS melangkah masuk, ketibaan pengunjung disambut dengan keindahan seni bina tradisional Melayu yang megah dan menyambut mesra pengunjung. Dari jauh, bunyi alat tenun yang bergerak irama menambah suasana unik yang tidak pernah dialami di tempat lain. Kompleks ini bukan sekadar tempat pameran seni, tetapi ia juga berfungsi sebagai pusat warisan budaya yang meriah dengan pelbagai aktiviti. Buat individu yang mencari pengalaman percutian yang penuh bermakna, lawatan ke Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah di Pulau Keladi, Pekan, Pahang, antara destinasi menarik yang harus dilawati terutamanya apabila berkunjung ke negeri ini. Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah tersergam indah di Pulau Keladi, Pekan, Pahang. Melawati perkampungan kaya dengan sejarah seni warisan tenunan ini memberi peluang untuk menikmati keindahan kratangan, sekali gus membawa pulang kenangan kekal di hati. Kunjungan ke perkampungan ini menyediakan perkongsian menarik mengenai keunikan sejarah Tenun Pahang Diraja yang menjadi simbol kehalusan seni dan identiti masyarakat Pahang. Setiap helaian kain tenun dipersembahkan membawa kisahnya tersendiri. Motif tenunan menggunakan keindahan alam semula jadi menyimpul penceritaan kehidupan dan warisan. Lihat siaran ini di Instagram Siaran dikongsi oleh Muzium Pahang (@muzium_pahang) Tradisi ini kekal lestari sejak berabad lamanya, mencerminkan daya tahan dan kreativiti bangsa Melayu. Tenun Pahang, warisan abadi Dalam usaha mengekalkan kelestarian seni berkenaan, Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Tunku Meriam memainkan peranan besar dalam memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan melindungi warisan khazanah yang amat bernilai ini. Meskipun warisan seni tenunan ini menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran kesan daripada beberapa episod peperangan serta persaingan, namun perkembangan dan pemeliharaan seni tenunan ini masih diutamakan. Pelbagai usaha dicurahkan bagi memastikan legasi seni fabrik ini diteruskan untuk kesinambungan generasi seterusnya. Antara nama yang seharusnya diberi penghargaan adalah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Tunku Meriam. Teknik mencolek, antara langkah menghasilkan kehalusan corak sulaman menggunakan benang emas. Baginda berusaha menyedarkan masyarakat tentang kepentingan memelihara warisan seni tenunan rakyat Pahang agar tidak pupus ditelan zaman. Pelbagai kerjasama dengan kerajaan British sekitar 1900 terjalin. Tengku Ampuan Besar Tunku Meriam memainkan peranan besar dalam menyedarkan masyarakat tentang kepentingan melindungi warisan ini. Baginda bekerjasama dengan kerajaan British untuk memperkenalkan seni tenunan di sekolah dan menjadikan kain tenun sebagai hadiah diraja yang berprestij. Kini, legasi memartabatkan seni tenunan ini diteruskan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang amat menghargai khazanah berharga ini. Penglibatan baginda menguba landskap perusahaan seni tenunan di Pahang melalui penubuhan Yayasan Tenun Pahang Diraja. Pelbagai pendekatan dan usaha diambil untuk memastikan kelangsungan seni tradisional tenun dikenali di mata dunia. Yayasan ini bertujuan memastikan kesinambungan tradisi sambil memperkenalkan kain Tenun Pahang ke persada antarabangsa. Melalui pelbagai inisiatif seperti pameran dan program kebudayaan di peringkat antarabangsa, Tenun Pahang Diraja kini diangkat sebagai lambang seni warisan yang dihormati di seluruh dunia. Kehalusan corak, keagungan warisan Tenun Pahang Diraja membuktikan bahawa seni dan tradisi bukanlah sesuatu yang kaku. Ia hidup, berkembang dan terus relevan apabila diwarisi dengan penuh rasa tanggungjawab. Warisan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan negeri Pahang, malah menjadi simbol keindahan budaya Melayu di mata dunia. Dengan usaha berterusan daripada pelbagai pihak, termasuk penglibatan aktif institusi diraja, Tenun Pahang Diraja tidak akan pudar ditelan zaman. Pada setiap lembaran kain Tenun Pahang Diraja, wujud satu kesenian yang halus. Setiap corak, motif dan warna yang dipilih mencerminkan keperibadian si penenun. Motif alam semula jadi digandingkan dengan benang emas menjadikan seni tenun gah di pandangan. Kemewahan alam semula jadi Pahang juga menjadi sumber inspirasi kepada motif kain tenun tersebut. Tenun Pahang Diraja melambangkan keindahan persekitaran, status sosial dan falsafah masyarakat Pahang. Dari Pulau Keladi, kini ke mata dunia Sejarah seni tenunan ini boleh dijejak kembali ke abad ke-18, apabila seorang bangsawan Bugis bernama Keraing Aji, atau lebih dikenali sebagai Tok Tuan, memperkenalkan teknik tenunan yang lebih cekap dan halus di Pulau Keladi. Kehadiran Tok Tuan memberi nafas baharu kepada tradisi ini, merancakkan penghasilan kain tenun, terutama di daerah Pekan. Seni tenunan ini terus berkembang menjadi lambang keindahan dan status sosial masyarakat, malah menjadi antara warisan terpenting negeri Pahang. Penghasilan kain tenun ini turut dirancakkan terutamanya di beberapa kampung dalam daerah Pekan. Jalinan keindahan dan sejarah agung Kini, Kompleks Budaya Kampung Pulau Keladi diberi nafas baharu apabila dinaik taraf kepada Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah bagi menampung permintaan yang semakin meningkat. Kompleks Budaya Pulau Keladi yang ditubuhkan pada 1985 oleh Muzium Negeri Pahang menerusi dana sumbangan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri merupakan usaha besar dalam mengangkat serta memelihara warisan kebudayan di negeri ini. Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, antara destinasi percutian berkonsepkan seni warisan yang wajib dikunjungi. Kompleks yang dinaik taraf ini kini menjadi hab untuk memelihara seni kraf tradisional, termasuk batik, ukiran kayu, kraftangan Orang Asli, dan kulinari warisan. Ia bukan sahaja memberi peluang kepada generasi muda untuk belajar dan menghargai seni tenunan, malah membantu mengekalkan nilai-nilai tradisional sambil menyesuaikannya dengan era moden. Bukan sekadar itu, kompleks ini juga berfungsi sebagai pusat warisan budaya yang meriah dengan pelbagai aktiviti. Dengan tersedia kompleks ini, generasi baharu berpeluang untuk melihat, mempelajari dan menghayati secara dekat keindahan Tenun Pahang Diraja serta warisan seni kraf yang lain. Penjenamaan semula kompleks ini juga menjadi penanda aras baharu kepada perkembangan industri kraf negara. Ia juga selari dengan peredaran zaman tanpa sedikit pun melunturkan keunikan, keindahan dan estetika warisan seni kraf tercinta ini. Kompleks ini menjadi bukti kekayaan tradisi yang terus dijaga rapi untuk generasi masa kini dan akan datang. Legasi seni yang hidup Seni tenun bukan sahaja suatu warisan budaya yang bernilai, tetapi juga cerminan kepada kreativiti dan ketelitian yang diwarisi daripada generasi ke generasi. Ia mencerminkan keunikan identiti masyarakat tempatan yang terus relevan dalam dunia moden. Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah mengalu-alukan kedatangan pengunjung pelbagai lapisan usia dan latar belakang. Usaha untuk memelihara dan mengembangkan seni tenun harus diteruskan agar generasi akan datang dapat merasai dan menghargai keindahan serta nilai seni ini. Dengan memberikan pengiktirafan yang sewajarnya, ia akan kekal sebagai mercu tanda seni dan warisan bangsa, membawa kisah tradisi yang tidak ternilai ke generasi seterusnya. Apa yang menjadikan lawatan ke perkampung ini lebih bermakna adalah peluang untuk memahami sejarah dan usaha yang dilakukan bagi memastikan warisan ini tidak pupus. Dari kisah Tok Tuan yang memperkenalkan seni tenunan pada abad ke-18, hingga ke dedikasi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah yang menubuhkan yayasan bagi memartabatkan seni ini. Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah bukan sekadar destinasi pelancongan, malah mengingatkan kita bahawa warisan seni dan budaya adalah harta yang tidak ternilai. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.facebook.com/MuziumPahangOfficial Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube